KOTA BHARU - Selepas pengguna di negeri ini selesai daripada menghadapi masalah gula, kini para peruncit pula mengadu menerima tekanan daripada pemborong.
Menurut mereka, jika kelmarin Kosmo! melaporkan pengguna di Seremban dikenakan syarat berbelanja RM100 untuk melayakkan mereka mendapatkan gula, kini peruncit pula dikenakan syarat yang hampir sama.
Seorang pemilik kedai runcit, Mohd. Dania Ismail, 35, berkata, dia 'dipaksa' memborong barangan lain terlebih dahulu seperti gandum dan minyak masak sebelum dibekalkan dengan gula.
"Jika saya tidak mengambil bekalan gandum, bekalan gula yang diminta tidak akan dihantar walaupun mereka mempunyai stok yang mencukupi untuk diagihkan kepada peruncit.
"Saya hanya mahu bekalan gula tetapi mereka mengenakan syarat sedemikian walaupun bekalan gandum dan minyak masih banyak di kedai saya dan ini merugikan dari segi pusingan modal," katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, akibat tekanan itu, dia kini terpaksa menyimpan stok gandum melebihi kadar biasa sedangkan permintaan untuk barangan tersebut tidak banyak.
"Setakat ini saya hanya dapat bekalan gula sebanyak 72 kilogram seminggu untuk dijual sedangkan saya mampu menjual 120 kilogram gula untuk tempoh tersebut," ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Zulkefli Mohamed, 42, memberitahu, dia terpaksa membeli sejumlah minyak masak sebelum dibenarkan untuk mendapatkan gula daripada pemborong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: