Thursday, May 27, 2010

Bongkar drama RM26,550 dicuri

KLANG: Cubaan seorang eksekutif pemasaran menipu majikannya dengan mendakwa kononnya wang RM26,550 dibawanya disamun gagal meyakinkan majikan dan pihak berkuasa apabila dia disyaki terbabit dalam kehilangan wang itu.

Dalam kejadian jam 11.25 pagi semalam, lelaki yang berusia 29 tahun itu ditahan ketika dia memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang berikutan keterangannya meragukan.


Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof, berkata dalam laporan suspek, dia mendakwa keretanya dihalang di bahagian depan dan belakang oleh dua kereta Proton Waja yang dinaiki tujuh perompak di Jalan Haji Sirat, Kapar di sini.


“Suspek mendakwa baru mengeluarkan wang RM26, 550 berkenaan dari sebuah bank di Klang Utama dan memandu menuju sebuah bank lain di Bandar Baru Klang sebelum disamun.


“Suspek turut mendakwa diekori dua Proton Waja ketika keretanya tiba di Jalan Haji Sirat,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, selepas keretanya dihalang, suspek mendakwa seorang daripada perompak yang bersenjatakan parang keluar dan memecahkan tingkap keretanya di bahagian penumpang sebelum merampas beg berisi wang RM26,550.


“Dia yang mendakwa ketakutan dan panik hanya melihat perompak terbabit melarikan diri bersama rakan-rakannya selepas itu. Kemudian, dia datang ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan itu,” katanya.


Mohamad berkata, pihaknya yang melakukan siasatan lanjut, bagaimanapun curiga keterangan diberikan lelaki terbabit sebelum dia ditahan bagi membantu siasatan.


“Berdasarkan keterangan majikannya, lelaki itu diarah menunggu di dalam bank sehingga seorang lagi kakitangan syarikat dihantar untuk mengiringinya keluar, tetapi sebaliknya berlaku apabila dia tidak mematuhi arahan itu.


“Dia ditahan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: