Tuesday, May 4, 2010

Afdlin terap kempen kesedaran diri


KANAK-KANAK yang kurang bernasib baik ini ternyata ceria dan senang dengan kehadiran Afdlin Shauki.


BIAR sesibuk mana pun dirinya sebagai seorang selebriti tersohor, Afdlin Shauki pasti akan mencari masa terluang untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja amal.

Baginya, jadual yang cukup padat bukan satu halangan untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk berbuat demikian.

"Kalau asyik cakap kita sibuk dan tiada masa untuk membuat kerja-kerja amal memang sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat berbuat demikian.

"Kerana itu saya amalkan kempen kesedaran diri dalam diri saya selepas mengikuti satu seminar yang telah banyak menyedarkan saya betapa pentingnya untuk kita mendekatkan diri dengan masyarakat.

"Semuanya adalah tentang kemahuan diri dan kalau diri kita sendiri bersikap tegas dan meluangkan satu hari dalam kerja-kerja kemasyarakatan, semuanya akan dapat dilakukan dengan sempurna," jelas Afdlin ketika ditemui selepas lawatan amal ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lalu, apabila dipelawa untuk menyertai lawatan pertama dalam siri kempen Kami Prihatin sejak dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada 8 April lalu, Afdlin tidak menunggu masa lama untuk memberikan persetujuannya.

Selain Afdlin, seramai 11 orang artis lain yang terlibat ialah Sofia Jane, Erra Fazira, Nurul Wahab, Umie Aida, Zoey serta tiga penyampai radio naungan Astro iaitu Ray dan Haniff dari radio XFM dan Abby Fana (Sinar FM).

Tidak ketinggalan artis-artis muda tanah air termasuk tiga pelakon drama bersiri Hotel Mania iaitu Dafi, Anding dan Ryzal Jaafar serta juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz.

Lawatan itu bertujuan memberi sokongan moral dan motivasi kepada penghuni rumah perlindungan itu yang didiami oleh lebih 100 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun yang merupakan mangsa dera dan terabai.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan, Normah Abdul Raof; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad; Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez serta pengetua rumah kanak-kanak itu, Zubaidah Muhammad.

Nilai sentimental

Sebetulnya, kunjungan Afdlin ke rumah kebajikan itu bukanlah yang pertama kerana sebelum ini, sudah beberapa kali dia ke sana atas undangan persembahan dan juga kunjungan peribadi.

Sambil ketawa kecil, perlahan-lahan Afdlin membuka cerita tentang kunjungan pertamanya ke rumah tersebut pada usia 11 tahun atas undangan untuk persembahan teater kanak-kanak.

Seterusnya, dia kembali ke rumah berkenaan beberapa kali ketika masih bujang dan bernaung di bawah syarikat Roslan Aziz Productions (RAP).

Kata Afdlin, kunjungannya ke rumah berkenaan baru-baru ini merupakan yang pertama sejak dia mendirikan rumah tangga lebih sedekad yang lalu.

"Sememangnya rumah ini menyimpan nilai sentimental tersendiri buat saya. Apabila menatap wajah kanak-kanak ini, hati saya pantas menjadi sayu dan terusik tatkala mengenang nasib mereka yang tidak bertuah seperti kanak-kanak di luar sana.

"Keramahan dan keceriaan mereka membuatkan saya senang dan selesa di sini sampaikan berat hati mahu pulang meninggalkan mereka. Cukup seronok dan gembira bila melihat mereka ketawa dengan kehadiran kami di sini.

"Apabila dapat melakukan kerja-kerja amal seperti ini, ia membuatkan kita sentiasa teringat akan kekurangan nasib orang lain dan seharusnya kita bersyukur dengan nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita," ujar Afdlin yang turut membuat sketsa lakonan bersama Dafi dan beberapa orang kanak-kanak ketika di sana.

Bukan itu sahaja, Afdlin yang juga merupakan Sahabat Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) memberitahu, apabila berpeluang mendekatkan diri dengan masyarakat yang kurang bernasib baik, ia dapat memberikannya ilham untuk menulis skrip.

Memiliki modul terbaik

Memberikan contoh filem Buli, inspirasi sebenar jelas Afdlin, adalah hasil kunjungannya setiap minggu ke wad psikiatrik di HUKM dan apabila berada di sana, dia sendiri dapat menyelami hati dan perasaan mereka.

Menyentuh soal kempen Kami Prihatin pula, Afdlin dengan penuh jujur memberitahu, ia merupakan langkah terbaik untuk menyedarkan dan membuka minda masyarakat tentang gejala pembuangan bayi serta penderaan kanak-kanak yang semakin berleluasa dewasa ini.

Mengakui cukup sensitif terhadap kanak-kanak, selebriti ternama berusia 39 tahun ini dengan tegas menjelaskan, golongan itu seharusnya mendapat pembelaan yang sewajarnya terutama dari aspek pendedahan di media.

Dalam hal ini, dia cukup menyokong tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mengeluarkan sekatan ke atas laporan dan penyiaran media terhadap kanak-kanak yang berdepan dengan masalah.

"Peraturan sebegini memang perlu dalam usaha untuk kita menjaga keperibadian dan maruah kanak-kanak ini daripada menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab," tuturnya dalam nada tegas.

Tidak dinafikan, ada yang berpendapat mendidik dan menjaga anak dalam zaman yang cukup mencabar ini bukan satu tanggungjawab yang mudah untuk digalas.

Tetapi bagi Afdlin, semuanya akan menjadi mudah seandainya setiap ibu dan bapa memiliki modul terbaik dalam membimbing serta mendidik anak-anak mereka.

"Saya mengamalkan sikap terbuka dengan anak-anak dan saya tidak menafikan, saya menyayangi mereka seperti intan payung. Malah, saya menjadikan mereka sebagai sahabat yang boleh dibawa berbincang dalam apa jua masalah.

"Ada kalanya, ketegasan itu perlu tetapi ia perlu kena pada tempatnya agar anak-anak tidak takut kepada kita.

"Apa-apa pun, pendidikan moral dan agama itu perlu diberikan secukupnya agar mereka tahu hukum-hakam dalam membuat sesuatu keputusan.

"Pendapat saya, pendidikan seks itu juga perlu diajar kepada mereka bagi mendapatkan pendedahan yang sewajarnya. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik mereka dengan cara yang betul agar mereka tahu baik buruknya," kata anak jati Johor Bahru ini panjang lebar.

Selain Afdlin dan Dafi, beberapa orang artis seperti Erra, Sofia dan Nurul turut menghiburkan kanak-kanak tersebut dengan permainan yang ternyata berjaya menceriakan hari mereka.

Bukan mereka sahaja, malah Dafi, Anding, Ryzal dan Hafiz juga tidak lokek menyumbangkan suara masing-masing di hadapan tetamu petang itu.

Dalam masa yang sama, Erra dan Umie turut memberi sumbangan peribadi berbentuk kewangan kepada rumah kebajikan tersebut manakala penerbit filem prolifik, David Teoh pula menyumbang jamuan petang untuk tetamu dan penghuni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: