|
|
BETULKAH kata orang Rosyam Nor hari ini sudah jadi jutawan dan kaya-raya? Malah ada juga dakwaan yang mengatakan Rosyam makin mengembangkan kekayaan yang dimiliki dan sudah bersedia untuk meninggalkan bidang seni. Ada juga suara-suara nakal yang mengatakan Rosyam bakal meninggalkan bidang seni dan mahu menumpukan sepenuh tumpuan kepada dunia bisnes.
Lama mencari pelakon yang satu ini dek kesibukan yang tidak pernah bertepi, akhirnya Pancaindera berjaya menjejaki Rosyam. Dan ketika diajukan pertanyaan apakah lagi yang mahu dicari olehnya dalam kehidupan sementelah sudah punya nama besar dan rezeki melimpah-ruah sebelum ini, pemain watak utama drama bersiri Gelora Di Hati Sara itu mempunyai alasan tersendiri. Dalam bahasa penuh yakin, Rosyam menganggap apa yang dilakukannya adalah sebagai satu ibadah.
"Tidak timbul istilah tamak dalam diri saya. Memang saya sedang menjana kekayaan. Bukankah kita dituntut mencari kekayaan asalkan jangan lupa diri dan membantu sesama manusia? Ini yang sedang saya praktik dalam hidup untuk membantu orang lain. Saya boleh menambah kekayaan sendiri.
"Tapi saya memilih untuk bersama dengan orang lain untuk menjana kekayaan. Kalau nak kaya, biarlah kita kaya bersama-sama. Bukan sekadar saya kaya seorang diri tetapi juga orang lain," jelasnya kepada Pancaindera.
Selain memiliki Suhan Movies Trading yang mengeluarkan produk-produk seperti drama dan telefilem, Rosyam kini melebarkan sayap dengan menyertai bisnes di bawah Power Impian International Sdn. Bhd. yang cukup terkenal dengan rangkaian produk-produk makanan dan kesihatan.
Di bawah syarikat tersebut, Rosyam telah menubuhkan Rosyam Nor Group (RNG) yang berjaya menghimpunkan lebih 2,000 ahli dalam jangka masa hanya seminggu selepas dilancarkan.
Meminati bidang perniagaan pelbagai tingkat, Rosyam yakin produk yang dihasilkan oleh syarikat gergasi yang dinaunginya tidak akan menghampakan ahli memandangkan sistem yang ada cukup teratur dan sistematik sekali. Sambil menafikan yang dirinya pergunakan oleh sesetengah pihak, Rosyam yakin perniagaan barunya itu bakal memberikan sedikit kesenangan kepada semua ahli yang menyertai jika berusaha keras dan gigih mencapai cita-cita dan masa depan yang lebih sempurna.
"Saya tidak menjanjikan emas, gunung-ganang dan intan permata kepada rangkaian RNG. Cukuplah sekadar mereka dalam dapat menampung ansuran kereta atau rumah ahli setiap bulan. Kalau mereka kaya-raya dan mewah, itu merupakan satu bonus. Tapi jangan ingat nak terus kaya semata-mata," katanya.
Ditanya mengenai stigma masyarakat yang sudah muak dan jelak kepada industri MLM, menurut Rosyam tidak semua berpandangan sebegitu. "Kalau nak kira takut, saya pun takut sebab itu saya tak pernah menyertai perniagaan sebegini. Saya tahu ramai yang trauma bila dengar bisnes ini. Tapi apa yang kita ada sekarang cukup berbeza dengan apa yang sesetengah orang dah lalui.
"Hampir 80 peratus daripada ahli yang menyertai merupakan orang yang pernah gagal dalam MLM dan orang yang langsung tak pernah mencuba. Hanya 20 peratus sahaja terdiri daripada mereka yang cukup arif dalam bidang ini. Malah apa yang membuatkan saya yakin untuk melaksanakan bisnes ini apabila melihatkan pemegang saham yang bukan calang-calang orang. Semuanya membuatkan saya yakin akan membuahkan hasil," jelas Rosyam yang turut menubuhkan syarikat Anak Biah Sudin Sdn. Bhd.
Anak Biah Sudin menjadi pilihan sebagai mengenang jasa dan bakti dua ibubapanya, Rubiah Kamarudin dan allahyarham Shamsuddin Mohamed Yusuf.
"Semoga syarikat Anak Biah Sudin ini sekali lagi membawa tuah yang tersendiri buat diri saya dan rangkaian saya selepas ini," katanya.
Ada yang hanya mahu menambahkan kekayaan hanya untuk diri sendiri dan tak kurang pula hanya yang mengayakan kroni semata-mata. Malah ada lebih buruk menggunakan status nama mereka untuk mengaut keuntungan daripada peminat dan akhirnya lesap setelah menggelapkan duit mereka. Itu perkara biasa dalam bisnes melibatkan artis.
Azam Rosyam, semua ini tidak akan berlaku dalam rangkaiannya kerana dia masih lagi waras untuk menilai apa yang baik dan apa yang buruk. Banyak peristiwa-peristiwa yang telah berlaku berkaitan dengan bisnes artis yang dijadikan sempadan olehnya.
Mengambil iktibar daripada banyak kejadian yang melibatkan artis-artis lain, menurut Rosyam dia tidak akan sama sekali mencalarkan maruah kerjayanya yang cukup sempurna selama 25 tahun sebelum ini.
Selain itu, atas niat untuk beribadah dan saling membantu, Rosyam tidak sesekali melupakan insan yang banyak berjasa kepada dunia seni sebelum ini.
Dengan menjadikan 10 artis veteran sebagai ahli awal RNG, dia berharap agar sedikit sebanyak dapat membantu golongan pihak berkenaan meneruskan kehidupan.
"Semoga dengan jalan ini, ia dapat membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik. RNG menaja kesepuluh ahli ini dan mereka boleh mengambil keuntungan apabila cukup masanya tidak lama lagi. Saya juga mahu membantu artis-artis tempatan dan krew-krew belakang tabir yang berminat," jelas Rosyam yang sudah lima tahun menjadi duta Power Root.
Malah pengacara Fenomena Seni itu turut menganggap bidang lakonan sebahagian daripada darah dagingnya sendiri dan tidak mungkin dia mahu melupakan terus lakonan walaupun bergelar ahli perniagaan.
Jelasnya selama suku abad menempatkan diri sebagai pelakon, dia sebenarnya tidak pernah memasang apa-apa impian dan apa yang ada dalam dirinya hanya keikhlasan dan kejujuran yang tak pernah padam.
"Jika orang lain memasang impian itu dan ini, saya pula tidak ada apa yang diimpikan. Semua yang terjadi hanyalah kejayaan rentetan daripada apa yang telah saya mulakan dulu," jelasnya yang sedang menanti tayangan filem Estet, CE1 dan Libas sedikit masa lagi.
Dalam pada itu, ramai juga di kalangan peminat yang kurang senang dengan drama lakonannya mahupun drama bersiri keluaran syarikatnya yang dikatakan sama dan klise.
Tahu dengan cakap-cakap orang terhadap dirinya, Rosyam enggan menyalahkan peminat yang keliru dengan apa yang cuba disampaikan.
"Memang orang akan cakap drama saya sama sahaja. Tapi dia akan jadi sama jika slot yang saya dapat sama juga dan setiap slot sudah ada garis panduan yang perlu saya patuhi sebagai penerbit.
"Saya cukup hargai setiap pandangan peminat terhadap apa sahaja produk saya. Itu menunjukkan masih ramai yang ambil tahu pasal saya," katanya yang akan berlepas ke London dan Paris untuk penggambaran drama bersiri Isabella yang akan ditayangkan di saluran Astro.
Selain itu dia juga akan muncul dengan drama bersiri Gelora Di Hati Sara 2, Trilogi Cinta dan banyak lagi drama menarik untuk anda.
Sementara itu, RNG memberi peluang istimewa kepada pembaca Pancaindera untuk sama-sama mendengar motivasi yang akan disampaikan oleh Rosyam pada 5 dan 6 Mei ini bertempat di Dewan Besar, Kelab Shah Alam, Selangor bermula pukul 8 malam.
"Jangan lepaskan peluang, kita akan menyediakan pinjaman dengan empat koperasi yang turut hadir di malam berkenaan khas untuk kakitangan kerajaan. Masuk adalah percuma," beritahu Rosyam lagi.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang perniagaan ini, boleh menghubungi talian 013-2666769 dan 017-3790036.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: