MEWAH, elegan dan seksi, tiga perkataan menggambarkan himpunan terkini Variante 2010 sempena musim luruh dan bunga.
Penggunaan fabrik seperti sutera, sifon, poliester serta fabrik klasik dan popular seperti linen dan kapas, Leslie Variyan tampil berbeza menerusi rekaan unik dan klasik sesuai untuk semua golongan.
"Rekaan kali ini sesuai untuk semua golongan. Saya mahu wanita berpenampilan menawan apabila mengenakan himpunan terbaru Variente walaupun mereka berpenampilan sederhana," kata Variyan yang mengetengahkan konsep India dan Melayu dalam rekaannya.
Katanya, kebanyakan rekaan mempunyai unsur tertentu bagi menonjolkan sifat si pemakai. Ciri sederhana serta tampak kasual, namun masih mampu mengetengahkan gaya wanita yang sentiasa ingin berpenampilan menarik dalam apa jua majlis.
Variyan memilih warna terang dalam rekaannya seperti ungu, merah jambu, kuning, biru bersama kombinasi putih serta gemar menggunakan fabrik polos supaya boleh disuai padan menerusi hiasan manik.
Setiap rekaan menyerlahkan kebolehan pereka ini dalam jahitan manik dan ia menjadi ciri utama dalam menghasilkan rekaan.
Setiap rekaan berhias manik pada leher, dada serta bahagian kaki baju bagi menonjolkan unsur glamor dan mewah.
"Saya mendapat inspirasi selepas melihat kain yang akan digunakan. Kemudian saya berimaginasi sendiri rekaan yang akan saya hasilkan.
"Daripada situ, idea terus berkembang dan dapat menghasilkan rekaan sempurna apabila dipakaikan ke tubuh wanita," katanya yang gemar membaca majalah serta menonton klip video terutama gaya artis penghujung 80-an bagi menghasilkan rekaan terbaik.
Kebanyakan himpunan terbarunya menggabungkan gaya rekaan lama dan baru. Ini termasuk gaun pendek serta kembang beropol, gaun labuh, kebaya dan kaftan. Variyan suka menggunakan dua fabrik atau lebih bagi menonjolkan bentuk tubuh serta gaya mewah.
Tampil seksi yang tidak keterlaluan, menurutnya, dia mahukan semua wanita menyukainya tanpa mengira bangsa atau warna kulit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: