Wednesday, May 5, 2010

Pemilik kelab bogel mati ditembak


SEBUAH van mayat diletakkan di luar rumah Lolly Jackson di Johannesburg kelmarin.


JOHANNESBURG - Seorang pemilik rangkaian kelab tarian bogel terkenal di Afrika Selatan, Lolly Jackson mati ditembak di sini lewat kelmarin manakala polis sedang memburu penembaknya yang melarikan diri selepas membuat laporan mengenai jenayah berkenaan.

Jurucakap polis, Eugene Opperman semalam menyatakan, Jackson yang menggelar dirinya sebagai Raja Keseronokan dalam buku autobiografinya dibunuh di kediaman penembak tersebut.

"Motif pembunuhan masih belum diketahui. Seorang lelaki menelefon polis dan mengaku bertanggungjawab menembak Jackson dan dia dipercayai melarikan diri dengan menggunakan kereta mangsa," katanya.

Pembunuhan pemilik rangkaian kelab tarian bogel Teazers itu berlaku 37 hari sebelum pertandingan bola sepak Piala Dunia berlangsung di Afrika Selatan.

Afrika Selatan merupakan negara yang memiliki kadar jenayah antara tertinggi di dunia dengan purata 50 kes pembunuhan dalam sehari.

Dua tahun lalu, Jackson dibebaskan berhubung dakwaan menipu dan melanggar undang-undang imigresen manakala pada tahun lalu, dia mengaku bersalah kerana menyerang seorang bekas pekerjanya.

Pada April lepas, dia dihadapkan ke mahkamah kerana memeras ugut, menculik dan melakukan serangan.

Kes berkenaan mempunyai kaitan pergaduhannya dengan seorang bekas penari bogel wanita di kelab Teazers.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: