Sunday, May 23, 2010

Cerita tukang urut sejenis


LAKONAN hebat Amran (kanan) dan penampilan istimewa Rosnan Rahman memang mencuri tumpuan.


ADEGAN peluk memeluk, urut mengurut dan babak dengan bumbu penuh berahi termuat dalam karya terbaru pengarah muda, Shuhaimi Lua. Karya berjudul Chukang yang dianggap 'panas' ini dapat dilihat di beberapa laman sosial meskipun tidak ditayangkan di mana-mana stesen tv tempatan.

Apa yang membuatkan Pancaindera terkesan, visual selama 17 minit itu memaparkan sepenuhnya adegan gejala songsang golongan gay, bapuk dan mak nyah yang cukup mendebarkan.

Ia mengisahkan tentang Azam yang bekerja sebagai tukang urut dan terjebak dengan gejala songsang tanpa pengetahuan keluarganya. Menjadi idaman ramai pelanggan setia yang akhirnya menimbulkan konflik dalam rumah urut itu sendiri.

Selain paparan aksi sensual separuh bogel, Chukang juga memaparkan kisah sisi hitam pekerja rumah urut kaum lelaki yang cintakan kaum sejenis.

Azam yang sering menjadi rebutan akhirnya menerima padah apabila kegiatan tidak bermoralnya itu diketahui keluarga.

Apa yang digambarkan oleh Shuhaimi dalam filem pendek pertama arahannya ini sebenarnya menimbulkan polemik yang cukup besar seperti mana yang pernah berlaku dalam beberapa filem pendek yang lain seperti Bukak Api, Comolot dan ... Dalam Botol yang lebih kurang sama.

Pelbagai persoalan yang bermain di fikiran tatkala Shuhaimi menunjukkan hasil karyanya itu. Maka timbullah pertanyaan apakah motif dia menghasilkan karya sebegitu?

Adakah ini trend terbaru pengarah muda sepertinya untuk mencipta nama? Adakah gejala songsang yang berlaku pada masyarakat kita semakin menjadi barah seperti mana yang dipaparkan dalam Chukang?

Selain Azam Pit yang dicungkil bakatnya daripada program realiti MyStar LG, Chukang juga turut dibarisi Roslan Shah, Rosnan Rahman, Amran Ismail, Aesar Mustafa, Dior, Ezham, Idham, Syuqran dan Fazrien Ziear.

Filem pendek yang memakan bajet RM10,000 itu akan bertanding di Festival Filem Malaysia ke-23 pada bulan Julai ini. Shuhaimi menafikan dia mengambil kesempatan ke atas pelakon filemnya itu dan menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku sehingga dia sanggup mengangkat golongan ini ke tahap sebegini.

Motif sebenar

Bagi Shuhaimi dia menafikan membikin Chukang atas dasar syok sendiri atau sekadar suka-suka sebaliknya apa yang cuba dipaparkan oleh pengarah muda ini cukup besar misinya.

"Saya hanya nak filem pendek pertama arahan ini masuk Festival Filem Malaysia yang akan berlangsung dua bulan lagi. Itu sahaja. Ini filem pertama arahan saya dan filem pertama juga terbitan syarikat saya sendiri.

"Sudah pasti saya mahu Chukang dijadikan penanda aras kepada kejayaan saya mengemudi Seamen Production Sdn. Bhd. yang baru sahaja ditubuhkan. Saya bukan orang baru dalam industri, macam-macam kerja yang pernah saya buat sebelum ni. Jadi bila duduk dekat kerusi pengarah saya mahu menghasilkan sesuatu yang baru," jelasnya yang pernah membintangi telefilem Zahrul VS Zarina ini.

Ada yang menganggap Chukang sebagai satu filem pendek yang sensasi dan tak kurang juga yang melabelkan ia sebagai satu cerita klise yang sengaja direka oleh Shuhaimi.

Ramai yang melihat isu yang diketengahkan sudah lapuk tetapi atas dasar mahu mencetuskan kontroversi pelakon mahupun pengarah sanggup bersekongkol untuk mengangkat golongan gay ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Jelas Shuhaimi, tidak ada istilah bersekongkol mahupun apa-apa tujuan yang tersirat sebaliknya dia menjelaskan karya Chukang merupakan karya asal dirinya yang sudah lima tahun tersimpan rapi tetapi tidak berpeluang untuk divisualkan.

"Memang saya bertekad untuk menerbitkan ia bila tiba masanya dan saya rasa ini masa yang cukup sesuai untuk dipertontonkan. Cerita ini ada kelainan. Itu yang saya suka. Jadi saya mahu orang ramai tengok dulu hasil kerja saya dan barulah boleh jatuh hukuman," pinta anak muda yang berusia 35 tahun ini.

Jelas Shuhaimi dia sengaja memilih cerita gay sebagai tema kerana yakin ramai yang teruja dengan cerita ini. Sambil menafikan dia mengagung-agungkan golongan ini, dia sudah menerima banyak maklum balas yang mahu Chukang dibuat dipanjangkan menjadi sebuah filem standard.

Mahu cari kontroversi

Kontroversi itu penting. Ada yang sengaja mencipta kontroversi untuk melariskan filem dan tak kurang juga yang menerima tempias apabila sesebuah filem itu selesai ditayangkan di panggung.

Tapi harus diingat, kontroversi bukan dalam dunia cinta songsang semata-mata. Masih banyak lagi isu lain yang boleh diangkat seperti isu agama seperti mana yang banyak dipaparkan dalam filem Indonesia. Tapi mengapa Shuhaimi masih mahu bikin kontroversi dunia songsang ini?

"Saya tidak melihat ia sebagai satu masalah yang besar. Apa yang penting mesej yang ingin disampaikan itu.

Ya, memang itu niat saya untuk kontroversi. Kalau saya buat cerita cinta yang biasa sampai bila-bila pun orang tak akan tertarik nak tengok. Bila buat cerita rumah urut banyak maklum balas yang saya terima dan ramai yang teruja dengannya.

"Ini yang membuatkan saya seronok dan yakin hasil kerja saya akan dilihat dan membuka rezeki seterusnya. Lagipun cerita tentang rumah urut ini bukanlah sesuatu yang asing bagi orang kita. Setiap hari ada sahaja rumah urut yang diserbu dan gejala ini masih terus berleluasa. Apa salahnya saya bikin panas untuk menarik perhatian peminat?.

"Kalau penonton lihat keseluruhan filem ini, sudah pasti tahu apa mesej yang saya ingin paparkan. Hanya ada beberapa babak sensual tapi yang lain semua cerita yang ada mesej.

"Jadi kalau ada yang nak label ini filem lucah saya tak setuju. Sebab itu saya minta orang lihat dulu keseluruhan Chukang barulah boleh nak bagi komen," katanya.

Menjadi pengarah baru sepertinya, sudah pasti memberikan satu cabaran yang paling besar untuk menapak dalam bidang ini. Banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuhi sebelum sampai ke tahap ini.

Shuhaimi menjelaskan dia cukup berterima kasih kepada orang sekeliling yang banyak membantu dirinya membina nama dan kerjaya apatah lagi kepada pelakon serta kru yang terlibat dalam pembikinan Chukang.

"Saya cukup bangga dengan komitmen yang diberikan artis yang terlibat. Ada yang hanya tolong saya secara ikhlas tanpa meminta bayaran. Ini sebenarnya cukup besar maknanya pada saya.

"Bagi pelakon baru pula saya cukup kagum dengan bakat yang ditunjukkan oleh Azam, Amran, Izham dan pelakon yang lain yang begitu komited. Harap-harap selepas ini bintang mereka lebih bersinar seperti mana yang dikecapi orang lain," kata Shuhaimi tanpa berselindung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: