|
|
INSPIRASI empat musim yang menjadi panduan utama bagi pereka barat nyata turut mempengaruhi pereka-pereka tempatan untuk tampil dengan koleksi rekaan bertemakan musim-musim tersebut.
Cuaca satu musim yang dinikmati di negara ini tidak menghalang pereka-pereka terkenal tanah air ini berkongsi idea dan inspirasi rakan-rakan mereka di barat.
Terbaru pereka perkenal kelahiran Parit Buntar, Perak, yang tampil dengan 32 persalinan bertema hitam, putih, merah dan emas untuk koleksi Musim Luruh dan Sejuk 2010 yang diperagakan di ibu negara, baru-baru ini.
Kali ini ia berjaya mengetengahkan fesyen potongan ringkas tanpa menampilkan hiasan yang banyak tetapi masih lagi mengekalkan ciri keanggunan. Khoon Hooi dilihat menzahirkan koleksi sedia pakai yang lebih praktikal.
Cara tersebut lebih sesuai digayakan ke mana-mana saja. Bagi pereka fesyen tempatan ini, pakaian itu perlu menyerlahkan peribadi tuannya yang sedia ada.
Sentuhan romantis dan feminin dalam rekaannya bertindak sebagai mercu tumpuan yang mampu menerbitkan aura keanggunan, keseksian dan keindahan seseorang pemakai.
Sifat kelembutan dan kesantunan wanita menjadi teras dalam kerja Khoon Hooi sebagai seorang pereka fesyen yang disegani di negara ini.
Menurut pereka itu, kebanyakan rekaannya tampil sederhana. Tetapi gaya silhouette serta warna keemasan, hitam dan putih menjadikan ia kelihatan cukup mewah.
Pemilihan warna-warna tersebut bersesuaian dengan empat musim iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk.
"Inspirasi ini adalah gabungan daripada helaian fabrik yang lembut dan beralun kerana ia sesuai dan serasi dengan tubuh wanita.
"Bukan itu sahaja, semua fesyen yang digayakan hari ini juga sesuai dipakai di negara kita,'' ujarnya ketika ditemui selepas pertunjukkan fesyen tersebut.
Pilihan bahan kali ini menjadikan pakaiannya lebih lembut, namun masih mampu membuatkan mereka tampil serasi pada majlis yang dihadiri.
Sambil menyifatkan trend masyarakat tempatan yang semakin mengambil berat tentang penampilan diri dan fesyen, Khoon Hooi berpendapat sudah tiba waktunya bagi peminat fesyen lebih fokus dalam pemakaian masing-masing.
Bukan sahaja memperagakan rekaan yang lebih menarik dan bergaya tetapi keselesaan pemakai juga perlu diambil kira.
Boleh dikatakan apa yang 'disajikan' petang itu membuktikan bahawa Khoon Hooi sememangnya pakar memadankan pelbagai lapisan tekstur, warna dan corak.
Pereka ini amat menitikberatkan sentuhan feminin dan romantis dalam karyanya terutama dalam penggunaan bahan dan potongan.
Gemar menggunakan bahan yang ringan seperti sutera sifon dan sutera satin yang menjadi simbol kepada gaya feminin wanita, rekaan kali ini bukan sahaja tampil dengan gaya seksi dan romantis malah penggunaan zip turut dipraktikkan ke atas setiap rekaan yang bersesuaian.
Penggunaan bahan-bahan yang polos juga tidak kelihatan membosankan disebabkan garapan potongan terperinci.
Koleksi terbaru Khoon Hooi ini telah berada di Starhill Gallery, Maizen, Parkson dan Pavilion.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: