
MENGANGKAT tokoh tersohor sebagai subjek utama lalu diolah menerusi pementasan teater bukan dianggap perkara mudah. Ditambah memaparkan biografi individu masih bernafas di muka bumi ini, ia dilihat menjadi tanggungjawab berat untuk direalisasikan.
Keputusan CTRA Production, Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Istana Budaya memunculkan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi Muzikal Tun Mahathir di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 24 September hingga 4 Oktober ini, nampaknya memberi cabaran terbesar buat mereka.
Umum mengetahui, di usia 85, suami kepada Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali itu kekal sebagai sosok hebat yang tiada bergalang. Malah, keperibadian dan semangat juang beliau yang mengharum di seluruh dunia terus membasahi bibir umum termasuk masyarakat luar.
Maka, tidak hairanlah apabila penulis skrip pementasan mengisi tema patriotisme itu, Ismail Kassan dan Rosminah Mohd. Tahir sebagai sutradara menjalankan penyelidikan terperinci selepas mendapat lampu hijau daripada Dr. Mahathir berhubung pementasan itu.
"Kelainan utama Muzikal Tun Mahathir disebabkan tokohnya masih hidup. Berbeza dengan teater lain, penghargaan diberi kepada individu-indvidu sudah meninggal dunia seperti Tuanku Abdul Rahman, Tan Sri Zainun Munsyi Sulaiman dan Tun Dr. Ismail.
"Tidak ketinggalan, teater Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan juga pernah dipentaskan untuk mengingat kembali kesukaran mereka berjuang membangunkan negara selama ini kepada masyarakat terutama generasi baru.
"Oleh itu, Ismail dan saya kena pastikan kajian dibuat dengan tepat agar tiada sebarang atmosfera yang boleh mengundang sensitiviti atau menyinggung emosi Dr. Mahathir, seluruh keluarga dan teman-teman akrab beliau. Aspek ini dititikberat oleh seluruh tenaga produksi Muzikal Tun Mahathir.
"Terus-terang, kami mengurangkan kisah tentang kejayaan yang telah beliau capai baik di dalam mahupun luar negara selama lebih dua dekad menjalankan amanah sebagai pemimpin negara. Muzikal Tun Mahathir sebaliknya lebih tertumpu kepada manusia bernama Mahathir bermula zaman kanak-kanak, remaja hingga meningkat dewasa.
"Kelainan ini diharap dapat mendekatkan para pemuja Dr. Mahathir untuk mengenali insan ini dengan lebih dekat lagi melalui fakta benar," jelas Rosminah ketika ditemui pada sidang media teater muzikal berkenaan di Istana Budaya, ibu negara baru-baru ini.
Ismail pula memberitahu, dia sukar mendapat informasi tentang kehidupan Dr. Mahathir semasa kecil dan remaja disebabkan ada orang-orang di sekeliling beliau sudah pergi mengadap Ilahi. Sedikit sebanyak, ia menyukarkan sedikit proses mengenali tokoh itu dengan lebih dekat.
"Boleh dikatakan, Muzikal Tun Mahathir adalah skrip paling susah untuk saya sudahkan. Tetapi, saya sungguh bangga kerana dapat melibatkan diri dengan projek istimewa ini," jawabnya ringkas yang cukup mengagumi Dr. Mahathir sehingga dia meletakkan foto bekas Perdana Menteri keempat Malaysia itu dalam dompetnya yang dibawa setiap masa.
![]() |
| SUHAIMI MOHD. ZAIN |
Bajet RM2 juta
Sejak memerintah negara selama 22 tahun lalu bermula 1981 hingga 2003, beliau tidak dinafikan diterjemah sebagai lelaki penakluk yang berjaya membangunkan negara dan memasyhurkan kredibiliti Malaysia pada tahap lebih tinggi. Tanpa diragui, beliau ialah wira dalam dunia serba moden ini.
Justeru, mencari pelakon benar-benar layak dengan karakter Dr. Mahathir menjadi masalah besar rumah penerbitan itu. Tidak boleh sembarangan, selain boleh berlakon, menyanyi dan menari, individu tersebut perlu fasih berbahasa Inggeris, Melayu serta bertutur dalam loghat Kedah.
Jelas penerbit Muzikal Tun Mahathir, Siti Rohayah Attan, pihaknya sudah ada senarai pelakon yang bakal memegang karakter Dr. Mahathir menerusi pementasan teater itu tidak lama lagi.
"Biarpun dalam fikiran sudah ternampak wajah yang bakal menjadi Dr. Mahathir, saya bagaimanapun tetap menjalankan uji bakat bagi mencari calon yang lebih layak dan bersesuaian dengan watak tersebut. Bahkan, saya gembira apabila ramai aktor menawarkan diri ingin terlibat dengan teater ini.
"Sejujurnya, tidak mudah menerajui karakter Dr. Mahathir. Kami mahukan pelakon yang punya wajah serius dan nakal dalam jiwa bijaksana. Teater ini tidak boleh dilakukan dalam keadaan sambil lewa kerana ia berkisar manusia cukup saya sanjungi selama ini.
"Paling pasti, saya terbitkan Muzikal Tun Mahathir atas penglahiran cinta terhadap beliau," ungkapnya yang masih menyimpan surat balasan kebenaran pembikinan pementasan teater muzikal berkenaan daripada Dr. Mahathir bertarikh 1 Disember lalu.
Teater dengan bajet RM2 juta itu bakal melibatkan seramai 80 orang pelakon secara keseluruhan manakala 20 hingga 30 buah lagu bakal melatari perjalanan teater ini. Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah pula mengetuai amanah sebagai pengarah muzik bagi menghasilkan penyatuan bunyi-bunyian dalam Muzikal Tun Mahathir.
Masih belum diketahui, sama ada uji bakat dijalankan pada 24 dan 25 April lalu di Istana Budaya menemui kesudahannya atau tidak. Untuk mengetahui gerangan yang bakal menunjangi karakter itu, jangan lupa menyaksikan Muzikal Tun Mahathir dipentaskan tidak lama lagi.
Tiket Muzikal Tun Mahathir boleh dibeli dengan harga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150 menerusi www.ticket2u.biz atau menghubungi Istana Budaya di talian 03-4026 5558.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: