|
|
SEAWAL pukul 6 petang lagi, jalan Bukit Kiara menuju ke Indoor Arena, Bukit Kiara Equestrian & Country Resorts dari kedua-dua hala sesak teruk dengan pelbagai jenis kenderaan.
Semuanya gara-gara penganjuran Konsert Double Trouble 2 (DT2) yang dijayakan dua gergasi rock tanah air iaitu kumpulan Search dan Wings .
Ramai peminat yang terpaksa meletakkan kenderaan di sepanjang jalan sehingga hampir tiga kilometer jauhnya dari tapak konsert semata-mata kerana penangan dua kumpulan tersebut.
Dua jam sebelum DT2 bermula, sebahagian daripada hampir 20,000 peminat mula berduyun-duyun menuju ke Indoor Arena di mana kesesakan bukan sahaja berlaku di jalanraya tetapi juga pintu masuk tapak konsert itu.
Jalan Bukit Kiara yang mempunyai tiga lorong menjadi satu lorong kerana ramai yang meletakkan kenderaan di tengah jalanraya memperlihatkan sambutan para peminat.
DT2 secara tidak langsung boleh dikatakan mengulangi kejayaan Search dan Wings sewaktu mereka mengadakan DT1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (KL) pada 1993 yang juga ditonton hampir 20,000 peminat mereka.
Konsert yang diambil inspirasi berdasarkan album duet Search dan Wings berjudul Double Trouble yang diterbitkan pada 1992 dengan jualan lebih 180,000 unit itu jelas membuktikan dua kumpulan itu masih unggul hingga kini.
Meskipun pada malam yang sama, turut berlangsung Konsert Mega Ungu Malaysia 2010 yang dijayakan oleh kumpulan rock Indonesia, Ungu di Bukit Jalil, KL dan konsert Tokio Hotel dari Jerman di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Sayangnya, Ungu bukan saingan Search dan Wings kerana mereka hanya mampu menarik sekitar 2,000 penonton sahaja pada konsert yang mengenakan tiket dari RM50 hingga RM200 itu.
Sementara kumpulan remaja Tokio Hotel yang kini sedang mempromosikan album terbaru mereka berjudul Humanoid pula hanya berjaya menarik seramai kira-kira 5,000 peminat menyaksikan konsert yang diadakan secara percuma itu.
Konsert DT2 yang mengenakan tiket berharga RM70 itu berjaya menepis tanggapan segelintir pihak yang mengatakan mereka tidak mampu lagi beraksi di atas pentas berskala besar.
Faktor umur anggota dua kumpulan itu yang berusia awal 40-an hingga 52 dikatakan sedikit sebanyak boleh menjejaskan stamina persembahan anjuran Adept Net Production yang berlangsung selama hampir tiga jam itu.
Harga tiket yang dikatakan agak mahal juga tidak menghalang para peminat Wings dan Search menonton konsert itu yang mampu mengimbau semula DT1 yang diadakan 17 tahun lalu.
Imbauan pada konsert DT2 yang bermula sekitar pukul 8.45 malam itu dapat dilihat apabila dua kumpulan itu seolah-olah berduet satu sama lain dalam menyampaikan hampir 25 lagu termasuk medley popular masing-masing.
DT cukup unik kerana secara tidak langsung ia menggambarkan keakraban Search dan Wings bukan sahaja di luar pentas, malah ia terbawa-bawa sehingga di atas pentas.
Vokalis Search, Amy contohnya menyanyikan lagu Balada Pemuzik Jalanan yang dirakamkan pada 1984 sambil alunan muziknya dipersembahkan oleh anggota-anggota Wings iaitu Joe selaku pemain gitar, Eddie (bass) dan Black (dram).
Awie yang merupakan vokalis kumpulan Wings juga menggunakan pendekatan sama sewaktu menyanyikan lagu Opera Hidup di mana ia diiringi oleh anggota-anggota kumpulan Search.
Anggota-anggota Search yang mengiringi persembahan Awie menerusi lagu itu ialah Din (gitar), Kid (gitar), Nasir (bass) dan Yazit (dram) memperdengarkan gaya persembahan yang jarang mereka persembahkan.
Selain dibanjiri ramai peminat, DT2 juga memperdengarkan sistem bunyi yang lebih jelas dan mantap tidak seperti sewaktu Search mengadakan Konsert Di Awan Biru tahun lalu yang ditonton sekitar 10,000 peminat.
Pemain dram Search, Yazit Ahmad berkata, dia amat berpuas hati dengan sistem bunyi konsert DT2 kerana ia cukup berbaloi dengan harga tiket yang dikenakan di mana sebelum ini ada yang melabelkannya sebagai mahal.
"Konsert ini tarafnya sama dengan konsert artis-artis luar negara. Harga tiket mahal sedikit tetapi para penonton puas hati," katanya kepada Hits sewaktu ditemui pada konsert tersebut.
Pada konsert itu, Search dan Wings tidak ketinggalan menyanyikan lagu-lagu yang dipetik daripada album Double Trouble 1 dan Double Trouble 2 antaranya berjudul Paranoid, Analogi, Puisi Merdeka dan Gema Di Inderaloka.
Bagaimanapun, para peminat seakan-akan berasa tidak puas apabila dua kumpulan rock legenda tanah air itu hanya sekadar menyanyikan lagu-lagu hit mereka dalam bentuk medley.
Antara lagu yang disampaikan secara medley oleh Amy dan Awie berjudul Semalam Yang Hangat, Gadisku, Misteri Mimpi Syakilla dan Taman Rashidah Utama di mana para penonton yang kebanyakannya berusia 24 hingga 45 tahun menyanyikannya bersama-sama.
Mungkin kesesakan jalanraya dan kepayahan untuk mendapatkan tempat letak kenderaan berjaya mengubat rasa kepenatan para peminat itu sewaktu menyanyikan lagu-lagu tersebut.
Cuma di lain kali, pihak penganjur seharusnya mencari tempat konsert yang bukan sahaja mudah untuk dikunjungi dengan kemudahan awam, malah keselesaan daripada segi meletak kenderaan para peminat juga perlu diambil kira.
Selain kesibukan para peniaga menjual air dan makanan ringan seperti keropok lekor, ramai juga yang mengambil kesempatan menjual kemeja-T Search yang dicetak rompak serta poster kumpulan itu di luar pintu masuk tapak konsert itu.
Lagu-lagu lain yang turut mengimbau nostalgia yang diperdengarkan pada konsert itu bertajuk Alam Barzakh, Mabuk 7 Lautan, Sejati, Kau Masih Berdegil, Isi Atau Kulit, Isabella, Immenuelle, Cakap Memang Mudah, Nur Nilam Sari dan Meniti Titian Usang.
DT2 boleh dianggap sebagai konsert artis tempatan paling ramai ditonton oleh para peminat pada 2010 setakat ini itu mula melabuhkan tirainya menjelang lewat tengah malam.
Search dan Wings sekali lagi bergabung di atas satu pentas bersama petikan tiga gitar, dua bass dan dua dram bagi mengalunkan lagu secara duet berjudul Rock 'N Roll Lu Punya Suka dan Pasti sebagai lagu encore atau penutup tirai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: