Wednesday, May 5, 2010

Baju Merah terima pelan damai


SEJUMLAH penunjuk perasaan antikerajaan bersorak kegembiraan pada satu perhimpunan di Bangkok semalam.


BANGKOK - Penunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah semalam bersetuju untuk turut serta dalam proses pelan damai yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva.

Namun, mereka tetap akan meneruskan protes besar-besaran di Bangkok dan mendesak Abhisit menyatakan dengan jelas tarikh Parlimen akan dibubarkan dan pasukan tentera dikeluarkan dari kawasan perhimpunan.

"Kami mengalu-alukan pelan damai itu demi mengelakkan sebarang insiden yang boleh meragut nyawa," kata salah seorang pemimpin Baju Merah, Veera Musikapong.

Kelmarin, dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Abhisit memberitahu kesediaan kerajaan untuk mengadakan pilihan raya pada 14 November depan jika semua pihak menerima pelan damainya.

Namun, kumpulan Baju Merah berpendapat Suruhanjaya Pilihan Raya wajar menetapkan tarikh pilihan raya.

Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang disokong kuat oleh kumpulan Baju Merah berkata: "Rundingan damai bagus untuk semua orang. Jangan fikir tentang masa lampau, sebaliknya lihatlah ke arah masa depan."

Thaksin yang merupakan pemimpin parti Thai Rak Thai kini menjadi pelarian kerana mengelak daripada dipenjarakan selama dua tahun di Thailand berikutan tuduhan rasuah jika beliau pulang ke Bangkok.

Sementara itu, Thaksin juga telah melantik sebuah firma undang-undang antarabangsa, Amsterdam & Peroff untuk membantu anggota-anggota pergerakan antikerajaan yang berdepan dengan masalah undang-undang.

Waran tangkap telah dikeluarkan untuk menangkap kebanyakan pemimpin penentang kerajaan yang dikenali sebagai Baju Merah itu kerana mereka tidak mematuhi arahan pihak berkuasa supaya jangan mengadakan perhimpunan semasa undang-undang darurat dikuatkuasakan.

Tunjuk perasaan yang melumpuhkan kawasan komersial Bangkok selama hampir dua bulan itu telah meragut 27 nyawa, mencederakan lebih 1,000 orang dan mengakibatkan Thailand mengalami kerugian berjuta-juta dolar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: