Saturday, May 1, 2010

Semua PKS layak bersaing

BUAT julung kali, SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan membuka Anugerah Enterprise 50 (E50) yang dianjurkan agensi itu sejak 13 tahun lalu kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ditubuhkan di Malaysia tanpa mengira sama dimiliki rakyat tempatan dan asing mulai tahun ini dalam usaha menjadikan PKS terbabit lebih berdaya saing.

RASMI...Dr Mohamed Al Amin (kanan)   melancarkan Anugerah  E50,  semalam.
RASMI...Dr Mohamed Al Amin (kanan) melancarkan Anugerah E50, semalam.
Anugerah E50 itu bukan saja memberi pengiktirafan kepada kejayaan usahawan dan PKS, malah membantu syarikat berkenaan mempromosi dan mempamerkan daya saing mereka bagi menghadapi cabaran global. Pengerusi SME Corp, Datuk Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid, berkata langkah membuka penyertaan PKS dalam Anugerah E50 itu bertujuan menggalakkan persaingan secara sihat dalam kalangan syarikat terbaik di negara ini. “Pembukaan itu bertujuan meluaskan lagi penyertaan dan pada masa sama menjadikan E50 sebagai penanda aras kepada PKS tempatan untuk bersaing dalam kalangan syarikat terbaik negara sama ada milik tempatan atau asing,” katanya pada majlis pelancaran Anugerah E50 untuk 2010 di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama Rakan Kongsi Urusan Negara Deloitte Malaysia, Tan Theng Hooi dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim. Mohamed Al Amin berkata, pihaknya yakin usaha itu dapat meningkatkan lagi jumlah penyertaan PKS tempatan dalam Anugerah E50 pada tahun ini berbanding 98 syarikat menyertainya tahun lalu. Beliau berkata, sejak program Anugerah E50 diwujudkan pada 1997 yang menjadi asas kepada kejayaan syarikat tempatan, ia menarik 1,483 penyertaan dan melahirkan 455 syarikat yang berjaya dalam pelbagai kategori. “Daripada jumlah pemenang Anugerah E50, kira-kira 49 syarikat berjaya disenaraikan iaitu 38 syarikat di Bursa Malaysia dan 11 lagi di Pasaran ACE (yang sebelum ini dikenali sebagai Mesdaq). “Daripada pemerhatian kami, pemenang E50 mendapat banyak manfaat seperti pengiktirafan, rangkaian perniagaan yang baik, liputan media dan menjadikan PKS lebih dikenali di kalangan pelanggan dan pembekal,” katanya. Menurutnya, sebagai insentif tambahan, pemenang Anugerah E50 juga secara automatik layak memenangi anugerah lain dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) termasuk Anugerah Kecemerlangan Industri Malaysia (MIEA) dan Produktiviti Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: