NEW YORK - Permainan Quidditch yang ditonjolkan dalam filem ahli sihir remaja, Harry Potter kini popular di Amerika Syarikat (AS) termasuk lebih 400 universiti di negara itu termasuk tiga institusi ternama iaitu Harvard, Princeton dan Yale, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun tidak dapat terbang seperti pemain Quidditch dalam filem Harry Potter, peraturan asal permainan itu diguna pakai dengan setiap pemain perlu memakai jubah dan berlari mengejar bola sambil meletakkan penyapu di celah kangkang mereka seperti seorang ahli sihir.
"Permainan ini pada mulanya dimainkan bagi mengisi masa lapang di asrama-asrama sebelum ia popular sehingga ke peringkat kebangsaan," kata seorang ahli suruhanjaya permainan tersebut, Alex Benepe.
Permainan Quidditch yang mempunyai persamaan dengan sukan bola baling dan dodge ball memerlukan pemain mengejar bola yang dipanggil quaffle dan menjaringkan gol.
Setiap pasukan Quidditch mempunyai tujuh pemain dan setiap pemain tidak boleh tercicir penyapu mereka manakala pemain yang melanggar peraturan akan dikenakan kad kuning atau merah sebagai denda.
Sebanyak 10 mata akan diberikan setiap kali seseorang pemain berjaya melontar bola melalui salah satu daripada tiga gelung atau gol dengan pasukan yang memperoleh mata tertinggi dikira sebagai pemenang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: