STACY sebagai duta Clinelle bersama Priscillia Ooi.
GENAP setahun Stacy menggunakan kereta Peugeot 307 berwarna perak yang dimenanginya selepas menjuarai Akademi Fantasia musim keenam, dia dikejutkan dengan berita sedih apabila kereta yang dipandu abang kesayangannya, Chelton mengalami kecelakaan jalan raya pada 9 Mei lalu yang jatuh pada Hari Ibu.
“Ketika ini, pihak Stacy sedang menguruskan urusan insurans untuk menuntut ganti rugi. Malang memang tak berbau. Namun yang lebih malang, selepas kereta itu terbiar di atas jalan raya, masih ada pihak yang sanggup mencuri tayar dan bateri kereta itu.
“Selepas ini juga Stacy sedikit ‘patah kaki’ kerana tiada kereta untuk bergerak ke sana ke mari. Jadi seperti biasa, Stacy bergantung harap kepada kereta pengurus Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Benda sudah nak jadi, apa daya kita nak menghalang,” katanya sambil memberitahu Chelton juga bertindak sebagai pembantu peribadinya.
Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 itu ditemui Hip baru-baru ini dalam satu majlis mengumumkannya sebagai duta produk penjagaan kulit, Clinelle selama setahun yang diadakan di Hotel Boulevard. Terdahulu Stacy pernah dilantik mempromosikan produk Power Roots dan Intimate.
Kontraknya bersama Power Roots sudah ditamatkan dan cuma Intimate yang terus memanjangkan kerjasama bagi tahun kedua. Stacy sendiri tidak menyangka tuahnya untuk dilantik sebagai duta produk yang pertama mewakili jenama Clinelle datang tiba-tiba tanpa sebarang isyarat tertentu.
“Sebelum dilantik sebagai duta, Stacy sendiri juga tercari-cari produk penjagaan kulit mana yang sesuai untuk saya. Selepas menggunakannya, Stacy dimaklumkan pihak AESB yang mereka berminat untuk melantik saya sebagai duta. Semuanya bagaikan rezeki, orang mengantuk disorongkan bantal.
“Stacy gembira dan teruja diberi mandat dan kesempatan ini. Ia bukan saja rangkaian produk yang sesuai untuk golongan wanita, malah terbukti bersesuaian untuk lelaki. Apa yang boleh Stacy katakan produk ini sangat efektif dan bagus kerana mempunyai ramuan seperti vitamin, ekstrak botanik dan minyak haruman yang sangat semula jadi,” katanya yang bakal tamat kontrak dengan AESB pada Mac tahun depan.
Akui Stacy lagi, dia sendiri tidak mampu menjangka apa saja kemungkinan yang bakal terjadi kepadanya pada masa mendatang. Begitu juga dengan tawaran bergelar duta Clinelle. Apa yang mampu dilakukannya ialah berusaha untuk memantapkan profil seninya dan sekali gus berharap supaya lebih murah rezeki.
Hal yang sama juga terjadi, apabila hasrat Stacy untuk mewakili negara dalam Festival Muzik Pop Antarabangsa-Discovery 2010 di Bulgaria bulan ini tidak kesampaian. Atas sebab yang tak boleh dielakkan, Stacy yang pada mulanya teruja dengan berita itu terpaksa akur pada akhirnya.
“Stacy sendiri tidak menjangka kesulitan ini terpaksa dilalui. Tapi tak apalah, mungkin bukan rezeki Stacy untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat luar. Dalam pada itu jadual pengajian saya di Universiti Lim Kok Wing juga sangat padat.
“Ketika ini, Stacy juga perlu memberi perhatian membuat persiapan untuk pertandingan Gah 1 (dulunya Hits 1) pada 30 Mei ini yang bakal berlangsung di pentas terbuka Taman Tema Air Sunway Lagoon. Stacy dicalonkan untuk dua buah lagu, Pakai Buang dan Menggegar Dunia (duet dengan Adam),” katanya yang turut menyanyikan lagu tema program game show terbaru di Astro Ria, Katakau dan mempromosikan single dan video klip terbarunya, Jahat hujung Mei ini.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Clinelle, Priscillia Ooi berkata, personaliti dan perwatakan yang ditampilkan Stacy seiring dengan matlamat serta aspirasi produk ini. Selepas enam bulan ‘memerhatikan’ Stacy menggunakan produk ini, pihaknya tidak teragak-agak memilih Stacy sebagai duta.
“Sebelum ini, pihak kami memang tercari-cari wajah yang bersesuaian untuk mewakili Clinelle. Rangkaian produk kami bersesuaian untuk lelaki dan wanita berusia seawal 20 hingga 40 tahun. Ia sudah diuji secara dermatologi termasuk mendapat piawaian pembangunan dan penyelidikan yang ditetapkan.
“Stacy juga diketahui ramai mempunyai gaya ceria dan gembira. Wajahnya yang segar dan muda serta sentiasa bertenaga di atas pentas, antara yang mengukuhkan pilihan kami terhadapnya. Satu yang diperhatikan, setiap kali di atas pentas, Stacy sentiasa tersenyum dan itu menjadi simbolik kepada aspek gembira yang ditekankan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: