Monday, May 3, 2010

Buku ibarat penghibur

Di sebalik berita gembira mengenai masyarakat hari ini yang semakin celik teknologi maklumat, timbul pula persoalan kemungkinan industri penerbitan buku semakin tenat gara-gara peralihan ramai ke bacaan maya.


UNTUK menjadi negara maju, rakyat harus berilmu dan sentiasa mencari bahan bacaan yang boleh meningkatkan pengetahuan.


DALAM dunia perbukuan, tarikh 23 April lalu amat bermakna buat penerbit, penulis dan juga pencinta buku. Ketika komputer dan Internet merevolusi kaedah pencarian maklumat dan ilmu, buku kekal dalam sanubari ramai sebagai penyampai khazanah ilmu dan penghibur.

Setiap tahun pada tarikh ini, Hari Buku disambut dengan pelbagai atur cara di seluruh dunia. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) juga tidak ketinggalan meraikannya baru-baru ini.

Selain program Mari Membaca 1Malaysia dan Jualan Buku dari 23 April hingga 25 April di pekarangan PNM, Forum Hak Cipta turut dianjurkan untuk mengingatkan orang ramai akan kepentingan menghormati hak milik karya-karya.

Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar berkata PNM akan sentiasa menyokong usaha meningkatkan dunia perbukuan negara dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai gedung ilmu kepada masyarakat.

Sungguhpun jumlah keahlian keseluruhan bagi 2,429 buah perpustakaan yang ada di negara ini mencecah hampir lapan juta orang sehingga hujung tahun lepas, namun beliau berpendapat kadar membaca buku di kalangan rakyat negara ini masih rendah.

"Kempen galakan membaca masih harus diteruskan agar ilmu pengetahuan rakyat tidak ketinggalan dan dunia perbukuan terus berkembang," kata beliau.

Namun, tidak boleh dinafikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) banyak mengubah cara menimba ilmu dan buku semakin dipinggirkan.

Mengakui komputer dan Internet banyak mengubah kaedah pencarian maklumat dan ilmu, Raslin berpendapat ilmu yang mantap masih diakui dalam bentuk buku.

Penerbit

Dunia buku dalam bentuk cetakan atas kertas juga masih bertahan meskipun pernah diramalkan akan pupus satu hari nanti.

"Budaya membaca buku perlu diseimbangkan dengan penggunaan ICT," ulas beliau yang mengharapkan iklim penerbitan buku di Malaysia dirancakkan.

Beliau mengulas mengenai teknik penerbitan melalui teknologi komputer yang sentiasa berkembang pesat tetapi cepat pula ketinggalan zaman dan juga mahal.

"Kerana itulah buku dalam cetakan pada kertas masih bertahan termasuk di negara-negara maju seperti Amerika, Eropah dan Jepun.

"Ia lebih murah, senang dibawa dan dibaca berbanding mengakses bahan bacaan di Internet yang memerlukan pelbagai perkakasan dan akses perhubungan. Malah, tidak semua mampu memiliki kemudahan ini," jelas beliau.

Usaha penerbitan buku harus diperbanyakkan agar perpustakaan di seluruh negara dapat memenuhi rak-rak dengan buku-buku yang memberikan ilmu kepada para pembaca.

Dalam usaha menambahkan jumlah penerbitan buku yang berkualiti dari segi kandungan dan bentuknya, beliau berharap persatuan-persatuan penulis dapat menghasilkan buku-buku berkenaan yang berbentuk ilmiah.

Beliau turut menyarankan para penulis bekerjasama dengan penerbit-penerbit mapan yang menguasai teknologi penerbitan dan teknik pemasaran yang mantap.

"Bagi menyemarakkan dunia penerbitan, paling utama kita menggalakkan penerbitan buku bahasa Melayu yang kini menampakkan kehadirannya di rangkaian kedai-kedai buku di Malaysia.


TEKNOLOGI maklumat banyak mengubah cara menimba ilmu namun buku masih merupakan medium utama.


Royalti

"Untuk menjadi negara maju, rakyat harus berilmu dan sentiasa mencari bahan bacaan yang boleh meningkatkan pengetahuan.

"Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, kita berharap kegiatan penerbitan buku akan berterusan.

"Kita memerlukan buku-buku yang memberi ilmu, yang luas pemasarannya dan mampu dibeli oleh orang ramai," sambung beliau.

Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar yang mewakili Gabungan Penulis Nasional (Gapena) turut berpendapat, umumnya ramai rakyat Malaysia yang masih tidak sedar tentang kewujudan Hari Buku.

Menurut beliau, ia tidak disedari berikutan minat membaca yang kurang dan bilangan yang berkunjung ke perpustakaan untuk membaca buku ilmiah juga tidak ramai.

"Selain pembaca yang kurang, apa yang saya perhatikan, perkembangan dan jualan buku ilmiah di negara ini memang agak perlahan.

"Kalau dapat terjual 2,000 naskhah itu sudah hebat. Contoh lain ialah jualan majalah-majalah ilmiah seperti majalah terbitan DBP.

"Jika dulu, jualannya tinggi dan mendapat sambutan, sekarang kita lihat walaupun golongan cerdik pandai makin bertambah, jualan buku dan majalah sebegini kian menurun," ulasnya sambil mengakui kewujudan kemudahan ICT juga ialah antara faktornya.

Bagi Abdul Latif, jumlah pengunjung ataupun keahlian perpustakaan yang ramai masih tidak dapat meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat negara ini. Jika pun ada, ramai yang lebih gemar memilih karya-karya berbentuk pop dan novel remaja.

Sebagai pensyarah di institut pengajian tinggi, beliau turut melihat kurangnya minat membaca dan membeli buku dalam kalangan penuntut. Beliau turut mencadangkan kerajaan menyediakan insentif kepada penulis buku ilmiah berbahasa Melayu dengan cara pemberian subsidi royalti yang tinggi.

Di kalangan penuntut IPT pula, Abdul Latif menggalakkan kempen kesedaran mengenai Hak Cipta harta intelek secara berterusan dipertingkat agar golongan ini memahami dan menghormati karya penulis tanah air.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: