Tuesday, May 4, 2010

Thriller tetap berpengaruh


Video klasik Thriller, Michael Jackson ini dipilih sebagai video paling berpengaruh dalam sejarah. - agensi


LOS ANGELES 3 Mei - Hampir tiga dekad selepas Thriller menggegarkan dunia video muzik, lagu dendangan Michael Jackson itu masih menjadi pilihan utama para peminat.

Video epik zombie berdurasi 14 minit itu yang diarahkan oleh pengarah filem American Warewolf di London, John Landis, dipilih sebagai video paling menonjol sepanjang zaman oleh pengguna-pengguna laman jaringan sosial MySpace United Kingdom (UK).

Video muzik mendiang Raja Pop yang diterbitkan pada 1983 itu merupakan antara video paling berpengaruh dalam senarai video popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tempat kedua pula dimiliki oleh Here It Goes Again nyanyian kumpulan rock terkenal, Ok Go, yang diterbitkan lima tahun lepas.

Kemunculan Britney Spears dengan pakaian uniform sekolah menerusi video muzik sensasi Baby One More Time, juga masih menjadi pilihan pengguna Internet, sekali gus dinobatkan di tangga ketiga undian.

Sementara itu, video muzik animasi trio kumpulan Ah-Ha dari Norway menerusi lagu Take On Me berjaya menduduki tempat keempat.

Tempat kelima pula dimiliki oleh video muzik hitam putih legenda lagu-lagu country, Johnny Cash menerusi lagu Hurt, yang mana penggambarannya dilakukan enam bulan sebelum dia meninggal dunia akibat komplikasi diabetis.

Editor laman MySpace UK, Will Francis berkata, pembuat video muzik zaman moden boleh belajar daripada pengalaman lalu.

"Hanya dua daripada 10 senarai video muzik paling popular mampu melakukannya pada abad ini.

"Ini menunjukkan, meskipun terdapat kemajuan dalam bidang teknologi, idea yang menarik jika digabungkan dengan bintang yang hebat akan menjadi satu format yang tidak boleh ditewaskan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: