Tuesday, May 18, 2010

Usahawan gas MAIS


MEMBELA Asnaf...Adzib Mohd. Isa (ENAM DARI KIRI) BERSAMA PIHAK PENGURUSAN MAIS-NGV SDN. BHD., BERSAMA 10 PILOT PROGRAM MENGEDAR GAS MAIS-NGV YANG SEDIA MEmberi PERKHIDMATAN EDARAN GAS KEPADA PARA PENGGUNA TANPA MENGIRA BANGSA DAN AGAMA.


WALAUPUN keadaan kakinya tempang akibat kemalangan jalan raya, Norhisham Omar, 40, mahu membuktikan kekurangan pada dirinya bukan penghalang menyahut cabaran sebagai Usahawan Asnaf Pengedaran Gas LPG, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dikenali sebagai MAIS-NGV (M) Sdn. Bhd.

Bayangkan, tong gas kosong yang beratnya 16.3 kilogram (kg) dan tong gas isian penuh pula seberat 30.3 kg, itulah yang diangkut dan diedar oleh Norhisham hampir setiap hari.

Lebih-lebih lagi untuk mengejar sasaran 1,000 tong sebulan, tenaga apakah yang beliau miliki?

Ternyata beliau benar-benar umpama si Badang, kerana sejak terlibat dalam program ini beliau menduduki senarai teratas pengedar gas yang paling produktif.

Contohnya, pada April lalu, beliau berjaya menjual 626 tong gas. Melihat sendiri keupayaan dan kudrat yang ditunjukkan oleh Norhisham, benar-benar memberikan tamparan kepada yang lain.

Maka tidak ada alasan mereka yang sihat, sempurna tubuh badan, fizikal yang kuat tidak mampu keluar dari pintu rumah untuk mencari rezeki.

Norhisham sanggup melakukan apa sahaja asalkan mendapat rezek halal bagi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

"Mempunyai tiga anak yang sedang membesar dan isteri yang tidak bekerja maka apa alasan saya untuk duduk diam berpeluk tubuh?

"Kekurangan diri bukan penghalang, walaupun tugas mengangkat dan mengedar tong-tong gas dalam keadaan saya seperti ini memang agak mencabar.

"Alhamdulillah sehingga kini saya mampu lakukan dengan baik kerana saya juga menyimpan satu hasrat yang sangat murni," katanya.

Matlamat Norhisham, ingin keluar daripada kategori asnaf yang menerima bantuan zakat kepada menjadi pembayar zakat.

Beliau adalah salah seorang daripada 10 yang digelar Pilot Gasman dalam program paling 'istimewa' yang pernah diadakan oleh MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Tujuannya, membantu para asnaf fakir dan miskin di negeri Selangor.

Menerusi program itu, asnaf yang kini bergelar pilot akan menjadi usahawan yang diberi pelbagai kemudahan termasuk sebuah lori (jenis Hicom Perkasa, berat 1 tan), dibayar elaun dan penempatan untuk mengedarkan tong-tong gas bagi memenuhi keperluan pengguna.

Sasaran utama adalah rumah-rumah sehinggalah pengusaha kedai-kedai makan, restoran dan kafe.

Bagi setiap tong gas yang dijual, para pilot akan beroleh pendapatan RM3. Dianggarkan mereka mampu mengedar hampir 1,000 tong sebulan. Ini membolehkan mereka menjana pendapatan bulanan bersih RM3,000.

Dengan jumlah pendapatan seperti itu di samping sentiasa meletakkan sasaran jualan untuk ditingkatkan setiap bulan, tentu sahaja dapat membantu para asnaf keluar daripada kategori fakir dan miskin.

Apatah lagi gas memasak adalah satu keperluan penting kepada pengguna atau dengan lain perkataan; permintaan sentiasa ada dan tidak akan pernah putus.

Sementara itu, Pengerusi MAIS, Datuk Adzib Mohd. Isa berkata, program itu antara lain bertujuan melibatkan para asnaf zakat secara langsung dalam program menjana ekonomi yang lebih kompetitif tetapi mampu menjanjikan pendapatan yang jauh lebih lumayan.

Katanya, walaupun ada persaingan daripada jenama-jenama gas memasak lain namun jika para pilot gigih dan komited, mereka pasti akan muncul sebagai pengedar gas berjaya.

"Ini kerana dalam tempoh dua tahun jika mereka melepasi sasaran dan kelayakan, kita akan daftarkan syarikat untuk mereka lebih berdikari dan memajukan syarikatnya sendiri.

"Tetapi dalam tempoh enam bulan mereka dalam program ini, pelbagai pihak akan membantu sama ada nasihat sehinggalah pemantauan yang bersifat seperti mereka berteduh di bawah payung besar," katanya.

Beliau ditemui di pejabat operasi pusat stokis gas MAIS -NGV (M) Sdn. Bhd di Kota Damansara baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan MAIS-NGV (M) Sdn. Bhd., Datuk Azmin Mustam Abdul Karim; Ketua Pegawai Operasi, Mohd. Yusoff Wahid, Pengurus Jualan Kebangsaan BHP Petrol, Mohd. Fadzil Mod. Nor dan Ketua Jabatan Pembangunan Ekonomi Asnaf (LZS) Mohd. Fauzi Masdan.

Menurut Adzib, walaupun masih baru, program itu telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam membantu para asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Tidak sahaja kerana ia melibatkan kos pembiayaan yang sangat besar, iaitu RM50,000 bagi setiap pilot tetapi pelbagai pihak turun padang untuk sama-sama memastikan program edaran gas ini berjaya mencapai matlamatnya.

"Kita bukan sahaja mengejar keuntungan tetapi yang jelas kita mahu para peserta pula melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar zakat.

"Apabila zakat-zakat seperti itu mampu mereka tunaikan, kita percaya Allah akan limpahkan lebih banyak rezeki dan keberkatan dalam hidup mereka ini," katanya.

Walaupun mereka terpaksa bersaing dengan jenama-jenama yang sedia ada namun banyak kelebihannya kepada pengguna yang mula melanggan gas memasak mereka menerusi program ini.

"Khususnya bagi kawasan di sekitar Lembah Klang, perkhidmatan yang ditawarkan tidak sahaja dalam tempoh 24 jam tetapi BHP juga amat mementingkan soal keselamatan penggunaan gas memasak ini.

"Mereka tidak sahaja menghantar tong-tong gas yang diperlukan tetapi para pilot turut mempunyai kemahiran melakukan pemeriksaan terhadap apa juga aspek keselamatan peralatan gas dan memasak.

"Dari aspek penyimpanan, kepala dan salur gas yang digunakan akan diperiksa oleh para pilot dan akan menasihatkan pengguna demi keselamatan mereka," kata Adzib.

Malah sepanjang tempoh promosi buat pertama kali melanggan melalui program ini, pihak BHP akan menggantikan segala peralatan secara percuma.

Namun Adzib menegaskan, pengguna yang terdiri daripada umat Islam diminta paling kehadapan untuk menjayakan program ini dengan mula melanggan gas memasak yang diedarkan oleh golongan asnaf ini.

Katanya, kini mereka tahu ke mana wang zakat telah digunakan dan sudah tiba masanya mereka sendiri mengambil manfaat daripada apa yang mereka tunaikan.

"Semakin kita membantu para asnaf maka semakin berkembanglah ekonomi umat Islam itu sendiri malah ganjaran amal jariah dan berzakat itu sendiri tidak akan putus, sentiasa berterusan," katanya.

Program itu mempunyai pelbagai strategi promosi yang sangat menarik untuk memikat para pelanggan terutama pelanggan baru di sesebuah kawasan.

"Kita mengadakan promosi selepas solat Jumaat di hampir kebanyakan masjid. Alhamdulillah sambutan sangat baik kerana mereka kini mempunyai alternatif yang lebih baik termasuk mempunyai saham-saham akhirat," katanya.

Para pilot juga akan mengambil pendekatan bergerak di kawasan perumahan-perumahan lama dan baru sambil melaung-laungkan mengenai perkhidmatan penghantaran gas.

"Apabila pengguna kebetulan memerlukan gas memasak, perkhidmatan ini sangat membantu kerana mereka sudah tahu akan masa-masa lori-lori gas ini akan melalui rumah mereka," katanya.

Program itu, kata Adzib, masih terbuka untuk mendapatkan pengambilan-pengambilan baru khususnya para asnaf yang masih tercari-cari jalan keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Apa yang mereka perlu lakukan hubungi pihak MAIS dan LZS walaupun secara rasminya mereka belum tersenarai sebagai asnaf-asnaf yang memerlukan bantuan," kata Adzib.

Mereka juga boleh melayari laman web www.maisgas.com.my, talian bebas tol 300-883553, 03-61560005 dan 016-3128983.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: