Tuesday, May 4, 2010

Tiada lagi cinta buat KD


GAYA persembahan dua diva tersohor dalam satu persembahan di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


Tidak sudah-sudah cerita panas tentang figura bernama Krisdayanti atau mesra disapa Kris ini bertebaran dari mula dia bergelar seorang janda tahun lalu.

Pelbagai label negatif dan buruk dilemparkan kepadanya sehingga ada yang mengatakan dirinya sendiri merupakan punca mengapa dia terus dicerca.

Selepas rumahtangganya bersama Anang Hermansyah runtuh, Kris memang tidak mahu menunggu lama untuk memegang status sebagai janda.

Kalau boleh, dia mahu mendirikan rumah tangga secepat mungkin dan selepas bertemu dengan jejaka idamannya, Raul Lemos, Kris menyangkakan lelaki itu mampu memberinya cinta dan kasih sayang yang didamba.

Namun, panas yang disangka berpanjangan itu tidak kekal lama apabila hujan mula turun di tengah hari dan begitulah diibaratkan dengan kisah cinta terbaru Kris.

Melihat dirinya ditipu hidup-hidup selepas mendapat tahu Raul bukanlah seorang duda yang disangkanya, Kris mengambil keputusan berat dengan memutuskan hubungannya dengan lelaki itu.

Tidak mahu lagi menyingkap kisah yang cukup pahit itu, kata Kris, dia kini mahu meneruskan kehidupannya tanpa perlu lagi mengusutkan mindanya dengan cerita cinta yang tidak kesampaian itu.

Memang perit untuk ditelan. Malah, air mata wanitanya yang tumpah juga sudah tidak terhitung jumlahnya.

Tetapi jelas Kris, apa yang berlaku banyak mengajarnya tentang erti kehidupan dan kini dia mahu fokus kepada kerjayanya.

Cinta, bagi jelitawan ini boleh dicari dan dia akan terus bertawakal serta memohon kepada Yang Maha Esa agar diberi petunjuk untuk mencari seorang lelaki yang dapat membimbing dirinya.

"Saya harus akui apa yang berlaku kepada saya sejak kebelakangan ini memang cukup sukar untuk saya lalui.

"Satu yang pasti, apa yang terjadi saya tidak pernah kesal kerana saya amat percaya dengan Qada dan Qadar kerana jodoh serta ajal itu semuanya ditentukan Allah SWT.

"Setidak-tidaknya, saya cepat sedar dan tidak meneruskan perhubungan itu kerana jika ia berterusan, saya pasti kerumitan akan terjadi di kemudian hari.

"Saya bersyukur kerana masih lagi memiliki ahli keluarga dan teman-teman rapat yang tidak pernah putus menyokong saya," kata Kris dalam nada tenang sewaktu ditemui dalam satu majlis di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kehadiran Kris selama seminggu ke negara ini bagi menjayakan persembahan bersama teman rapatnya, Datuk Siti Nurhaliza di salah sebuah pusat konvensyen di ibu negeri Selangor itu pada 27 dan 28 April lalu.

Ia merupakan persembahan pertama mereka dalam pertunjukan khas selepas kelahiran album duet mereka, CTKD.

Selain itu, Kris juga terlibat dengan persembahan bersama Siti pada Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam semalam.

Menyambung bicara, wanita berusia 35 tahun ini juga dalam nada tegas berkata, cintanya untuk Raul sudah mati dan tidak mungkin untuk menyambung semula kasih itu.

Melihatkan situasi terhadap Kris selepas bercerai yang dilihat seolah-olah begitu terdesak mencari cinta dan dengan pantas mahu kembali bergelar seorang isteri.

Rahmat

Sambil tersenyum, wanita peramah ini mengatakan dia tidak terdesak memburu cinta dari mana-mana lelaki.

Sudah lumrah katanya, sebagai seorang wanita yang mahu dicintai dan mencintai dan apabila dia melihat ada seseorang yang menawarkannya apa yang dia mahu, tidak salah untuk menerimanya secara baik.

"Tetapi, seperti saya katakan tadi. Semua ini adalah rahmat dan Allah telah tetapkan bahawa dia bukanlah lelaki terbaik untuk saya.

"Insya-Allah, saya percaya akan ada lelaki yang baik dan sesuai akan menanti saya tetapi waktunya, saya sendiri sukar untuk meramalkannya," ujar anak kelahiran Malang, Jawa Barat, Indonesia ini dalam nada tenang.

Ditanya apakah ada lelaki yang memburu cintanya selepas perpisahannya dengan Raul, dengan pantas Kris menggelengkan kepalanya.

"Tidak ada. Biarlah saya dalam keadaan begini dulu kerana saya ada kehidupan yang perlu diteruskan dan diutamakan khususnya anak-anak," ujar juara Asia Bagus yang pertama pada tahun 1992 ini lagi.

Mengenai kata-kata sinis yang dilemparkan selain dikecam hebat dengan pelbagai label negatif, penghibur yang menempa kemasyhuran menerusi lagu Menghitung Hari ini penuh optimis ia langsung tidak menjejaskan dirinya.

Sebagai seorang artis, ia adalah lumrah dan merupakan asam garam yang perlu ditempuhi kerana bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak.

Malah, Kris turut menjelaskan situasi yang berlaku tidak membuatkannya tertekan kerana semuanya masih lagi berada di bawah kawalan biarpun cerita tentang dirinya dimainkan dengan berleluasa di Indonesia.

"Sebagai manusia, saya tidak boleh lari dari kesilapan kerana kita bukannya sempurna. Mahu dielak pun tidak boleh juga kerana perjalanan kita sudah tertulis.

"Selagi tidak ada perkara yang memudaratkan, saya masih lagi boleh menghadapinya tetapi kalau sudah sampai ke tahap sehingga menyentuh keluarga saya, ia memang tidak boleh diterima.

Tumpang gembira

"Saya tidak akan berdiam diri jika ia berlaku dan dalam soal ini, saya bangga serta bersyukur kerana memiliki Yuni Shara sebagai seorang kakak yang tidak pernah penat membela keluarganya," jelasnya dalam nada syukur.

Mengenai bekas suaminya yang dikatakan sudah menemui cinta baru, Kris tahu kisah itu apabila anak-anaknya mengkhabarkan berita tersebut.

Namun, seboleh-bolehnya dia tidak mahu memberi sebarang komen dan penjelasan tentang kehidupan Anang kerana bimbang disalah ertikan memandangkan hubungannya dengan Anang kini semakin pulih.

"Kalau anak-anak bercerita, saya hanya mendengar dan memberitahu mereka saya tumpang gembira dengan Anang.

"Masing-masing sudah ada kehidupan tersendiri dan tidak wajar untuk saya mencampuri urusan Anang. Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuknya," jelas Kris yang juga popular dengan lagu Aku Wanita Biasa dan Mencintaimu itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: