|
|
BAYU laut yang berpuput lembut menyambut kedatangan penulis ke hotel berkonsep angin, Avillion Admiral Cove, Port Dickson. Damai dan menyegarkan, udara berhembus bebas di segenap penjuru ruang. Tiada pendingin hawa sejurus memasuki ruang lobi hotel, namun jendela kaca dibuka seluas-luasnya menjadikan suasana sungguh nyaman. Kipas turut dipasang menggalakkan lagi pengudaraan.
Pemilihan konsep itu menurut Pengurus Besar hotel tersebut, Alan Kay, bertujuan menyempurnakan elemen kehidupan harmoni iaitu air, tanah, angin dan api.
Sesuai dengan konsep semulajadi, setiap ruang dan sudut dicipta supaya bebas aliran udara. Penggunaan lampu juga diminimum sebaik mungkin.
''Hotel kami mesra alam sekitar," kata beliau ketika sesi penerangan media mengenai pembukaan unit baru Marina Vista baru-baru ini.
Angin memiliki karakter kreatif, dinamik dan menyegarkan. Ia dapat dilihat dengan jelas pada binaan hotel termasuk tona lembut dan semula jadi di setiap sudut dinding.
Sedikit sentuhan Mediterranean menyerlahkan lagi susun atur perabot yang minimalis.
Kelebihan berdiri megah di sebelah Marina bertaraf dunia, Admiral Marina & Leisure Club digunakan sewajarnya. Beberapa buah kapal layar yang berlabuh menambah seri suasana.
Tanggapan mengenai perairan Port Dickson berubah sama sekali tatkala menjelajah seluruh pelosok hotel serta kawasan sekitar termasuk pantai dan perairan. Pantai persendirian yang bersih turut disediakan kaunter minuman untuk mereka yang gemar berjemur di bawah terik mentari.
Dari pelantar Marina lagi, pelbagai jenis ikan berwarna- warni dapat dilihat dengan jelas di sebalik air yang jernih menghijau.
Kata Alan, untuk mengetahui tahap kebersihan sesuatu perairan cukup dengan melihat hidupan yang terdapat di dalamnya.
Belayar selama tiga jam bersama Catiana yang dikemudi Kapten Rudy memberi satu pengalaman mempesona.
Sehijau saujana mata memandang, nikmati keindahan pesisir pantai dari atas kapal layar ini. Sebagai jurumudi kapal, Kapten Rudy mahu setiap penumpang merasai sendiri pengalaman berada di atas kapal layar.
Cuba pandu arah kapal atau menarik gegelung tali untuk menaikkan layar cukup mengujakan. Atau sekadar duduk di sudut kapal sambil menikmati pandangan yang mempesona, lebih mengasyikkan tatkala menjadi saksi matahari dengan perlahan terbenam ke ufuk barat.
Pandangan malam Avillion Admiral Cove dari atas Catiana juga sangat mempesona. Limpahan cahaya lampu terbias pada permukaan air yang tenang.
Letih dan penat setelah belayar, singgah ke Traders Food Shop untuk menjamu selera. Pelbagai hidangan, paling istimewa BBQ makanan laut yang segar dan enak. Jika mata masih segar, hala ke Sailor's Drink Shop untuk berhibur dengan persembahan istimewa artis residen.
Andai kepenatan, pulang sahaja ke kamar tidur yang selesa dengan katil signatur Avillion, pasti nyenyak lena sepanjang malam.
Marina Vista yang baru dilancarkan menjanjikan sebuah ruang cukup selesa. Dengan perhiasan minimalis, sebuah katil siang (day bed) menghadap jendela memberi kelainan.
Dilengkapi pendingin hawa, namun andai mahu suasana semula jadi tepian pantai, buka jendela seluasnya. Bayu lembut yang berpuput ibarat irama dodoi paling merdu, mengulit lena paling indah.
Siang menjelma, pelbagai aktiviti menanti antaranya banana boat, kayak, basikal, rekreasi dan banyak lagi. Avillion Admiral Cove turut menyediakan gimnasium, gelanggang tenis, bilik permainan kanak-kanak, kolam renang kanak-kanak dan dewasa serta banyak lagi.
Perkhidmatan urut turut ditawarkan di tepian kolam atau boleh saja dilakukan di bilik jika mahu privasi.
Asyik dan mempesona, pastinya percutian di Avillion Admiral Cove mampu dimiliki oleh semua.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: