Monday, May 3, 2010

Pantang jumpa besi buruk

Kesusahan hidup pada masa kecil memaksa Mohd. Tahar mengumpul barang terbuang termasuk 200 bilah senjata tajam.




"BESI ada daulat, besi paling kuat, kita kena sayang besi." Itulah kata-kata seorang warga emas, Mohd. Tahar Singkro, 79, dari Kampung Sepakat Baru, Skudai, Johor.

Mohd. Tahar yang masih sihat ialah antara insan yang dikenali bukan sahaja di kalangan hampir 1,000 penduduk kampung berkenaan malah di seluruh negeri Johor.

Semuanya gara-gara minat dan hobi uniknya sejak kecil iaitu mengumpul barang-barang terbuang terutama senjata tajam.

Kini jumlah senjata yang dikumpulnya melebihi 200 bilah dan dipamerkan di rumahnya.

Sebaik sahaja melangkah memasuki rumah Mohd. Tahar, tetamu pasti terpesona dengan pelbagai barang buangan yang telah dibaik pulih tersusun rapi di pintu dan dinding rumah.

Pastinya mata tetamu terpegun melihat pelbagai jenis pisau, parang, sabit, keris, belantan dan pedang yang berusia ratusan tahun di rumah tersebut.

Ketika kedatangan penulis dan jurugambar, Raja Jaafar Ali ke rumah berkenaan baru-baru ini, lelaki berketurunan Bugis itu berada di kebun sayurnya sebelum pulang ke rumah bertemu kami beberapa minit kemudian setelah dimaklumkan oleh ahli keluarganya.

Menurut empunya diri, kehidupannya ketika kecil sangat susah bahkan beliau turut mengalami penderitaan pada zaman penjajahan Jepun dahulu termasuk mengikat perut dan makan ubi kayu sebagai makanan harian.

Ekoran kesusahan dan kesempitan hidup itu, beliau mula menyayangi setiap benda dan akan berasa sedih jika terjumpa barang buangan terutama besi.

"Sejak kecil jika saya terjumpa besi terbuang, saya pasti mengutip dan membawanya pulang ke rumah.

"Bagi saya, apabila sesuatu benda itu dibuang ia menjadi sangat hina, jadi hati saya tersentuh jika terjumpa barangan buangan terutama besi.

"Besi yang berkarat akan saya bawa pulang sebelum saya baiki, membuat sarung dan mengecatnya sebelum disusun di dinding atau pintu rumah," katanya yang turut mendapat galakan daripada dua anaknya, menantu dan enam cucunya.

Usaha Mohd. Tahar mengumpul besi-besi terbuang tidak sia-sia malah orang ramai turut memberinya besi-besi terbuang atau senjata lama.

Penduduk kampung yang mengetahui hobi warga emas itu juga tidak keberatan menyerahkan besi terbuang untuk dibaik pulih sekali gus menambahkan koleksi Mohd. Tahar.

Lebih menarik, koleksi di rumah tersebut turut disumbangkan oleh pelbagai bangsa di negara ini termasuk kaum India.

Contohnya, sebilah parang panjang yang dikenali sebagai parang India yang berusia ratusan tahun diberikan oleh seorang lelaki India kepadanya beberapa tahun lalu.

"Orang kampung dan tetamu rumah ini mengetahui sifat saya yang menyayangi besi, jadi mereka yang memiliki atau menjumpai besi atau senjata lama tidak keberatan menyerahkan kepada saya kerana saya menjaganya dengan baik," katanya.


SEBILAH keris yang tertera tulisan jawi, ya zaljalalul walikram.


Mengasap senjata

Hobi menyimpan barangan besi terutama senjata tidak boleh dibuat secara sambil lewa.

Senjata amat berbahaya jika tidak dijaga dan disimpan dengan baik, ia boleh mencederakan orang di sekitarnya.

Mohd. Tahar akan membuat sarung bagi senjata tajam, selain membuat tempat menyangkutnya di dinding atau diletakkan di atas para dengan baik.

"Setiap malam Jumaat, saya akan mengasap senjata-senjata ini dengan kemenyan. Saya mengambil masa lebih setengah jam untuk mengasap semua senjata itu.

"Pada bulan Muharam pula alat-alat itu akan dimandikan dengan limau," katanya yang mengakui mengamal beberapa petua untuk menjaga senjata berkenaan.

Antara koleksi yang disayangi Mohd. Tahar termasuk sebilah sundang yang berusia ratusan tahun.

Ia merupakan senjata tertua dalam simpanannya yang merupakan warisan turun-temurun daripada arwah bapanya yang meninggal dunia pada tahun 1938 di Pontian.

Sundang tersebut, katanya, pernah digunakan dalam peperangan di Bugis dan dipercayai pernah memakan nyawa orang berdasarkan keadaan matanya yang berlekuk.


SUNDANG antara koleksi Mohd. Tahar yang berusia lebih 200 tahun dipercayai pernah memakan nyawa berdasarkan kesan sumbing pada matanya.


"Saya juga mempunyai koleksi berupa sebatang sula yang ditemui di hutan Pahang yang dipercayai berusia ratusan tahun.

"Ia merupakan pemberian seseorang yang meminta saya menyimpannya kerana anak-anaknya menangis pada waktu malam setelah alat tersebut dibawa pulang ke rumahnya.

"Namun, setelah sula itu saya balut dengan kain kuning dan mengamalkan beberapa petua lain, ia tidak pernah pernah mengganggu keluarga saya," kata Mohd. Tahar yang tidak berhasrat menjual koleksinya.

Jelasnya, koleksi senjata tersebut tidak akan dijual walaupun ada beberapa individu menawarkan harga yang lumayan kerana dia sangat menyayangi senjata tersebut selain tidak berniat untuk mengaut keuntungan.

Selagi ada hayat, koleksi tersebut akan terus dipelihara. Sekiranya telah meninggal dunia terpulang kepada anak-anaknya untuk membuat keputusan sendiri sama ada menyimpan senjata tersebut atau menyerahkan kepada pihak lain.

"Koleksi senjata milik saya pernah dipinjam untuk tujuan pameran seperti Muzium Bugis di Pontian.

"Bagaimanapun, saya hanya meminjamkan kepada orang jika tujuannya baik," kata Mohd. Tahar.


MOHD. TAHAR (empat dari kiri) bersama anak, menantu, cucu dan jirannya di rumahnya di Kampung Sepakat Baru, Skudai, Johor baru-baru ini.


Sementara itu, menantunya, Kamalulil Kasim, 45, turut mengagumi semangat dan kesungguhan bapa mentuanya itu menyimpan pelbagai jenis senjata dan barang buangan lain.

Dia yang bekerja kilang di Singapura berkata, jika seseorang itu tidak pernah mengunjungi rumahnya pasti tidak percaya dengan apa yang keluarga mereka miliki ini.

"Bapa mentua saya pantang terjumpa besi terbuang, pasti dibawa balik ke rumah sebelum dibaik pulih.

"Justeru, jika saya yang jumpa barang tersebut juga akan saya serahkan kepadanya selain membelikan beberapa barangan lain seperti pedang samurai," katanya yang mempunyai tiga orang anak perempuan iaitu Erra Shamira, 16, Erna Nadira, 13, dan Emma Farisha, 8.

Bagi Erra Shamira, dia turut menyokong penuh hobi datuknya itu yang disifatkannya unik.

"Bukan sahaja rakan-rakan berkunjung ke rumah datuk malah pelancong dari luar negara seperti Australia dan New Zealand juga pernah melawat dan melihat sendiri koleksi berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: