Saturday, May 1, 2010

Cengkaman extra


Ujian membuktikan pengguna PS3 menikmati tiga kelebihan utama iaitu cengkaman yang baik, tahan lama dan penjimatan bahan bakar


TAYAR merupakan komponen terpenting yang menjamin keselamatan dan kelancaran sesebuah kenderaan namun ramai yang tidak mengambil berat keupayaan dan fungsi sebenar sistem roda itu.

Penulis sendiri tidak memahami kepentingan set tayar secara mendalam sehinggalah berpeluang mencuba salah satu daripada tayar jenama terbaik di pasaran iaitu Michelin.

Bertempat di Hua Hin, Thailand, pengeluar tayar terkemuka itu baru-baru ini memperkenalkan produk terbarunya, Pilot Sport 3 (PS3) kepada wartawan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, India, Pakistan dan Korea.

Sebagai ganti model terdahulu iaitu Pilot Sport 2, PS3 dipasang pada beberapa kenderaan yang digunakan untuk pelbagai kategori ujian.

Pada setiap ujian, perbandingan dilakukan dengan menggunakan tayar jenama X. Bukan sembarangan perbandingan, kerana jenama X juga adalah tayar dari jenama terkenal yang mendapat sambutan baik di rantau ini.

Ujian pertama di Litar Litar Kaeng Krachan, Petchaburi bermula dengan ujian cengkaman di atas permukaan jalan yang disirami air menggunakan dua buah Toyota Corolla Altis yang dipasang dengan tayar PS3 manakala satu lagi dipasang tayar pesaing.

Dalam sesi itu, setiap daripada wakil media diberi peluang memandu dan melakukan brek kecemasan untuk merasai perbezaan cengkaman antara kedua-dua tayar.

Dua perbezaan paling ketara yang dirasai adalah cengkaman tayar ketika memandu di selekoh basah dan keupayaan menghentikan kenderaan ketika di jalan lurus yang basah.

Catatan masa yang diperolehi melalui alat sukatan khas juga menunjukkan Altis yang menggunakan PS3 mempunyai jarak hentian lebih singkat iaitu antara tiga hingga empat meter dalam setiap ujian.

Pengurus Produk Kenderaan Penumpang dan Trak Ringan Michelin Asia Pasifik, Pierre Azemat berkata, data yang dikumpul membuktikan PS3 mempunyai testimoni cengkaman yang mengagumkan.

"Teknologi sistem anti luncur (ASS) pada bunga tayar pada PS3 membantu memecahkan takungan air dengan lebih berkesan.

"Formula getah bercampur silika yang digunakan pula berjaya mengurangkan kepanasan tayar sepanjang pemanduan," katanya.

Selain ASS yang mengoptimumkan pemanduan di permukaan basah, tayar yang dibina dengan 'bahu melengkung' itu juga tidak menjejaskan sentuhan tayar pada permukaan jalan. Ciri yang menjadikan PS3 lebih selamat.

Ujian kedua yang dilakukan menggunakan BMW 3 Siries (E90) adalah pemanduan di jalan kering di litar berselekoh tajam.

Pada pusing ini, perbezaan kawalan antara kedua-dua jentera begitu ketara setiap kali stereng diputar. E90 yang dipasang dengan PS3 jelas lebih 'melekat' dan lancar berbanding jenama X yang beberapa kali tersasar ketika pusingan U pada kelajuan 60 kilometer sejam.

Menurut pemandu profesional yang mengiringi pemanduan penulis, gelinciran dan gegaran pada tayar semasa selekoh adalah perkara yang paling ditakuti ketika pemanduan pada kelajuan tinggi.

"Kelancaran yang anda rasai semasa memandu dengan PS3 adalah jaminan yang lebih selamat," jelasnya selepas ujian dua pusingan itu berakhir.

Pemanduan lebih selesa tayar PS3 itu adalah hasil penggunaan kompaun lembut dan teknologi 'Programmed Distortion Tire' yang memberikan lebih kawalan dan kestabilan.

Ketika pemanduan berkelajuan rendah pula, teknologi fleksibel itu membolehkan tayar mencapai suhu yang bertepatan dalam masa yang singkat. Dengan pengawalan suhu itu, Michelin mendakwa PS3 mempunyai 10 peratus lebih jangka hayat berbanding PS2.

Selain itu, evolusi PS3 juga berjaya mengurangkan penggunaan bahan bakar kira-kira 20 peratus berbanding penggunaan PS2 melalui teknologi polimer elastomer berketahanan tinggi yang mampu mencengkam permukaan jalan tanpa terlalu banyak geseran.

Ujian seterusnya adalah pemanduan di jalan raya tidak jauh dari taman negara Hua Hin. Kelancaran yang dirasakan terutama ketika mengambil selekoh cukup mengagumkan.

Selepas pemanduan sejauh kira-kira 30 kilometer melalui empangan dan keindahan kampung, pengalaman sebenar memandu dengan PS3 terbukti mengagumkan.

Ujian terakhir pada hari pelancaran itu adalah pemanduan jentera satu tempat duduk iaitu GT-5 yang juga disarungkan PS3.

Meskipun pengalaman memecut jentera yang menggunakan enjin motosikal Suzuki Hayabusa itu sekadar 'hiburan' untuk para media, prestasi yang dibuktikan PS3 pada sesi terdahulu jelas menambah keyakinan untuk mengendalikan jentera berkapasiti 1,300 cc itu.

Pengarah Pemasaran Kenderaan Penumpang Asia Tenggara dan Oceania, Thierry Rudloff berkata, PS3 direka untuk memenuhi keperluan tayar kategori sport, sedan, kompak sport, hatchback dan coupe.

"Ia mendapat kelulusan untuk digunakan pada kenderaan sport seperti Audi A3, Citroen C4, Ford Max, Mercedes-Benz S65 AMG, E-Class dan SL,"katanya.

Menurut Rudloff, ujian yang dilakukan di Eropah juga membuktikan pengguna PS3 menikmati tiga kelebihan utama iaitu cengkaman yang baik, tahan lama dan penjimatan bahan bakar.

Tayar berprestasi tinggi yang kini boleh didapati di pasaran tempatan didatangkan dalam 26 saiz bersedia bermula dari saiz rim 15 inci hingga 19 inci.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: