Thursday, May 27, 2010

'Ketua Polis Johor’ cuba tipu Exco ditahan

JOHOR BARU: Bodoh sombong, begitu kelakuan seorang penjenayah yang bukan hanya melakukan cubaan menipu seorang Exco kerajaan negeri ini, malah berani mengaku dirinya Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd Shariff kononnya untuk meyakinkan mangsa.

Penjenayah yang terdesak mendapatkan wang segera itu mengirimkan SMS kepada Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, M Asojan pada 9 Mei lalu.


Dalam SMS itu, penjenayah terbabit menawarkan pembelian set komputer kononnya hasil rampasan operasi polis dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) pada harga serendah RM300 bagi setiap unit.


Sekiranya bersetuju, Asojan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, perlu memasukkan wang mengikut jumlah komputer dipesan.


Difahamkan, sebaik mendapat SMS itu, Asojan menghubungi ‘Mokhtar’ terbabit.


Bagaimanapun, apabila Asojan menghubungi pengirim SMS terbabit, beliau menanyakan suara ‘Mokhtar’ agak berbeza sebelum suspek mendakwa kononnya sakit tekak.


Asojan bertindak bijak apabila menghubungi Ketua Polis Johor dan memaklumkan mengenai tawaran itu sebelum beliau dinasihatkan membuat laporan berhubung kejadian.


Siasatan diteruskan sebelum pasukan khas dari Bukit Aman menjejak pengirim SMS terbabit.


Pasukan polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kuala Lumpur pada 13 Mei lalu kerana disyaki terbabit kes berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: