Monday, May 3, 2010

Ceritera dua ibu jelita

Jika mereka bukan selebriti popular, melihat gaya dan rupa paras Isma dan Saida, pasti ramai yang tidak menyangka mereka bukan sahaja isteri orang, bahkan ibu kepada masing-masing lima dan empat orang cahaya mata.




IBU beranak empat ini pernah ditegur gara-gara penampilannya tidak seiring dengan status selebriti yang disandang. Sudahlah kerap tampil dalam persalinan ringkas seperti baju T dan seluar jean, wajahnya pula tidak dirias rapi serta rambut dibiarkan mengurai tanpa sebarang dandanan.

"Tidak sangka penampilan sedemikian telah 'menyakitkan' mata salah seorang perunding imej tempatan. Barangkali, enggan membiarkan saya terus hanyut dengan imej yang kurang sesuai, perunding imej berkenaan bermurah hati memberikan nasihat dan tip perihal fesyen.

"Sejak detik itu, saya mula mencari imej personal yang sedap mata memandang. Paling penting berusaha mempelajari teknik memilih busana dan tata rias yang ideal dengan majlis dan destinasi yang dikunjungi.

"Berbaju T dan seluar denim masih menjadi keutamaan tetapi ia dipakai sewaktu bersantai bersama teman dan keluarga," imbas bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) musim keenam, Siti Norsaida Tarudin, 34.


HARI Ibu diraikan Isma dan Saida dengan menonton wayang atau bersiar-siar bersama anak-anak.


Berbicara lebih lanjut, Siti Norsaida atau mesra disapa Saida itu menegaskan dia bukanlah individu yang tidak peka pada trend fesyen semasa, cuma keberatan untuk bergaya sakan kerana bimbang bertentangan dengan statusnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Namun, kini segala-galanya sudah berubah. Ibu kepada Siti Nurunnyssa, 13, Anas, 11, Khalid, 7 dan Siti Nurul Mashitah, 4, itu mula menangkis perasaan malu dan bersedia tampil di depan khalayak dengan pakaian menawan. Asalkan imej yang digayakan tidak seksi dan terlalu terdedah. Pada masa yang sama, Saida juga tidak lupa mencalit gincu bibir agar wajah tampak segar dan ceria.

Perbualan kami pada petang itu semakin rancak apabila menyentuh topik Hari Ibu yang bakal disambut pada Ahad ini. Kongsi Saida, pada hari tersebut dia dan anak-anak akan menghabiskan masa bersama dengan menonton wayang, bermain boling dan bersiar-siar.


ISMA dan Saida meneruskan minat dalam bidang nyanyian selepas bergelar ibu.


Momen bersama anak-anak

"Kadangkala tidak perlu menunggu Hari Ibu kerana setiap hujung minggu saya pastikan anak-anak terhibur dengan aktiviti yang menyeronokkan. Maklumlah pada hari biasa saya bekerja dan sibuk dengan aktiviti nyanyian, sementelah anak-anak pula bersekolah.

"Tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah terabai walaupun kini bergelar penyanyi. Anak-anak permata yang paling bernilai dalam hidup saya. Sejak melahirkan anak sulung pada usia 21 tahun, saya sudah berjanji untuk menjadi ibu, pendengar dan pelindung yang terbaik buat anak-anak.

"Sebab itu, sebaik sahaja keluar daripada AF pada minggu kelima air mata saya mengalir deras saat memeluk erat anak-anak kerana perasaan rindu yang terlalu menebal," kata Saida yang tidak meletakkan bebanan urusan rumah tangga sepenuhnya kepada pembantu rumah dan menyifatkan dia bukanlah ibu yang garang.


SAIDA bersama suami, Razali dan anak-anaknya (dari kiri) Siti Nurunnyssa, Siti Nurul Mashitah, Khalid dan Anas.


Segala kemahuan anak-anak akan dituruti tetapi bersifat tegas apabila mereka melakukan kesalahan atau tidak mendengar kata. Tambah Saida, pengalaman melahirkan anak sulung merupakan momen yang paling indah dan masih segar dalam ingatannya.

Jelas Pengurus Kewangan di Siti Nurhaliza Productions itu, sehari sebelum bersalin dia mengalami turun darah yang agak serius dan pengsan beberapa kali ketika berada di dalam wad.




"Saya menjadi gementar kerana buat pertama kalinya akan bersalin. Malah, perasaan tersebut semakin menjadi-jadi apabila melihat bilik wad dipenuhi dengan jururawat, doktor dan beberapa orang doktor pelatih.

"Bayangkan saya perlu bertarung kesakitan bersalin di hadapan doktor pelatih yang sedang melihat situasi wanita bersalin. Sebenarnya malu pun ada kerana saya ibarat menjadi bahan ujikaji mereka pula (ketawa)," terang Saida yang tidak ketinggalan meraikan Hari Ibu bersama bonda kesayangannya, Siti Salmah Bachik.


SAIDA dan ISMA tidak pernah menyesal bergelar isteri dan ibu pada usia yang muda.


Berkahwin usia muda

Sementara itu, finalis program AF musim ketujuh, Ismaliza Ismail, 31, turut mempunyai bingkisan cerita menarik sebagai seorang ibu. Isteri kepada Zulkifli Majid atau Zul 2 by 2 itu tidak pernah berasa menyesal mendirikan rumah tangga seawal usia 18 tahun dan memiliki cahaya mata sulung setahun kemudian.




"Keinginan menjadi penyanyi sudah tersemai sejak di sekolah menengah lagi. Lebih menggembirakan impian tersebut menjadi realiti apabila berpeluang merakamkan album. Namun, tanpa disangka keputusannya untuk berkahwin telah menyebabkan album tersebut bagaikan berkubur begitu saja.

"Saya juga pernah diberi pilihan sama ada fokus utama saya pada bidang nyanyian atau perkahwinan. Saya bertegas memilih keluarga kerana menyifatkan rezeki nyanyian ada di mana-mana saja," luah Ismaliza atau popular dengan nama Isma yang pernah menyanyi bersama Kombo Telekom dan residen artis di Restoran Cerana Cheras.


INILAH lima cahaya mata kesayangan Isma dan Zul.


Meskipun menggunakan khidmat pembantu rumah selama hampir 10 tahun, Isma menegaskan dia masih tegar melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, mengemas rumah dan ke pasar pada hujung minggu. Jika perlu memenuhi undangan nyanyian di luar daerah Isma akan pastikan kelengkapan anak-anak di rumah mencukupi.

Sukar baginya memberi tanggungjawab ke pasar kepada pembantu rumah kerana dia ingin memilih sendiri sayur-sayuran, ikan dan ayam yang terbaik buat santapan anak-anak.

Selain itu, kakak kepada penyanyi Tomok itu turut memohon untuk memenuhi sebarang sesi fotografi mahupun temu bual selepas pukul 2 petang. Ini kerana pada sebelah pagi biasanya Isma sibuk menguruskan sarapan dan hal sekolah anak-anak.


WALAUPUN berstatus ibu, Isma dan Saida tidak pernah mengabaikan tata rias diri untuk sentiasa tampil cantik dan menawan.


"Saya bahagia bergelar isteri dan ibu pada usia muda. Anak-anak cukup memahami kerja saya dan jarang membuat perkara yang boleh mencetuskan kemarahan.

"Kepada golongan ibu yang bekerja di luar sana jangan jadikan alasan kerja yang menimbun menyukarkan anda meluangkan masa bersama anak-anak," tutur Isma yang dikurniakan anak-anak yang bernama Muhammad Haiqal Aiman, 12, Muhammad Haiqal Aydiel, 11, Seri Aida Melissa, 9, Seri Ayreen Merlynda, 6 dan Seri Adryana Marcella, 2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: