Monday, May 17, 2010

Tetap rock!

pix_gal0
Semangat Melayu dalam jiwa ‘papa rock’ masih kental

POPULARITI lagu Bukan Kerana Nama, Sejuta Wajah dan Jikalau Berkasih serta besarnya nama Ramli Sarip dalam dunia muzik beraliran rock sudah cukup membuktikan mengapa dia memang layak untuk membuat persembahan istimewa di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) selama dua malam berturut-turut mulai 10 Mei lalu.
Biarpun rock, tetapi muzik adalah muzik. Bukan sekadar muzik atau melodinya, tetapi apa yang perlu dihayati ialah isi pada setiap bait seni kata nyanyiannya. Kadang-kadang ia sekadar lagu biasa, tetapi kalau diamati, seni katanya juga umpama sebuah puisi yang tinggi nilainya.
Tambahan pula, walaupun rock, tapi jiwa Melayu dalam tubuh Ramli cukup kental. Sekeras mana pun muzik rock yang dibawakannya, elemen kemelayuan masih diselitkan, tak banyak sedikit. Sebab itulah, muzik rock Ramli tetapi ada ‘bau Melayu’.

Selain itu, lagu Ramli seolah-olah ‘hidup’ dengan sendirinya kerana ia tidak sekadar lagu tetapi memang ada cerita. Ceritanya bukan pula sekadar cinta antara pasangan kekasih yang melankolik. Memang benar di sebalik rentak muziknya yang ada ketika agak keras untuk dipersembahkan dalam DFP, Ramli juga turut membawakan lagu berirama balada.

Lagu Kamelia memang asalnya sebuah puisi karya Ebiet G Ade tetapi Bukan Kerana Nama dan Teratai serta Doa Buat Kekasih juga boleh disifatkan sebagai puisi ada kelas biarpun dialunkan dengan muzik rock oleh Ramli.

Mendalami maksud kata-kata dalam seni lagu yang disampaikan oleh Ramli, jelas memang sarat dengan erti kemanusiaan, kerohanian, ketuhanan selain kasih sayang sesama insan.
Lagu Teratai bukan sekadar bunga tetapi adalah cerita seorang abang atau suami yang mahu melihat adik perempuan atau si isteri kembali ceria serta bersemangat selepas melalui kehidupan yang suram dan muram.

Begitu juga dengan Seruan, ia bukan sekadar lagu rock semata-mata tetapi satu cerita yang dilalui oleh Ramli mengenai betapa sayu, gementar dan menggeletar apabila mendengar laungan azan Subuh tatkala dia masih leka berbual dengan rakan-rakannya.

Lagu Ziarah pula diangkat daripada puisi yang menceritakan si ibu mendodoikan lagu untuk anaknya tidur supaya dapat melupakan kelaparan tatkala mereka dibelenggu kesengsaraan akibat kezaliman.

Ini tidak termasuk lagu lain yang dinyanyikannya seperti Qasidah Kampungan, Syair Laila Majnun, Adam Hawa, Keliru dan Fantasi Tapi Kenyataan serta Layarkan.

Malahan lagu Jalan Malam yang nadanya kedengaran agak lucu, tetapi ia sebenarnya adalah satu nasihat kepada sesiapa pun, terutama perempuan supaya jangan berjalan bersendirian di tempat gelap dan sunyi kerana tempat seperti ini selalu mengundang bahaya.

Ramli, pada usia 58 tahun masih tidak banyak berubah, bukan saja penampilan diri tetapi juga suaranya yang garau dan serak tetapi cukup lantang.
Persembahannya di DFP selama kira-kira 130 minit menerusi 20 lagu pilihannya, memang tidak menghampakan peminat dan penontonnya.

Malah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini yang menyaksikan konsert itu pada malam kedua menyifatkan persembahan Papa Rock itu sebagai konsert terbaik yang pernah disaksikannya.

“Bagaikan hilang kata-kata kerana Ramli memang best!” katanya ketika ditemui usai persembahan konsert itu.

Mungkin kerana ‘menghormati’ status DFP sebagai dewan persembahan yang berprestij menyebabkan penonton agak ‘malu-malu’ untuk berdiri dan menari mengikut rentak lagu yang dinyanyikan oleh Ramli. Sebaliknya, memadai sekadar menggoyangkan bahu, bertepuk tangan dan menyanyi sambil duduk saja.

Persembahan Ramli pada kedua-dua malam itu, secara keseluruhannya tidak ada perbezaan yang terlalu ketara, kecuali untuk malam pertama menampilkan Andre Goh sebagai penyanyi undangan, manakala hari kedua pula mengundang Misha Omar.

Bersama Andre, Ramli berduet menyanyikan Lagu Zaman sebelum penyanyi veteran itu menyanyikan lagu Melayu Asli yang menjadi identitinya iaitu Mas Merah. Pada malam kedua pula, vokalis Sweet Charity itu berpadu suara dengan Misha Omar menerusi lagu Zapin Berperi.

Malahan Misha juga diberi peluang menyanyi secara solo dengan menyampaikan lagu Istilah Bercinta atas cadangan Ramli sendiri, sebelum berduet sekali menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih pada penghubung persembahan hari kedua.

Sulami nyanyian dengan kisah hidup

RAMLI sendiri dalam tempoh lebih dua jam itu tidaklah menyanyi saja. Penyanyi ini menyulami persembahannya dengan serba sedikit pengalamannya selama hampir empat dekad dalam dunia seni. Ini termasuklah ceritanya mengapa dia berambut panjang.

“Saya tak suka suka gunting rambut. Sedangkan bapa saya, pada waktu lapangnya adalah seorang tukang gunting rambut,” katanya.

Sebelum itu, Ramli mengakui betapa bertuahnya dia kerana dapat peluang mengadakan persembahan dalam DFP, sebuah tempat yang sering dipandang tinggi oleh masyarakat penyanyi.

“Bukan senang nak cari peluang masuk dalam DFP ini. Tapi yang penting ialah saya bangga kerana masih ada orang Melayu sudi mendengar dan menghargai lagu Melayu,” sambungnya lagi.

Bagaimanapun, satu perkara yang sepatutnya diberi perhatian serius oleh Ramli ialah soal penampilannya. Mungkin benar, Ramli hendak mengekalkan imej seorang ‘rockers’ lalu muncul dengan gaya yang ringkas – berkemeja lengan panjang dan berseluar denim.

Tapi apa salahnya kalau Ramli tampil dengan imej kemas seperti memakai sut dengan rambut disisir rapi kerana persembahannya diadakan dalam dewan yang penuh prestij iaitu DFP. Ibarat ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya, penampilan Ramli yang lebih kemas dalam persembahannya di DFP pastinya tidak juga menghilangkan gaya dan imejnya sebagai penyanyi rock.

Apapun, persembahan Ramli dalam Konsert Tafsiran Budiman yang dibawakan oleh Impress Creative & Editorial dan diterbitkan RasaMusic ini memang mantap dan bertenaga dengan iringan pemuzik cukup berpengalaman serta serasi dengan dirinya yang diketuai Eddie Marzuki.

Eddie sendiri turut bermain gitar akustik dan gambus. Pemuzik lain pula dua pemain gitar berpengalaman, Mohd Rafi Shafie dan Rahman Mahmood atau Man Kidal, Mohd Nordin Anuar atau Tom (dram), Din Safari (gitas bass), Tengku Muhaiyudin Ramly (keyboard), Mohardirman Ismail atau Mohar (seruling buluh), Kamrul Bahrin Husin (percussion tradisional) dan Mohd Noor Syed Yaacob (percussion latin/tabla).

Turut memperkuatkan persembahan Ramli ialah Tengku Mohd Shahid Tengku Sachel atau dikenali dengan Jimmy Sax (saksofon) selain lima pemain string (muzik bertali) iaitu Azlan Che Othman (violin utama), Aksana Yusupova, Alla Yanishewa (violin), Lau Chai Hong (viola) dan Aidil Khaizir Kamaruddin (cello).
Sementara itu, penyanyi latar pula terdiri daripada Izzad Izzuddin Borhan, Norakmal Kamarulzaman dan Tijah Mohd Nor.

Info

  • Album solo pertama Ramli Sarip berjudul Ramli Sarip diterbitkan pada tahun 1985.

  • Sejak itu Ramli mempunyai 13 album solo dan yang terakhir setakat ini berjudul Ruh Zaman pada 2005.

  • Album pertama sebagai penyanyi utama kumpulan Sweet Charity diterbitkan pada tahun 1979.

  • Kumpulan Sweet Charity melahirkan tujuh album iaitu Sweet Charity (1979), Pelarian (1980), Sejuta Wajah (1981), Penunggu (1982), Batu (1983), Berita Gempa (1985) dan Konsert Sejuta Wajah (1996).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: