JOHOR BAHRU - Jangkaan awal tumpahan minyak akibat kes pelanggaran kapal MV Waily dengan kapal tangki MT Bunga Kelana 3, Selasa lalu tidak akan memasuki perairan negara ternyata meleset.
Semalam, pihak berkuasa sudah mengesan tumpahan minyak merebak dan memasuki perairan negara di Tanjung Ayam, Pengerang.
Ia disahkan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Zulkifli Abdul Rahman dengan berkata, keluasan tumpahan minyak yang dikesan pagi semalam dianggarkan sepanjang 1.6 kilometer dan selebar 960 meter di kedudukan kira-kira satu kilometer dari pantai Tanjung Ayam.
Serentak dengan itu, JAS giat melakukan kerja-kerja membendung pencemaran termasuk memasang boya bagi mengelakkan aliran minyak ke pantai.
"Kita akan lakukan operasi pembersihan secara berterusan dengan bantuan Jabatan Laut Wilayah Selatan.
"Anggota kita juga akan ditempatkan di kawasan tersebut bagi memantau perkembangan," katanya ketika dihubungi semalam.
Zulkifli berkata, pihaknya turut menasihatkan orang ramai terutama nelayan agar menghentikan kerja menangkap ikan di kawasan tersebut untuk sementara waktu.
Dalam kejadian pukul 6 pagi Selasa lalu, kapal MV Waily yang berdaftar di Saint Vincent & The Grenadines di Kepulauan Carribean dan dalam pelayaran ke Hong Kong bertembung dengan kapal Bunga Kelana 3 dari Pelabuhan Klang yang membawa 61,858 tan metrik minyak mentah.
Kejadian berlaku empat batu nautika dari barat daya Tanjung Setapa, Pengerang dan kira-kira 3.7 batu nautika dari perairan Singapura.
Sementara itu di Singapura, pihak berkuasa republik tersebut juga bertindak segera membersihkan tumpahan minyak yang hanyut ke arah pantai timur laut yang bakal sesak dengan pengunjung sempena musim cuti sekolah selama sebulan bermula hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: