Wednesday, May 26, 2010

Dua Beradik Kongsi Kegembiraan Di Konvo UiTM

Dua beradik cemerlang, Ummu Aiman Shaik Rodhi, 24, (kanan) dan adiknya Syibrah An Nabihah, 22, melihat Ijazah dan Diploma mereka.

SHAH ALAM: Dua beradik yang sering naik pentas pada hari kecemerlangan sekolah mereka, hari ini mencipta kenangan yang sama apabila kedua-duanya menerima Ijazah dan Diploma sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-72 di sini.

Ummu Aiman Shaik Rodhi, 24, dan adiknya Syibrah An Nabihah, 22, berkongsi kegembiraan itu apabila masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media (Pengiklanan) dan Diploma Seni Halus.

"Seronok dan sebak bercampur kerana susah payah kami berdua sejak sekolah rendah berbaloi dan hari ini kami sama-sama lagi melangkah ke pentas yang sama," kata Ummu Aiman yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.36.

Beliau berkata kegembiraan itu turut dikongsi dengan ibu dan bapanya yang datang dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang, pada hari ini bagi menyaksikan kejayaan beliau dan adiknya.

Ummu aiman berkata ibunya sentiasa menjadi orang tengah dan pendorong kepada mereka berdua sepanjang cabaran pengajian di UiTM memandangkan beliau ditempatkan di kampus Shah Alam di sini manakala adiknya di kampus Sri Iskandar, Perak.

"Kadang-kadang saya kena beralah sebab lokasi saya lebih jauh di sini berbanding adik, lagipun diakan adik," katanya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Syibrah yang mendapat CGPA 3.38 berkata kakaknya itu merupakan mentor kerana sering menjadi penyokong utama dalam berdepan dengan cabaran sepanjang pengajian, malah turut membantunya daripada segi kewangan.

"Kami tidak mahu bebankan ibu bapa dan sentiasa berusaha menjadi terbaik kerana sedar kami adalah contoh kepada adik-adik lain," katanya.

Kedua-dua beradik itu kini melanjutkan pengajian mereka masing-masing pada peringkat Sarjana Komunikasi Massa dan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus.

Pelakon dan Pengarah Farid Kamil Zahari, 29, diberikan ucapan tahniah dari ibunya, Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah, 55, (kanan) dan bapanya, Datuk Dr Zahari Che Dan, 58, selepas menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Kreatif (Seni Layar) di Konvokesyen UiTM ke 72 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.

Pengarah dan pelakon, Farid Kamil Zahari turut menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Seni Layar) pada istiadat konvokesyen itu.

Farid, 29, yang bakal muncul dalam filem Lagenda Budak Setan gembira kerana berjaya menghabiskan pengajiannya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata antara cabaran yang perlu dihadapinya ialah terpaksa bijak membahagikan masa antara kerjaya dan pengajian.

"Saya bertuah kerana mendapat kerjasama pensyarah dan rakan sekuliah serta keluarga," katanya.

Farid, yang pernah mengarah filem V3 Samseng Jalanan, bakal mengarahkan filem bertajuk Kongsi pada hujung bulan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: