Sunday, May 23, 2010

The 5 belum berkubur




ENTAH di mana silapnya, kumpulan yang asalnya tiga orang ini hilang terus di persada muzik tempatan walaupun ramai yang cukup kenal dengan lagu Separuh Masa satu ketika dahulu.

Jika dulu mereka dikenali bertiga, tapi kini The 5 hanya tinggal Taura dan Arif. Bony sudahpun mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan yang satu ketika dahulu cukup popular.

Ada yang menuduh mereka berantakan dan tak kurang juga yang membuat spekulasi kurang enak tentang ‘kehilangan’ Bony daripada kumpulan ini.

Taura mahupun Arif menafikan sekeras-kerasnya mereka bergaduh mahupun bercakaran sebaliknya kehilangan Bony itu adalah pilihan dirinya sendiri, bukan disingkirkan.

“Bony mengambil keputusan untuk keluar dan bekerja di sebuah bank di Indonesia dan tidak dapat meneruskan perjuangan yang kami ciptakan. Dia mahu menunai impian orang tuanya yang mahu dia bekerja di pejabat,” luah Taura saat diajukan soalan kehilangan teman mereka itu.

Dicungkil bakatnya daripada program realiti Gang Starz, The 5 pernah bernaung di bawah KRU Music Grup dan menghasilkan album sulung yang memuatkan 10 buah lagu termasuklah Buronan Cinta.

Namun dalam diam kumpulan yang berasal dari Indonesia ini tiba-tiba sahaja menyepi dari dunia seni tempatan. Ramai yang sedar kehilangan mereka namun kini mereka kembali dengan imej dan wajah baru.

“Walaupun tanpa Bony, The 5 tetap meneruskan langkah yang telah kami mulakan dulu. Kami tidak mahu terhenti setakat itu sahaja memandangkan masih banyak yang perlu kami capai,” tambah Taura ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini.

Jelas Taura, mereka bukan sengaja mahu menyepikan diri dalam bidang seni sebaliknya masing-masing sibuk menghabiskan baki pelajaran yang tertinggal semasa menyertai pertandingan realiti itu.

Dan kini setelah berjaya menamatkan pengajian di menara gading, mereka terus menghasilkan album baru yang berjudul Victory yang memuatkan lagu-lagu berentak pop dance sebagai taruhan.

Akui mereka, nama The 5 cukup dikenali di Malaysia berbanding di tanah kelahiran mereka. Walaupun agak perit menerima hakikat itu, kedua-dua anggota The 5 tidak pernah patah semangat dan sentiasa optimis yang mereka juga boleh berjaya seperti kumpulan yang lain.

“Nama The 5 itu kurang dikenali di Indonesia memandangkan kami dicungkil bakatnya di Malaysia. Tapi alhamdulillah kerana nama kami sudah dikenali di kota Bandung berbanding Jakarta.

“Ini cabaran bagi kami sebenarnya. Mahu menempatkan diri di Indonesia dan mahu mengukuhkan populariti di Malaysia. Dan dalam masa yang sama kami juga mahu menembusi pasaran Singapura memandangkan sudah ada strategi untuk ke sana,” jelas Taura.

Melihatkan atmosfera muzik Indonesia hari ini, hampir setiap hari melahirkan kumpulan generasi baru yang cukup hebat. Malah kumpulan-kumpulan muzik ini juga menenggelamkan banyak penyanyi solo secara tak langsung.

Sambil mengakui apa yang berlaku dalam industri muzik di sana, The 5 yakin imej pop dance dan tarian seperti penyanyi Korea yang mereka persembahkan bakal menarik perhatian peminat di sana.

“Kami tahu untuk mencetuskan fenomena di sana agak sukar tetapi di sana hanya ada kumpulan Pasto yang sama konsepnya seperti kami. Hanya berdua dan mempertaruhkan kekuatan vokal semata-mata.

“Secara peribadinya saya tidak melihat ini sebagai sesuatu yang mustahil tetapi ia adalah cabaran yang terpaksa kami tempuh. Walaupun berliku tapi akan kami harungi juga.

“Sebab itu kehadiran kami kembali ke persada muzik Malaysia mahupun Indonesia atas dasar mahu memartabatkan muzik semata-mata. Kalau mahu kerja senang bukankah baik bekerja di pejabat,” luah Arif sambil berjenaka.

Sudah pasti hampir dua tahun menghilang banyak perkara yang telah direncanakan. Bagi mereka untuk mengikis imej Bony yang sebati dengan imej rambut kerinting itu cukup sukar memandangkan dialah menjadi kekuatan The 5 sebelum ini.

“Kami mahu mengubah persepsi orang terhadap The 5 dan dalam masa yang sama mahu mencipta nama dengan bakat yang kami miliki,” jelas Arif mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: