"Ini merupakan julung kalinya saya terlibat dalam filem seram. Walaupun saya sudah biasa dengan watak jahat, tapi watak Mira lebih mencabar kerana dia seorang yang busuk hati dan kurang ajar." – FARAHDIYA
ENTAH disebabkan kebetulan atau lakonan berkesan Farahdhiya Mohd. Amin, aktres berusia 26 tahun itu seringkali ditawarkan peranan antoganis. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan aktres ini lebih sinonim dengan watak jahat walaupun dia pernah mempelbagaikan bakat lakonannya.
Contohnya, dalam drama yang sedang ditayangkan di TV2, Kejar, Farahdiya atau lebih selesa dengan panggilan Farah menggalas tanggungjawab sebagai mekanik tomboi. Sementara dalam siri Di Bawah Ketiak Isteri, aktres itu membuatkan audiens ketawa dengan gelagat komedinya.
Namun, Farah tetap ditawarkan dengan watak jahat apabila menerima pelawaan pertama MIG Production untuk drama Suri Bakawali yang turut dibintangi oleh Jehan Miskin dan Norliana Samsudin.
Mungkin bagi kebanyakan pelakon, mereka kurang meminati watak jahat yang dilihat sedikit sebanyak akan 'menjejaskan' imej mereka. Farah pula tidak kisah untuk menjiwai watak Mira dalam siri 13 episod itu.
"Sebelum ini, MIG pernah menawarkan watak kepada saya tetapi selalunya bercanggah dengan jadual kerja saya. Kali ini, tawaran diterima bukan sahaja kerana saya mempunyai masa tetapi juga disebabkan jalan cerita serta skripnya.
"Ini merupakan julung kalinya saya terlibat dalam filem seram. Walaupun saya sudah biasa dengan watak jahat, tapi watak Mira lebih mencabar kerana dia seorang yang busuk hati dan kurang ajar," kata Farah yang ditemui ketika majlis doa selamat drama tersebut.
Peranan sebagai Fatin dalam drama Spa Q juga meninggalkan kesan mendalam kepada audiens. Itu yang menjanjikan kepulangan Farah dalam sekuelnya. Selain daripada produksi itu, aktres kelahiran Itali itu baru sahaja menghabiskan rakaman drama Hotel Mania.
Dalam kesibukan menjayakan drama Suri Bakawali, Farah juga perlu memberi komitmen terhadap tugasnya dalam siri Aalia yang ditayangkan di Astro Prima. Menariknya, ketiga-tiga lakonan terbarunya itu juga bakal menyaksikan Farah memikul watak jahat.
"Sebenarnya saya sangat selesa memainkan watak jahat. Saya tidak peduli apa yang orang lain fikirkan kerana ini adalah kerja saya. Tidak kira watak apa, saya akan berlakon asalkan skripnya bagus.
"Mungkin disebabkan saya senang menjiwai watak jahat, jadi lakonannya nampak berkesan sehingga ramai yang sering menawarkan watak sama. Tapi perlu ditegaskan saya bukan orang yang jahat dalam kehidupan realiti," senyum Farah.
Suri Bakawali ditayangkan bermula hari ini di TV9 menceritakan kisah Suri, seorang wanita cantik yang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupannya. Berkahwin dengan Safri, Suri dikurniakan seorang anak lelaki.
Namun, Safri terpaksa berkahwin dengan Mira atas permintaan ibunya. Rahsia Safri terbongkar yang membuatkan dia berasa marah dan cemburu. Maka, dia menggunakan ilmu hitam untuk menghancurkan hidup Suri.
"Walaupun saya selalu memainkan watak jahat tetapi semuanya berlainan. Ada jahat - sombong, kurang ajar atau busuk hati. Dari situ, saya dapat bezakan lakonan apa yang perlu diberikan," ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada dua adik beradik.
Watak baik
Disebabkan kepakaran menghidupkan watak jahat, Farah mengakui dia adakalanya berdepan dengan masalah apabila diperlukan untuk menjadi orang baik semasa berlakon.
"Watak baik adalah sesuatu yang berbeza sehinggakan saya perlu membuat banyak penyelidikan. Mungkin disebabkan saya jarang mendapat watak sebegitu.
"Tapi pada saya watak baik lebih berat dan saya memerlukan lebih banyak ruang untuk menjiwainya," tambah Farah yang berharap untuk berlakon dalam filem.
Dikenali sebagai penyanyi pada awal kemunculan, bagi mereka yang baru mengenali Farah, mungkin tidak menyedari bahawa dia sebenarnya seorang penyanyi dan bukannya pelakon.
Cuma, kekerapan pengisian dalam kaca TV beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan Farah lebih kukuh sebagai pelakon.
Namun, Farah belum mahu meninggalkan bidang nyanyian yang membantu dirinya dikenali. Malah, dia amat bersyukur kerana masih lagi ada peminat yang mahu mendengar lagunya.
"Walaupun album Bertakhta Di Hati diterbitkan lima tahun lalu, saya amat berterima kasih kerana masih menerima tawaran persembahan nyanyian kerana lagu tersebut. Tidak sangka masih ramai orang yang menyukainya," ujarnya.
Tidak mengeluarkan album, Farah baru-baru ini menghadiahkan single terbarunya, Renyai khas kepada mereka yang merindui suaranya.
"Lagu itu telah dihantar ke stesen radio dua bulan lalu. Walaupun lagu itu masih jarang dimainkan, saya masih berharap ia akan mendapat sambutan," tambahnya.
Mahu memberi perhatian 100 peratus terhadap karier, Farah yang sudah mempunyai kekasih hati juga belum mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
Katanya, dia masih muda dan belum terdesak walaupun mereka sudah mengikat talian kasih selama tiga tahun. "Saya jenis orang yang percaya kepada jodoh.
"Buat masa sekarang, saya belum mempunyai perancangan untuk bertunang atau berkahwin. Lagipun, saya baru berusia 26 tahun.
"Saya seorang yang mahu merancang jika berkahwin nanti. Saya tidak mahukan majlis perkahwinan yang dirancang dalam masa singkat," jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: