Sunday, May 2, 2010

The Persada


GABUNGAN sofa dan kertas dinding yang menarik. Gabungan hitam dan merah memberi inspirasi moden dan imej segar.


PILIHAN moden dengan warna ringkas menghiasi The Persada milik Mohd. Faizul Abdul Karim. Premis kendalian jejaka yang lebih mesra dengan panggilan Zul Mohd. itu terletak di Jalan Excella 1, Taman Ampang Hilir, Ampang, Kuala Lumpur.

Susunan dekorasi The Persada pasti memukau pandangan sesiapa sahaja yang mengunjunginya buat pertama kali.

Tidak sarat dengan warna, kedai ini lebih mesra pelanggan dengan susun atur yang santai.

Dekorasi dalaman kedai tersebut mengetengahkan konsep Inggeris moden yang nyata menyerlah.

Pilihan warna merah, hitam, putih dan perak menjadikan konsep hiasan nampak urban dan kontemporari. Ramai yang kurang berani bermain dengan warna-warna ini kerana takut ruang menjadi lebih kecil. Namun, dengan susunan yang bijak, ruang lebih nampak kemas dan teratur. Warna urban ini lebih digemari kerana ia menunjukkan kematangan dan keberanian pemilik.

Uniknya, Zul Mohd. yang berusia 32 tahun itu gemar memilih hiasan bunga segar.

Kebetulan, The Persada merupakan syarikat gubahan bunga khususnya bunga segar dan pelamin pengantin.

Baginya, bunga segar lebih cantik dan mempunyai nilai dalam hiasan dalaman. Warna merah seperti mawar menjadi penyeri utama bahagian depan premis. Seperti mengalukan tetamu yang datang, setiap mata pasti tertarik dengan gubahan tersebut.

Selain itu, Zul Mohd. bijak memilih hiasan lampu yang mempunyai reka bentuk. Bentuk antik seperti susunan lampu kecil bertingkat menjadi tarikan ruang utama. Di sudut yang lain, kita akan melihat lampu gantung berbentuk bulat besar. Rekaan lampu ini sesuai dengan pilihan dekorasi Zul Mohd. yang inginkan suasana nampak lebih moden. Ketika menuju ke bahagian laluan belakang kedai, hiasan seakan pokok mati menjadi pilihan Zul Mohd. Walaupun nampak suram, ia sebenarnya nilai yang unik dalam seni hiasan. Ia juga nampak sesuai untuk latar belakang yang kosong seperti putih

Bagi Zul Mohd., aura warna ada peranan tersendiri untuk menyerlahkan gubahan. Oleh kerana gaya Inggeris tidak lari daripada warna putih atau lembut, tidak salah memberi definisi baru seperti merah, hitam atau apa saja serlahan yang agak garang supaya hiasan itu tidak nampak terlalu suram.

Di bahagian depan, terdapat susunan pelamin contoh. Pilihan warna perak menjadi keutamaan konsep kontemporari.

Lebih menarik pelamin tersebut lebih tampak eksklusif dan mewah.

Bagi menjimatkan ruang, pejabat terletak di bahagian belakang. Pemisah bahagian atau sudut menggunakan tali halus yang panjang nampak menarik. Tidak perlu memasang dinding yang akan menggunakan kos yang tinggi, ia dilihat lebih moden dan menarik.

Corak pada dinding juga menarik dengan corak ringkas di samping bingkai gambar di ruang pejabat. Selesa menguruskan urusan perniagaan sendiri, Zul Mohd. ingin menaikkan nama The Persada hingga ke peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: