|
|
PERNAH membintangi sebuah filem Sayang You Can Dance dan muncul dalam drama berjudul Alam's Story yang menceritakan perjalanan hidupnya, entah mengapa, kelibatnya di pentas seni akhir-akhir ini bagaikan tenggelam dan menyepi.
Tiada kelihatan berlakon dalam mana-mana drama atau filem, ramai yang tertanya-tanya akan 'misteri' kehilangannya biarpun satu ketika dahulu dia dijulang sebagai penari kesayangan ramai sejurus bergelar juara dalam sebuah program realiti televisyen, So You Think You Can Dance (SYTYCD) musim pertama.
Tidak kurang, ada yang mendakwa, dia sudah 'merajuk' atau tidak mahu lagi terlibat di bidang lakonan.
Namun, hakikatnya, anak muda bernama Haslam Abdul Rahman, 24, atau mesra dipanggil Alam ini bukanlah seperti yang didakwa.
Mengakui akan realiti bahawa namanya agak tenggelam, Alam sebenarnya masih aktif tetapi lebih memfokus kepada alam tarian sahaja.
Bukan tidak ada peluang serta tawaran untuknya berlakon, tetapi, semuanya terpaksa ditolak memandangkan jadual kariernya selaku penari agak padat dengan persembahan baik di arena tempatan mahupun antarabangsa.
Kalau ada pun tawaran, dia lebih selesa menjadi 'pekerja' di belakang tabir sebagai koreografer kepada produksi yang mahukan babak tarian untuk dimuatkan dalam drama atau filem.
Terbaru, Alam sendiri akur untuk tidak terlibat dalam lakonan menerusi filem Adik Manja The Return kerana sibuk mengendalikan kelas tarian dan persembahan.
Bagaimanapun, ujar Alam, dia tidak mengecewakan produksi berkenaan apabila bertindak menjadi 'guru' tarian untuk filem tersebut.
"Ya memang saya agak tenggelam seketika. Tapi, bukanlah saya terus menyepi. Ada juga saya muncul untuk program-program televisyen.
"Selainnya, saya banyak menghabiskan masa di studio tarian dan mengajar kanak-kanak sekolah menari.
"Kalau ada tawaran berlakon pun, ada ketikanya ia bertindih dengan jadual tarian saya. Insya-Allah, kalau ada tawaran lain dan kebetulan saya tidak sibuk, saya akan menerimanya,'' katanya ketika ditemui di majlis pelancaran program Cerita Teh Tarik F&N di Damansara, baru-baru ini.
Dalam Cerita Teh Tarik F&N yang dihoskan oleh Awal Ashaari, episod pertama menyaksikan kisah kehidupan Alam sebaik menjuarai SYTYCD. Rancangan ini akan disiarkan setiap Khamis pukul 6 petang di TV3.
Ia merupakan sebuah program yang menceritakan kejayaan rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang dengan kenangan menarik mereka tentang teh tarik.
Selain Alam, antara selebriti lain yang diketengahkan adalah kumpulan Estranged, dua beradik pelukis iaitu Ajis dan Ronnie Mohammad serta pencipta serta bakat di sebalik Upin dan Ipin.
Ujar Alam, dia kini bukan sahaja sibuk menguruskan hal sendiri tetapi bertanggungjawab dalam 'mewarnai' kumpulannya iaitu Wakaka Crew mengharungi gelanggang tarian.
Tidak cukup dengan itu, Alam turut terlibat membentuk sebuah lagi kumpulan penari yang dibarisi kanak-kanak cilik bernama Funky Girls.
"Funky Girls ditubuhkan pada 2008 dengan dianggotai seramai 13 orang. Saya diminta ibu bapa mereka untuk mengajar tarian.
"Alhamdulillah, mereka banyak menerima tawaran mengadakan persembahan.
"Tarian adalah milik sesiapa, baik kanak-kanak mahupun golongan dewasa. Ini adalah cara untuk saya menurunkan ilmu menari kepada mereka,'' jelasnya yang berasal dari Muar, Johor.
Menurut Alam yang sudah pun menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan di Kolej Segi, Subang, Selangor ini, dia juga banyak memperoleh rezeki sebagai guru tari di beberapa studio lain di sekitar ibu negara.
Memahat nama di luar negara
Sementara itu, kata Alam, kemenangan yang diterimanya melalui SYTYCD cukup memberinya satu dimensi baru apabila berpeluang beraksi di luar negara.
Sekitar 2008, Alam pernah diiktiraf sebagai koreografer termuda di India apabila diundang mendidik anak muda di sana dalam bidang tarian.
"Saya berada di sana selama tiga minggu. Itulah pencapaian membanggakan buat diri saya dan akan dikenang selamanya.
"Selain mengadakan persembahan, saya banyak menyertai pertandingan tarian di luar. Antara yang pernah saya pergi adalah di Laos, Filipina, Thailand dan Singapura.
"Ia membuka mata saya apabila berpeluang untuk melihat kehebatan penari-penari luar,'' jelasnya yang tidak lokek dengan senyuman ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: