Sunday, May 23, 2010

"Cintaku jujur di Kuala Lumpur"




ADA sebab untuk si janda anak satu ini cepat jatuh cinta kepada Malaysia. Bukan sekadar untuk menambah poket dan rezeki buat menambah koleksi Hermes atau Gucci, sebaliknya Rossa benar-benar telah ‘jatuh cinta’ kepada negara yang satu ini.

“Lebih sepuluh tahun berulang-alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur, ya, aku cinta sekali sama Malaysia. Ini negara keduaku selepas Indonesia. Aku senang sama orangnya, makanannya dan semua yang ada di Malaysia. Di sini, aku seperti berada di negaraku sendiri,” kata Rossa dalam tawa yang bercanda.

Mula ke Malaysia semenjak lebih sepuluh tahun lalu, Rossa ketika itu tidak sepopular Krisdayanti. Tetapi itu bukan halangan untuk dia mengejar dari belakang dan hari ini, nyata nama Rossa lebih ke hadapan.

Akan tetapi rezeki itu datang bukan secara kebetulan, sebaliknya dengan usaha yang tidak pernah berkurang.

“Aku ke Malaysia bukan saja untuk menyanyi, bukan sekadar pementasan. Banyak yang tidak tahu, aku juga selalu ke Kuala Lumpur hanya untuk menemui teman-teman.

“Sekadar kopi-kopi, bersembang untuk minum petang, aku boleh menaiki kapal terbang terus ke Kuala Lumpur. Sungguh, aku tak bohong ni,” ujarnya lagi.

Sengaja Pancaindera bertanya di mana lokasi biasa menjadi penempatan Rossa kala berada di Kuala Lumpur, Rossa dengan pantas menjawab, “Pastilah di hotel sekitar Bukit Bintang. Itu ruang rumahku yang paling menyenangkan,” katanya.

Berada di Kuala Lumpur cukup asyik, kerana dia tidak seperti berada di negara orang. Mahu menjamah makanan Minang, Jawa atau Padang, hanya dengan sekali panggilan kepada teman-teman, pasti hajat itu akan kesampaian.

Juga lokasi Bukit Bintang menjadi destinasi yang tidak dilupakan setiap kali tiba musim durian. Kala kaki menjengah saja lapangan terbang di Sepang, aroma durian di Bukit Bintang bagaikan sudah ke lubang hidung mencengkam.

“Duriannya enak deh. Aku penasaran kalau tidak ke Bukit Bintang untuk makan durian. Ya Allah, hilang segala diet dan kontrol makan kalau aku di negaramu teman,” beritahunya lagi.

Sementara di Kuala Lumpur, tidak sesekali dia melepaskan peluang untuk memberi makanan kepada jiwa. Sementelah wanita dengan hobi membeli-belah tak terpisahkan, Rossa juga tidak terkecuali berada dalam kategori sama.

Pavillion menjadi pilihan, kalau ada sebarang keinginan, kerana di situ jugalah terletaknya lokasi pameran Hermes, jenama tas tangan pilihan.

Mimpi jadi realiti

Kecintannya justeru membuatkan dia memilih Malaysia sebagai lokasi pertama penampilannya di pentas konsert luar negara.

Konsert Melodi Cinta buat pertama kalinya mempertemukan Rossa dengan peminat di Malaysia dalam skala besar, gilang gemilang. Dianjurkan dengan wang saku sendiri, konsert berharga hampir RM2 juta itu adalah manifestasi cinta Rossa kepada Malaysia dan peminatnya di sini.

Bercakap tentang konsert Melodi Cintanya tangga 29 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil, Rossa sendiri masih lagi seperti tidak percaya yang segalanya hampir menjadi realiti.

Ketika Rossa meluahkan niat untuk bertamu dalam konsert berskala besar-besaran secara solo, ada yang bertanggapan sinis. Mampukah?

Mampukah Rossa menarik perhatian penaja sekaligus menggamit penonton untuk bersama berlagu dengannya? Jika nama-nama besar Malaysia dan Indonesia sendiri ‘gerun’ memilih konsert solo di sini, kecuali Siti Nurhaliza, Rossa dilihat berani.

Sebesar nama Krisdayanti, atau apa sajalah nama popular lain, tidak mampu seberani Rossa untuk mengatur perjalanan seperti ini.

Ketika ditanya dari mana datangnya keberanian itu, Rossa sendiri mulanya mengaku dia sendiri keliru.

“Ia, aku sendiri tidak begitu berani awalnya. Aku juga takut untuk muncul dalam konsert besar di luar Jakarta. Tetapi aku fikir, sampai bila aku perlu takut?

“Lalu aku bangun dan berlawan dengan ketakutan itu. Pada akhirnya aku benar-benar bakal muncul dalam konsert besar di negara tetangga ini.

“Dan sekarang aku tidak perlu takut lagi. Ketakutan bukan kelemahan, tetapi perlu dilawan untuk menterjemahkan kekuatan,” katanya, sedikit berfalsafah.

Jinak bermesra, manja kala berinteraksi, Rossa memilih untuk menjadi dirinya sendiri dalam konsert berkenaan. Akui, peraturan Malaysia sedikit berbeza bagi artis yang mahu muncul di dalam konsert, Rossa akan akur dengan kehendak supaya tampil lebih sopan dalam busana pilihan.

Terharu dihargai wanita pertama

Sementara itu, seramai 50 kanak-kanak daripada program Permata Negara akan membuat penampilan khas dalam konsert berkenaan, terkesan daripada kecintaan Rossa sendiri kepada anak-anak kecil.

Kagum dengan bakat yang ada pada si kecil, ibu anak lelaki tiga tahun bernama Rizki Langit Ramadhan ini mahu peminat berkongsi saat-saat manis dengannya di pentas berkenaan.

“Kanak-kanak ini adalah mereka yang cemerlang dan berbakat dalam akademik, seni koir dan muzik. Saya kagum sekali dengan usaha isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggilap bakat dan kecemerlangan kanak-kanak dalam bidang seni melalui program Permata.

“Maka ketika diajukan untuk melibatkan anak-anak ini, saya sangat teruja. Dan pastinya apabila Datin Seri, sendiri bersetuju menjadi penaung kepada Konsert Melodi Cinta saya, pastinya saya amat berbangga.

“Terimakasih yang cukup tinggi kepada wanita pertama Malaysia itu, kerana saya tidak pernah menyangka, diberi layanan yang istimewa sekali melalui konsert ini apabila beliau sudi menjadi penaung acara ini,” katanya dalam mata berkaca-kaca, terharu sungguh. Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara turut terlibat bersama kanak-kanak daripada program Permata Negara dalam konsert berkenaan.

Ilham Melodi Cinta sebenarnya muncul setelah dia sukses dengan Konsert Persembahan Cinta Rossa di Jakarta, Surabaya dan Bandung.

Cerita kejayaan Konsert Cerita Cinta Rossa di beberapa buah bandar di Indonesia seperti Jogkarta, Lampung, Palembang, Jambi, Padang, Pekan Baru dan Medan membuatkan Rossa yakin bahawa “Melodi Cinta” bakal menempah kejayaan luar biasa dan dapat memenuhi segala impiannya untuk peminat di Malaysia.

Melodi Cinta Rossa akan dipimpin oleh pengarah muzik terkenal Indonesia iaitu Yovie Widianto bersama 30 orang pemuzik latar secara orkestra.

Sementara Jay Soebiyakto diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Persembahan.

Melodi Cinta Rossa juga menampilkan penyanyi popular Malaysia, Aizat selain Ungu dan ST12 yang diundang bersama.

Menawarkan tiket-tiket dengan harga dari RM53, RM103, RM153, RM203, RM253, RM303 dan RM353. Untuk maklumat tentang penempahan tiket, peminat boleh terus ke talian +603 77115000 atau layari laman web www.axcess.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: