Dari kiri: Ketua Pegawai Komersial Oman Air, Barry Brown; Ketua Pegawai Perhubungan Korporat, Philippe Georgoiu dan Pengurus Jualan Kawasan, Kathleen Leong.OMAN Air, syarikat penerbangan Kesultanan Oman, akan menawarkan khidmat penerbangan empat kali seminggu dari Muscat ke Kuala Lumpur, sekaligus merapatkan hubungan antara kedua-dua negara. Malaysia ialah destinasinya yang ke-33.
Ketua Pegawai Eksekutif Oman Air, Peter Hill berkata, Malaysia ialah destinasi yang sememangnya dinantikan dan meramalkan negara ini akan membawa manfaat besar kepada pelanggan Oman.
"Lebih menarik lagi, sebagai destinasi pelaburan terbaru di Malaysia, Oman juga mendapat tempat ke-33 dalam senarai rakan dagangan Malaysia.
"Sambungan penerbangan langsung ini akan menyaksikan Oman Air memainkan peranan penting untuk meningkatkan permintaan bagi segala-galanya mengenai Malaysia di kalangan penduduk Oman," katanya dalam satu kenyataan.
Oman Air ialah syarikat penerbangan bagi Kesultanan Oman. Diasaskan pada 1993, syarikat penerbangan ini telah mencapai pertumbuhan pesat dan memainkan peranan penting untuk menjadikan Muscat satu titik tumpuan penting di Timur Tengah, sambil menyokong sektor komersil, perindustrian dan pelancongannya.

Hill memberitahu, penerbangan Oman Air itu mampu membantu pelawat dari Malaysia untuk meneroka destinasi pelancongan dan riadah unik.
Beliau berkata, tinjauan Ekonomi Oman pada suku ketiga 2009 menunjukkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kesultanan itu meningkat 17.3 peratus iaitu kadar pertumbuhan tertinggi berbanding suku kedua 2009.
Dalam sektor pelancongan, katanya, laporan itu memaparkan bahawa hotel dan restoran di Oman mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan tinggi pada suku ke-3 2009 berbanding suku pertama dan kedua tahun lalu.
"Ini sekali gus memberikan petanda pertumbuhan positif bagi sektor pelancongan menjelang 2010. Masyarakat perniagaan Malaysia seharusnya menggiatkan usaha dan mengambil kesempatan daripada peluang pelaburan hebat yang dibawakan oleh Oman Air menerusi khidmat penerbangan langsungnya.
"Dengan peranan yang dimainkan oleh Oman Air, sememangnya ada potensi untuk meningkatkan kerjasama perniagaan antara Malaysia dan negara Teluk,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Jualan Kawasan, Kathleen Leong berkata, faktor negara Islam ialah satu lagi daya tarikan yang digabungkan pula dengan suasana politik stabil kedua-dua negara, menjadikan pengembaraan antara Oman dan Malaysia satu pengalaman menarik.
Pelancong sentiasa mahu mengunjungi destinasi yang belum diterokai, justeru rantau Timur Tengah dan juga Asia Tenggara menjadi daya tarikan utama.
Malaysia dan Oman sedar bahawa penerbangan langsung antara kedua-dua negara banyak manfaatnya dan perkembangan ekonomi kedua-dua negara menjadikan ini satu langkah strategik yang bijak.
Rakyat Malaysia yang mengerjakan Haji atau Umrah boleh singgah di Muscat sementara penduduk Oman boleh menikmati pengalaman beli-belah dan riadah yang ditawarkan oleh Malaysia.
Beliau mengulas lanjut: “Oman juga destinasi pelancongan yang masih belum dikenali oleh ramai penduduk Malaysia. Daripada pusaka turun-temurun warisan di istana silam kepada keindahan dan kehijauan khazanah alam, baik anda mahu mengembara dalam kemewahan, atau anda sukakan pengalaman semula jadi atau memilih sukan kembara, Oman memenuhi cita rasa dan keperluan anda.”
Hakikatnya ramai pengembara sudah pun mengenali dan mengiktiraf syarikat penerbangan hebat ini sehingga Oman Air telah dicalonkan dalam kategori ‘Syarikat Penerbangan Timur Tengah’ utama dalam Anugerah Kembara Dunia 2010.
Memandangkan lebih daripada seribu syarikat lain berusaha memperolehi anugerah yang berharga ini, pencalonan itu sendiri satu penghormatan.
Sementara itu, Oman Air akan terus melancarkan laluan baru, perkhidmatan dalam penerbangan baru dan teknologi serba maju untuk menambah nilai kepada pengalaman kembara dengan Oman Air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: