DALAM bidang pengacaraan, namanya bukanlah asing. Yasmin Hani Richardson, 31, pernah bikin fenomena tersendiri ketika mengendalikan program Beat TV.
Namun, rezeki terus berpihak pada Hani apabila dia disatukan bersama teman baiknya, Sazzy Falak menerusi program Ria Sentral. Bagaimanapun, program itu hanya sempat bersiaran sehingga 2008.
Secara kebetulan, kontrak Hani bersama Astro juga tamat pada tahun sama. Berbekalkan pengalaman 11 tahun menjadi pengacara, sangka Hani memberi kelebihan untuknya meraih peluang daripada stesen televisyen lain, namun ia tidaklah semudah disangkakan.
"Apabila mengambil keputusan menjadi pengacara bebas untuk memperluaskan lagi pengalaman bekerja dengan produksi serta stesen televisyen lain, nyata ia bukan satu perjalanan yang mudah.
"Saya perlu bermula dari bawah dan bekerja keras sebagaimana pendatang baru. Misalnya menjalani proses uji bakat untuk memperoleh tawaran.
"Tambah menyedihkan, apabila ada produksi yang menawarkan saya dengan harga yang murah berbanding ketika di tempat lama. Saya bukannya 'demanding' tetapi rasa terkilan apabila bakat dan pengalaman saya dinilaikan sebegitu rupa.
"Namun, semua ini tidak pernah mematahkan semangat saya malah bersyukur masih ada yang memandangkan 'value' saya sebagai pengacara," katanya.
Percaya berkat kesabaran pasti membuahkan hasil, Hani bersyukur apabila melihat graf kerjaya pengacaraan kembali meningkat.
Lebih bermakna, apabila diberi kepercayaan mengendalikan segmen Karpet Merah Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-17 (AIM17) yang dipancarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.
Tidak menganggap tugasannya itu satu kerja mudah Hani walau bagaimanapun berharap dapat menggalas tugas itu dengan baik.
"Kena ada 'teamwork' yang bagus. Saya perlu pastikan selalu bekerjasama dengan pengurus produksi.
"Untuk kelancaran program siaran langsung seperti ini pengacara juga perlu bersedia dengan soalan tambahan. Semua ini memerlukan saya melakukan kajian mengenai latar belakang artis yang bakal diwawancara," katanya.
Hani berkata lagi, biasanya fokus lebih kepada finalis yang bertanding. Namun, dia perlu ada Plan B sekiranya terlepas untuk menemu bual mereka di permaidani merah.
"Mungkin ramai selebriti akan menjadi 'mangsa' saya pada malam itu. Saya tidak mahu terikat dengan soalan mengenai fesyen saja. Mungkin bertanya perkembangan semasa dan hala tuju AIM.
"Terus terang walaupun pengacara di karpet merah nampak macam kerja mudah, bagi saya sangat mencabar. Ini kali pertama saya terbabit dengan AIM," katanya bakal menggayakan baju rekaan Hatta Dolmat.
Tidak keseorangan mengendalikan segmen itu, Hani akan ditemani Nazrudin (Naz) yang akan menemu bual artis di belakang pentas.
Selain itu, Hani juga dipertanggungjawabkan mengendali program Prelude AIM yang menampilkan antaranya Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, M Nasir, Noryn Aziz, Alif Satar dan Bob.
Beralih pada bidang lakonan pula, Hani mengakui, dia semakin galak membina nama sebagai pelakon. Bagaimanapun, kata hatinya mengatakan lebih dekat pada drama berunsurkan komedi.
"Di luar saya sebenarnya seorang yang suka melawak dan kuat mengusik. Jadi saya berasakan watak seperti itu lebih dekat dengan karakter sebenar saya. Hakikatnya apabila berlakon tidak mudah membawakan watak sebegitu," katanya.
Jelasnya lagi, bukan tidak teringin membawakan watak sedih cuma dia akan lebih tertarik sekiranya kesedihan dalam sesebuah jalan cerita itu padat dengan pengajaran.
"Maksud saya kalau betul mahu buat drama sedih biarlah cerita yang ada pengajaran seperti drama Quran Buruk. Selain itu, saya teringin sekali berlakon drama yang tidak memerlukan mekap," katanya.
Kerap bekerja dengan pengarah muda, Pierre Andre kebelakangan ini antaranya menerusi drama Cinta Tak Bertepi, bintang utama filem 2 Hati 1 Jiwa ini juga memperoleh tawaran berlakon dengan produksi yang menerbitkan drama Halimah Jongang.
Bagaimanapun, dia belum memberi sebarang kata putus berikutan jadual pengacaraan dan lakonan yang semakin padat.
Pada temu bual itu, Hani yang turut bergiat aktif dalam kerja amal untuk membantu golongan kaki lima dan tidak mempunyai kediaman sempat memaklumkan jika tiada aral melintang dia juga bakal mengendalikan sebuah program realiti tidak lama lagi.
Profil
Nama penuh: Yasmin Hani Richardson
Nama komersial: Yasmin Hani
Tarikh lahir: 11 Jun 1979
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Umur: 31 tahun
Zodiak: Gemini
Bangsa : Melayu
Bahasa : Bahasa Inggeris, bahasa Melayu
Antara Drama: Cinta Tak Bertepi
Antara Program: Beat TV dan Ria Sentral (Astro), Layar Lensa dan Pop Sensasi (RTM).
Antara Filem: Duyung dan 2 Hati 1 Jiwa.
Kerjaya : Pelakon, pengacara, model
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: