Saturday, May 8, 2010

Sokongan keluarga amat mustahak

PERSEKITARAN hidup kini menuntut ibu untuk bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga, lantas memerlukan komitmen yang bukan calang-calang sekali gus memberikan pelbagai cabaran.

pix_middle
pix_topright
Begitu juga dengan mereka yang bergelar ibu pada usia muda bagi memastikan urusan hidup sekeluarga sentiasa lancar, tanpa sebarang pengabaian.


Memegang status ibu tunggal pada usia muda, Siti Nurhazian Ramly, 29, mengakui banyak cabaran harus ditempuh terutama daripada segi pembahagian masa kerana dia perlu melakukan tiga peranan dalam satu masa.


Menurutnya, setiap peranan yang dilalui perlu dilaksanakan sebaik mungkin agar tidak memberikan sebarang tekanan pada diri dan anaknya, Sophea Shamyl, 4.


"Saya perlu bijak membahagikan waktu kerana sebagai ibu, kebahagiaan dan kegembiraan anak paling penting.


"Peranan ayah juga perlu dipikul bagi mendidiknya untuk lebih berdikari di samping komitmen kepada kerja.


"Berfikiran positif dan cekal menghadapi semuanya perlu diterapkan dalam diri selain sokongan keluarga kerana tidak mudah untuk menjalani segalanya sendirian," katanya.


Siti Nurhazian akui perlu sentiasa memberikan penjelasan supaya Sophea memahami apa yang berlaku. Apatah lagi ketika perpisahan dengan bekas suami itu, anaknya masih kecil, tapi kini dia semakin membesar dan mula bersekolah, banyak perkara ditanya mengenai kehidupannya.


"Ada kalanya dia akan bertanyakan soalan paling ringkas, tapi mempunyai makna mendalam kepadanya seperti kenapa ayahnya tidak tinggal bersama sedangkan ibu dan ayah rakannya boleh?

"Saya jelaskan sebaik mungkin mengenai apa yang berlaku, sesuai dengan usianya dan nampaknya dia cukup memahami sungguhpun tidak memahami 100 peratus," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Walaupun sudah berpisah, hubungan dengan bekas suami dan keluarga mentua sangat baik. Malah mereka amat menyayangi Sophea memandangkan dia cucu pertama untuk kedua-dua keluarga.


"Menjaga Sophea juga amat mudah kerana dia tidak banyak ragam. Mungkin Sophea memahami dia hanya tinggal berdua dengan ibunya dan tidak mahu membebankan saya dengan kerenahnya.


"Pada saya, tiada guna berebut isu hak penjagaan kerana ia boleh memudaratkan kedua-dua pihak terutama anak. Oleh itu, buang yang keruh ambil yang jernih, sama-sama kita menjaga amanah yang dikurniakan untuk kebaikan bersama," katanya.Bagaimanapun katanya, ada ketikanya dia merasa rendah diri jika ada yang mengetahui statusnya sebagai ibu tunggal.


Bukan hendak melawan takdir, tetapi tanggapan yang diberikan orang luar terhadap ibu tunggal sepertinya kadangkala cukup memeritkan.


"Ramai antara mereka yang memandang rendah kebolehan kami sebagai ibu tunggal dalam membesarkan anak kerana beranggapan perkara itu sesuatu yang mustahil dengan keadaan sekarang yang serba mencabar.


"Tapi saya ingin buktikan ia bukan penamat segalanya sebaliknya satu permulaan bagi membentuk semula kehidupan baru bersama anak dan tentunya kini kebajikan anak menjadi kepentingan utama," katanya.


Bagi ibu muda, G Maaliny, 26, dia pula perlu berjauhan dengan anak bagi meneruskan cita-citanya dalam kerjaya.


Bukan bermakna tidak menyayangi anak, tapi keputusan itu diambil selepas mendapat sokongan keluarga, mentua dan suami.


Memandangkan keputusan itu juga berkaitan dengan masa depan keluarga, ia dilakukan sebaik mungkin dan pembahagian masa amat penting bagi memastikan keseimbangan dapat dicapai.


Untuk itu, katanya, menghabiskan masa berkualiti bersama suami dan anak amat penting. Lantas setiap kali hujung minggu, sememangnya masa dicurahkan sepenuhnya untuk mereka tanpa sebarang gangguan.


"Saya akan pastikan segala keperluan mereka tersedia dan melakukan semua kerja rumah sama seperti suri rumah biasa.


"Tiada istilah penat dalam kamus hidup saya kerana ia adalah pengalaman baru yang perlu dilalui setiap ibu iaitu melihat anak mereka membesar di depan mata dengan sihat dan cergas dalam keluarga bahagia," katanya.


Maaliny berkata, dia cukup bertuah kerana memiliki sokongan keluarga yang amat kuat, malah kehadiran Taashvin, sembilan bulan, adalah penyeri memandangkan dia cucu sulung untuk kedua-dua keluarga.


Bagaimanapun, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika menjaganya adalah ketika Taashvin terjatuh akibat spring buaiannya terputus dan mengenai bahagian bawah matanya hingga luka.


"Memang ketika itu saya cemas dan sedih. Ia antara pengalaman yang sukar dilupakan menyebabkan saya begitu berhati-hati ketika menjaganya kini memandangkan dia sudah mula merangkak dan makin nakal," katanya.


Bagi Chong Jee-Ann, 24, kehadiran Julius Kam Deshen, enam bulan, banyak mengubah kehidupannya sekeluarga.


Jee-Ann sendiri tidak pernah menyangka akan memiliki anak pada usia yang masih muda, bagaimanapun, menerima ketentuan tuhan dengan rasa terbuka dan gembira.


"Saya tidak pernah menyangka apabila memiliki anak, kegembiraan yang dibawanya amat berlainan sama sekali.


"Kini baru saya memahami perasaan seorang ibu apabila melihat anak yang dikandung sihat dan sempurna, pastinya saya amat menghargai pengalaman kini," katanya.


Sebagai suri rumah dan pada masa sama turut menjalankan pekerjaan sampingan, Jee-Ann berkata, pastinya cabaran dihadapi berganda.


"Mungkin ramai beranggapan jika bekerja di rumah, bebanan dihadapi kurang tapi ia berbeza kerana perhatian perlu dibahagikan antara kerja dan anak serentak.


"Di sini kita dapat melihat pelbagai kekalutan kerana kedua-duanya perlu diberi perhatian sewajarnya. Tanpa bantuan, pasti ia amat meletihkan," katanya.


Oleh itu menurutnya, keluarga memainkan peranan penting dalam memberikan panduan dan nasihat bagi menguruskan segala keperluan terutama berkaitan penjagaan bayi.


"Saya sentiasa menjadikan orang lebih tua sebagai tenaga rujukan kerana walaupun sudah menjadi ibu, saya masih lagi belajar.


"Sungguhpun begitu, saya tetap ingin merasai sendiri kepayahan dan kegembiraan menjaga anak tanpa bantuan sesiapa kerana ia sesungguhnya satu pengalaman yang sukar dilupakan untuk selamanya," katanya.


Ketiga-tiga ibu muda ini mendapat pengiktirafan daripada jenama Drypers atas kecekalan masing-masing menghadapi pelbagai cabaran bergelar ibu pada usia muda.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: