|
|
MUMBAI - Seorang lelaki warga Pakistan yang merupakan satu-satunya penyerang yang terselamat dalam serangan pengganas di Mumbai pada tahun 2008 didapati bersalah di sebuah mahkamah berhubung tuduhan membunuh dan melancarkan perang ke atas India.
Lelaki itu, Mohammed Ajmal Amir Kasab berusia 22 tahun didapati bersalah terhadap hampir semua 86 tuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Insiden pengepungan tiga buah hotel mewah, sebuah restoran, pusat Yahudi dan stesen utama kereta api Terminal Chatrapathi Sivaji selama 60 jam itu telah meragut 166 nyawa pada 2008.
Hakim M.L. Tahaliyani turut menyatakan Mohammed telah dilatih di Pakistan untuk memerangi India, bertanggungjawab secara langsung atau bersama dengan sembilan lagi penyerang bagi membunuh 52 orang di stesen kereta api terbabit.
Memakai baju tradisional Punjab berwarna putih, Mohammed berdiri di dalam kandang pesalah di mahkamah penjara khas ketika hakim membacakan ringkasan keputusan sepanjang 1,522 muka surat dalam bahasa Inggeris.
Satu perbicaraan untuk menentukan hukuman ke atas Mohammed diadakan pada hari ini. Dia kemungkinan berdepan hukuman mati.
Sementara itu, dua orang lagi warga India iaitu Fahim Ansari dan Sabauddin Ahmed yang dituduh menyediakan sokongan logistik kepada penyerang didapati tidak bersalah.
Keputusan terhadap Mohammed telah dijangka selepas pihak pendakwa menyerahkan bukti-bukti termasuk cap jari dan rakaman kamera keselamatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: