Saturday, May 22, 2010

Bermain sambil santai di Staffield




LAPANGAN ini di reka supaya pemain selesa dan seronok beraksi. Ia tidak susah dan tidak juga terlalu mudah.

"Yang pasti setiap pemain pasti mampu mencatatkan tiga atau empat par di sini."

Itu kata-kata Pengurus Operasi Staffield Country Resort (SCR), Steven Seo mengenai lapangan golf yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan itu.

Sebut saja Mantin mungkin ada yang rasa jauh. Tetapi dengan rangkaian lebuh raya yang serba moden mereka yang datang dari pusat bandar raya Kuala Lumpur boleh tiba di SCC dalam masa 45 minit saja.

SCC mempunyai 27 lubang terdiri daripada Northern, Southern dan Western.

Kebanyakan pemain yang beraksi di sini lebih suka memilih Southern dan Western. Northern kurang menjadi pilihan kerana ia lebih panjang.

Lapangan Southern tidak panjang, tetapi pemain di cabar oleh landskapnya. Pokok-pokok matang yang terletak di kiri kanan fairway dan ada pula yang rantingnya menjulur ke tengah fairway antara cabaran yang perlu dilalui.

Lubang satu par-5 di Southern misalnya cukup mudah untuk sampai ke green dengan dua pukulan. Tetapi pohon rendang berhampiran green merupakan halangan yang perlu diatasi.

Landskap menarik ini menyediakan suasana tenang untuk pemain.

Bagi pemain yang berhandikap rendah mudah untuk mereka melakukan catatan yang baik di lapangan ini jika bijak mengurusnya.

Jika pukulan drive baik, pukulan kedua ke green hanya memerlukan iron pendek. Cuma perlu berhati-hati dengan bunker di sekeliling green yang boleh mengganggu rentak dan cita-cita.

Keseluruhan lapangan ini menggunakan rumput bermuda untuk fairway dan bermuda tifdwarf di green.

Bagi Western pula keistimewaannya ialah pada reka bentuk setiap lubangnya,

Ia tidak susah cuma perlukan pengurusan lapangan yang baik.

Lubang satu par-5 misalnya mudah untuk mencatatkan par jika pukulan tidak bermasalah.

Pemain hanya perlu memastikan bola berada di fairway untuk dapatkan green regulation dan seterusnya untuk cubaan birdie dan tap masuk untuk par.

Terdapat beberapa lubang yang mencabar kerana kedudukan kolam dan bunker yang sedia untuk memerangkap pemain.

Namun hampir semua par-3 di sini mudah untuk catatkan par.

Untuk Northern, mereka yang mempunyai pukulan jauh akan memiliki kelebihan. Jika pukulan drive anda pendek, maka bersedialah dengan fairway wood untuk pukulan kedua.

Keseluruhannya lapangan ini mesra pemain. Ia sesuai untuk setiap peringkat pemain.

Ketika ini pihak pengurus SCR turut menawarkan pakej menarik dengan bayaran RM68 sahaja setiap Isnin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: