|
|
TUAH ayam nampak di kaki, tapi tuah pemain golf hanya dengan satu pukulan boleh dapat kereta Perodua Viva.
Walaupun itu jarang-jarang berlaku, namun pada Kejohanan Golf sempena sambutan Ulang Tahun Ke-7 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Kelab Golf Tiara & Country baru-baru ini, anggota tentera di Markas 10 Briged Para Kem Terendak muncul sebagai antara pemain bertuah.
Dia bukan bergelar juara, tetapi tuah memihak kepadanya apabila berjaya melakukan pukulan selubang untuk melayakkan dia memenangi Perodua Viva bernilai RM25,300.
Mejar Ibrahim Hanafi, 48, melakukan pukulan tersebut di par-3 lubang keempat Meadow sejuah 144 meter. Pemain berhandikap sembilan itu terkejut apabila bola yang dipukul menggunakan iron-8 itu singgah di green dan terus bergolek ke dalam lubang.
Ibrahim seperti tidak percaya apabila petugas yang menjaga di lubang tersebut menjerit-jerit "hole-in-one!, hole-in-one"!
''Saya tidak menjangka berjaya membuat pukulan hole-in-one dan inilah kali pertama sejak saya bermain golf berjaya melakukannya.
''Tidak terfikir bola yang dipukul terus bergolek masuk ke dalam lubang.
"Memang saya sangat gembira dapat melakukan pukulan itu dan memperoleh kereta Perodua Viva," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang turut beraksi bagi kategori VIP.
Bagaimanapun, sebuah lagi kereta Perodua Alza 1.5L (m) berharga RM55,990 yang ditawarkan di par-3 lubang keenam Meadow pada jarak 166 meter gagal dimenangi.
Kejohanan Golf yang diadakan bagi memeriahkan sambutan Ulang Tahun Ke-7 MBMB itu telah menarik 164 pemain yang bertanding bagi kategori terbuka dan jemputan.
Turut beraksi di kejohanan tersebut ialah Mohd. Khalil; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan; Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Tahir Hasan dan ADUN Ayer Limau, Amiruddin Yusof.
Bagi kategori jemputan dimenangi oleh Abdul Ghafaar apabila memenangi sebuah televisyen LCD 40 inci model Samsung, tempat kedua menjadi milik Datuk Ahmad Rosli yang menerima televisyen LCD 32 inci jenis Panasonic dan Zulkifli Saat menduduki tempat ketiga memperoleh peti sejuk dua pintu Toshiba.
Manakala bagi kategori terbuka pula telah dimenangi oleh Abu Samah Kecil yang memenangi sebuah motosikal Yamaha, tempat kedua menjadi milik Mohd. Shahidi Yahya menerima sebuah televisyen LCD 40 inci model Samsung dan Sazali Kadlan menduduki tempat ketiga mendapat televisyen LCD 32 inci Panasonic.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: