Friday, May 7, 2010

Kedai teh eksklusif


Pelbagai pilihan teh, kopi, biskut, jem dan madu dalam tin dan botol cantik.


MEREKA yang pernah ke London berasa seakan tidak lengkap jika tidak singgah di Harrods. Berkunjung ke gedung membeli-belah mewah yang terletak di Brompton Road, Knightsbridge, London itu seakan menjadi kemegahan dan tajuk cerita utama kepada keluarga mahupun kawan-kawan apabila pulang ke tanah air.

Sudah pasti anda juga teringin untuk menjinjing tas tangan berjenama Harrods, si kecil pula mengepit beruang teddy lembut atau mengunyah biskut dalam tin cantik yang dibeli di Harrods.

Namun bukan semua orang berpeluang dan bernasib baik dapat terbang ke London. Agar tidak tidak terkilan masih boleh ke Harrods dengan mengunjungi Harrods World Signature Shop dan Tea Salon di KLCC.

Premis yang terletak di tingkat satu pusat beli-belah itu merupakan syarikat francis Harrods di London.

Mungkin masih ramai yang berasa ragu-ragu untuk melangkah masuk ke salon teh ini kerana bimbang tidak setaraf dengan diri dan menganggap ia hanya untuk orang-orang kaya sahaja.

Jangan begitu kerana kedai cenderamata dan salon teh ini adalah untuk semua dan sesiapa sahaja yang ingin membeli produk Harrods atau menikmati teh lazat, kopi harum, kek yang mengecurkan air liur atau hidangan yang dihidangkan dengan penuh kesempurnaan.

Usah salah anggap mengatakan produk yang dijual di sini adalah mahal kerana terdapat produk yang dijual daripada harga serendah RM18 sahaja.

"Kedai dan salon teh ini dibuka untuk semua dan kami tidak pernah memilih pelanggan sama ada mereka daripada golongan kaya atau tidak.

"Kami ingin menunjukkan kepada pelanggan 'sentuhan Harrods' pada salon teh ini. Sebab itu kami tidak memilih ruang yang terlalu besar kerana tidak mahu ia nampak terlalu sibuk dan tidak akan nampak elegan lagi,'' kata Pengurus Besar Tradewinds Premium Goods Sdn. Bhd yang menguruskan Harrods World Signature Shop dan Tea Salon ini, Sofiah Rahman.

Menurut Sofiah, sungguhpun demikian kebanyakan pelanggan salon teh ini adalah mereka yang mementingkan kualiti baik daripada segi makanan dan minuman yang dihidangkan, ruang salon yang eksklusif, produk yang dijual dan layanan kakitangan mereka.

"Kami baru sahaja memperkenalkan menu sarapan Early Bird Special khusus bagi mereka yang bersarapan awal di luar. Set sarapan pagi disediakan seawal 8.30 pagi sehingga 10 pagi pada harga RM18 dan RM28. Bagi yang ingin menikmati secawan kopi dan sepotong kek, harga yang dikenakan ialah RM30. Bagi pesanan untuk dibawa pulang, minuman kopi atau teh dijual pada harga RM10 sementara kopi atau teh dan pastri RM15.

"Pelanggan boleh juga membuat tempahan jika ingin mengadakan majlis kecil seperti hari jadi, makan tengah hari yang eksklusif dan elegan bersama teman-teman rapat, meraikan hari-hari istimewa seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan sebagainya.

"Pada bulan Ramadan, kami turut menyediakan hidangan untuk berbuka puasa.

"Walaupun tidak dapat memuatkan ramai tetamu kerana kapasiti di sini cuma untuk 30 orang namun saya pasti ia akan disambut dengan lebih istimewa kerana setiap yang hadir dapat mengenali lebih rapat di antara satu sama lain,'' ujarnya.

Tambahnya, kawalan mutu amat dijaga bagi setiap makanan yang dijual. Makanan atau bahan-bahan yang tidak elok akan terus dibuang, manakala sandwich, kek, roti dan pastri dibuat setiap hari dan tidak disimpan semalaman.

Beliau berkata, banyak yang boleh diperoleh oleh pelanggan di salon teh ini seperti teh atau kopi bermutu yang diramu istimewa, teh organik bagi yang menjaga pemakanan, biskut, pelbagai jenis jem seperti jem strawberi, bluberi, marmalade dan sebagainya serta madu yang diimport.

Jika tidak tahu bagaimana rasa jem atau biskut yang ingin dibeli, boleh mencuba sampel yang diletakkan di atas meja di sudut pintu masuk salon teh ini.

Mungkin ada yang tidak perasan di mana pelanggan menikmati makanan dan minuman kerana di bahagian hadapan salon dipenuhi dengan bermacam-macam barangan seperti beg pvc pelbagai warna, bentuk dan corak menarik, beg tangan, barangan bayi, set manikur, rantai kunci dan dan banyak lagi.

Paling istimewa patung teddy lembut yang setiap satu mempunyai nama masing-masing dan tertulis tahun ia dibuat.

Ramai yang membeli bagi dijadikan koleksi mengikut turutan tahun. Terdapat juga patung beruang teddy yang selamat untuk bayi.

Bagi pengumpul tin-tin biskut dan tin teh, kopi dan kandi yang cantik dengan pelbagai warna, boleh mendapatkannya bagi dijadikan perhiasan di atas rak dapur atau ruang makan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: