Monday, May 3, 2010

Ramli Sarip masih 'ganas'


TIGA figura gergasi rock tanah air, Ramli Sarip, Amy Search dan Ella masih memiliki aura dan pesona yang hebat.


RAMLI SARIP membuktikan kepada lebih 10,000 peminatnya yang hadir di Teluk Danga, Johor Bahru baru-baru ini bahawa dirinya layak memegang status Papa Rock.

Meskipun konsert tersebut dipersembahkan secara percuma, namun beliau mampu menawarkan hiburan yang pastinya menjadi kenangan indah kepada peminat yang hadir.

Seperti diduga, penonton yang hadir bukan sahaja terdiri daripada anak-anak muda sebaliknya persembahan Ramli tempoh hari turut ditonton oleh orang-orang lama atau 'otai' yang sememangnya membesar dengan muzik yang dibawa beliau.

Bandar raya Johor Bahru yang dilanda hujan lebat diselangi guruh dan petir seakan-akan merasai aura Papa Rock apabila ia reda menjelang Maghrib sekali gus menjayakan konsert pada malam tersebut.

Tambahan pula konsert yang dibawakan oleh penerbit filem seram 2 Alam, Datuk Dr. Rozmey Che Din turut menampilkan dua figura hebat dunia hiburan tanah air iaitu Amy Search dan Ratu Rock, Ella yang masing-masing mendendangkan dua lagi.

Konsert yang bermula pada pukul 9 malam itu dimulakan dengan aksi lawak dua pengacara bekas program Raja Lawak, Joe dan kumpulan Talam, sebelum kemunculan Ramli Sarip yang meraih sorakan hangat penonton.

Dengan gaya bersahaja dan penuh bertenaga, Ramli mengalunkan lagu pertamanya pada malam tersebut, Ufuk Nurani, diikuti lagu Fantasi Tapi Kenyataan, Seruan, Layarkan, Bukan Kerna Nama, Iqra dan Budaya.

Ramli tidak ketinggalan mempersembahkan kemampuan bermain gitar tua selain berbicara dengan penonton.

Walaupun sudah berusia 58 tahun, figura itu berjaya mempesonakan penonton dengan vokal yang mantap, malah penonton turut menghayati setiap bait lirik lagu yang dipersembahkan Ramli.

Kesejukan malam ditambah bumi baru disirami hujan seakan tidak terasa apabila Ratu Rock, Ella muncul di pentas mendendangkan dua buah lagu, Keliru dan Ku Di Halaman Rindu.

Kelincahan Ella berjaya memukau visual dan pastinya penonton tidak puas kerana mahukan lebih daripada Ella.

Kemunculan Amy selepas itu menyemarakkan lagi kemeriahan konsert.

Tanpa dapat disangsikan, kemunculan Amy dapat mengubat rindu para peminat. Lagu-lagu yang didendangkan seperti Sejuta Wajah dan Musibah begitu menyentuh jiwa, selain vokalnya yang 'berbisa'.

Ramli kemudian membuat kemunculan kedua dan lebih hebat dengan menampilkan rangkaian lagu-lagu popularnya suatu ketika dahulu termasuk,lah Teratai, Jikalau Berkasih, Syair Laila Majnum, Kamelia, Istilah Bercinta dan Doa Buat Kekasih.

Ramli tidak lupa berwadah dan berbicara dengan mengingatkan para penonton tentang jati diri sebagai masyarakat Timur.

Ketika ditemui selepas konsert tersebut berakhir, Ramli nyata berpuas hati dengan persembahannya serta sambutan para penonton.

"Sebagai artis, peluang beraksi di pentas yang besar dengan set teknikal yang sewajarnya merupakan satu penghormatan bagi saya. Selain itu, konsert ini juga mempunyai tema tersendiri serta penaja yang hebat dan ia sesuatu yang baik bagi wadah seni tempatan.

"Konsert ini berjaya meningkatkan paradigma penonton yang hadir dan mereka akan bercerita tentang kualiti sesuatu konsert itu. Saya lihat penonton mempunyai jiwa yang dalam untuk menghayati lagu-lagu yang disampaikan," katanya.

Sementara itu, Rozmey menganggap konsert pada malam tersebut mencapai matlamatnya dalam mempromosi filem 2 Alam.

Katanya, bagi mencipta sesuatu fenomena baru dalam industri hiburan tanah air, dia perlu memilih artis yang hebat untuk muncul dalam konsert anjurannya.

"Ramli, Amy dan Ella adalah legenda di negara ini dengan berjaya mencipta kejayaan yang luar biasa. Justeru, untuk mengangkat martabat industri ini saya perlu menggunakan pendekatan yang luar biasa," katanya.

Sebelum persembahan berakhir kira-kira pukul 11.15 malam, penonton turut disajikan petikan daripada adegan filem 2 Alam.

Konsert pada malam tersebut merupakan rangkaian promosi filem 2 Alam dan bakal diteruskan di Jitra, Kedah pada 22 Mei ini sebelum filem tersebut ditayangkan kepada umum menerusi 100 pawagam tempatan seluruh negara pada 27 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: