|
|
MASJID adalah institusi pertama yang dibina oleh Nabi SAW apabila baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah. Hal ini membuktikan betapa pentingnya peranan masjid dalam kehidupan Muslim.
Ia bukan hanya tempat beribadat khusus seperti solat fardu berjemaah, mengadakan majlis kebesaran agama Islam dan tempat mengurus jenazah.
Sebaliknya, masjid perlu dipahatkan di dalam hati setiap Muslim agar mereka sentiasa teruja untuk mengimarahkan rumah-rumah Allah di muka bumi ini.
Kepemimpinan masjid seharusnya berpandangan jauh dan proaktif dengan menjana kaedah atau pendekatan baru bagi menarik minat khususnya golongan remaja, muda-mudi dan masyarakat umum untuk tertarik dengan masjid dan terlibat dalam aktiviti masjid.
Menyedari hal ini, buat julung kalinya seramai 292 pelajar Tahun 1 hingga 6 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar dihimpunkan di Masjid Kampung Ramuan China Besar bagi mengenali peranan pegawai syarak secara lebih dekat.
Menurut Imam II masjid, Abdul Rahim Jalal, aktiviti 'Bual Bicara Bersama Pegawai Syarak' adalah salah satu daripada aktiviti yang dirancang oleh pihak masjid dalam usaha mendekatkan komuniti setempat dengan masjid.
Dalam slot ini, para pelajar diberi peluang mengemukakan persoalan berkaitan dengan bidang tugas pegawai syarak yang terdiri daripada imam, bilal dan noja.
Terdahulu para peserta mengikuti sesi 'Latihan Amali Berwuduk dan Bersolat' secara betul dengan bimbingan 25 pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung Ramuan China Besar, Mansol Rahim mengucapkan syabas atas kejayaan pihak masjid menganjurkan majlis tersebut.
Katanya, penumpuan ke atas pengukuhan asas fardu ain khususnya solat diharap mampu melahirkan generasi remaja Islam yang berakhlak mulia.
"Saya turut teruja dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh para pelajar kepada pegawai syarak dan yakin aktiviti sebegini mampu mendorong anak-anak solat berjemaah di masjid," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutup majlis tersebut baru-baru ini.
Program itu adalah kerjasama Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab SK Ramuan China Besar dan KUIM.
Turut hadir, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru SK Ramuan China Besar, Nadzley Sharif, Timbalan Pengerusi Masjid Ramuan China Besar, Othman Ahmad dan Pensyarah Akademik Pengajian Islam KUIM, Aishah Yahya.
kalau semua sekolah dan masjid di Malaysia buat begini kat bagus.....Tahniah SK Ramuan China Besar
ReplyDelete