Tuesday, May 18, 2010

Ravindraa, Kok Sing menangis meratapi kematian anjing


RavindraA bersama anjing tugas am, Rambo (baka German Sherperd) dan Kok Sing bersama anjing pengesan bahan letupan/ senjata api, Blondie (baka Lobrado Retriever).


SUATU hari pada 1991, di salah sebuah bilik rawatan veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), kedengaran salakan anjing yang begitu menyayat hati.

Anjing yang diberi nama 'Bintang' itu merupakan anjing polis K-9 kendalian Konstabel (kini berpangkat Sarjan) Ravindraa Kumar.

Bintang, berbaka Rottweiler, mengerang kesakitan apabila doktor memeriksa kecederaan parah pada kaki yang dialami ketika bertugas bersama tuannya.

Kejadian berlaku ketika Bintang cuba melompat sebuah longkang yang besar tetapi gagal mengakibatkan haiwan itu terjatuh dan patah kaki.

Ravindraa yang kasihan dengan Bintang, tidak sanggup melihat anjing kesayangannya itu menderita.

Tidak lama kemudian, doktor menghentikan rawatan dan memandang ke arah Ravindraa sambil menggelengkan-geleng kepala, tanda anjingnya itu tidak dapat diselamatkan.

"Encik, Bintang tak dapat diselamatkan... Penyelesaian terbaik adalah untuk 'menidurkan' dengan suntikan beracun," jelas doktor kepada Ravinndra.

Doktor kemudian melakukan suntikan. Ravindraa, walaupun tidak sampai hati, memeluk rapat Bintang untuk menenangkan anjing tersebut.

"Bintang mati dalam pelukan saya," cerita Ravindraa, 47, jurulatih K-9 yang ditemui Gaya Polis minggu lalu.

Bak kata pepatah orang barat, 'Anjing adalah sahabat karib manusia', itulah kata-kata Ravindraa tatkala menyatakan perasaannya terhadap Bintang.

Demikian perumpamaan hubungan antara Bintang dan Ravindraa. Ravindra tidak dapat menahan sebak menangis menyaksikan dengan mata sendiri pemergian anjing kesayangannya.

Menurut Ravindraa, Bintang merupakan anjing pertama kendaliannya ketika dia ditukarkan ke Unit K-9 pada 1986.

"Ketika saya dipertemukan dengan Bintang, ia masih seekor anak anjing yang comel... Baru berusia enam bulan," katanya sambil menatap gambar Bintang.

Bersama teman setianya Bintang, Ravindraa pernah menyelesaikan beberapa kes antaranya kejadian tujuh banduan meloloskan diri dari penjara Kajang.

"Enam berjaya ditahan sebelum itu namun Bintang berjaya menjejaki banduan terakhir di Taman Rasah, Seremban iaitu kira-kira 50 kilometer jauhnya.

"Saya masih ingat ketika itu, Bintang membawa kami di sebuah kawasan perumahan, tempat suspek bersembunyi.

"Walaupun kami diarahkan pegawai meneruskan pencarian di sebelah lebuh raya namun saya berkeras dan akhirnya suspek terakhir berjaya diberkas," imbas Ravinndra.

Bagi rakan Ravindraa, Sarjan Mejar Yeo Kok Sing, 55, dia pula merindui Charlie, anjing berbaka Labrador Retriever kendalian yang 'ditidurkan' pada 2003.

Menurutnya, berbeza dengan nasib Bintang, Charlie yang mengikutnya sejak 1998 mati kerana uzur dan sakit tua.

"Dia tinggal di 'rumah anjing tua' selama setahun setelah bersara dari perkhidmatan. Saya membelikan ayam goreng Kentucky sebagai jamuan terakhir buatnya," katanya.

Kok Sing bersama Charlie pernah memeriksa jet peribadi yang dinaiki Ratu Elizabeth sebelum berangkat pulang ketika Sukan Komanwel 1998.

"Charlie merupakan anjing pengesan bahan letupan. Kami ditugaskan untuk memeriksa jet peribadi tersebut untuk memastikan ia selamat untuk dinaiki Ratu Elizabeth dan kerabat diraja.

"Itu merupakan antara kenangan manis saya bersama Charlie. Bukan sebarangan orang boleh memasuki ruangan kabin jet peribadi berprestij seperti itu," ujar beliau.

Berpasangan dengan Charlie, Kok Sing juga banyak bertugas pada persidangan antarabangsa seperti Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) yang dianjurkan di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan, anjing-anjing K-9 seperti German Sherperd dan Lobrado Retriever, memiliki kebolehan menghidu yang luar biasa selain kebijaksanaannya banyak membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pelbagai aspek.

Bagi Kok Sing dan Ravindraa, masing-masing berkhidmat untuk unit K-9 selama 28 dan 24 tahun lamanya. Harapan mereka adalah anjing-anjing yang sudah meninggal dunia boleh disemadikan di satu lokasi khas untuk diiktiraf jasa mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: