Saturday, May 22, 2010

SMK Subang Utama tubuh skuad periksa denggi


Pelajar SMK Subang Utama, Ko Bo Yi (kiri) dan Lim Yen Yen memeriksa pasu bunga yang mengandungi air sambil diperhatikan oleh tuan rumah, Asha Kaur Satwant Singh di Subang Jaya, baru-baru ini.


SUBANG JAYA 21 Mei - Skuad periksa denggi yang diwujudkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama akan menjalankan pemantauan jentik-jentik di kawasan perumahan berhampiran sekolah.

Guru Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) SMK Subang Utama, Zaharah Yaakob berkata, kumpulan yang diwujudkan dari kalangan sukarelawan pelajar sekolah itu akan mengadakan pemeriksaan di kediaman berhampiran sekolah sebelum atau selepas waktu persekolahan.

Katanya, mana-mana rumah yang didapati mempunyai jentik-jentik akan diberi 'notis mesra' untuk meminta tuan rumah segera membersihkan barangan yang menakung air.

''Kita wujudkan beberapa kumpulan yang terdiri daripada 10 pelajar setiap satu.

"Mereka akan membuat pemeriksaan di rumah-rumah berhampiran kawasan sekolah dan memastikan tiada tanda-tanda pembaikan nyamuk aedes," katanya kepada pemberita selepas operasi pemantauan skuad sukarelawan banteras Aedes SMK Subang Utama baru-baru ini.

Katanya lagi, selain pemantauan, skuad itu turut menyasarkan untuk merebut hadiah utama iaitu dalam kategori paling banyak rumah dilawati di dalam kempen anjuran sebuah syarikat.

''Mereka (sukarelawan) mengejar hadiah utama RM10,000 untuk sekolah terbaik selain hadiah lebih besar di peringkat negeri.

''Skuad ini turut memberi maklumat penting mengenai denggi kepada penghuni rumah yang dikunjungi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: