Thursday, May 27, 2010

Fann Wong akan berehat jika hamil


BERMULA 27 Mei ini, Fann Wong akan menggeletek hati audiens dengan lakonan bersahaja dalam filem terbarunya, Happy Go Lucky.


MENJADI artis Asia pertama yang dipilih sebagai jurucakap kepada jenama antarabangsa, Emporio Armani, Fann Wong dilihat mempunyai potensi besar dalam industri perfileman Hollywood selepas penayangan filem lakonannya, Shanghai Knights pada tahun 2003.

Walaupun dia tidak mengembangkan kariernya di Hollywood, aktres kelahiran Singapura itu melebarkan sayap di negara China dan Taiwan. Drama seperti Moon Fairy, Dragon Eye Congee dan My Fair Lady adalah antara produk signifikan Fann.

Di Malaysia, audiens pula lebih mengingati dia dalam filem-filem seperti Just Follow Law (2007), Ah Long Pte Ltd (2008) dan The Wedding Game (2009). Karya terakhir itu memberikan kenangan manis kepada pelakon berusia 39 tahun itu.

Turut dijayakan oleh Christopher Lee, 38, yang kini merupakan suaminya, pasangan itu pernah berlakon sama sebanyak lapan kali. Cuma dalam filem The Wedding Game yang memaparkan perkahwinan mereka mengukuhkan lagi khabar angin bahawa mereka akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Bersama selama lapan tahun, Fann dan Christopher akhirnya berkahwin pada 29 September lalu. Menjadi perhatian media sebelum perkahwinan, pasangan itu juga dikejar wartawan selepas bergelar suami isteri.

Ramai yang prihatin sama ada Fann akan melahirkan anak dalam masa terdekat memandangkan usia mereka berdua tidak lagi muda. Jelitawan yang sudah aktif selama 16 tahun itu bagaimanapun mengelak daripada menjawab soalan tersebut.

Dalam satu temu bual yang diaturkan oleh RAM Entertainment untuk filem terbarunya, Happy Go Lucky, Fann memberitahu: "Mengandung? Biarlah ia datang secara natural. Benda ini tidak boleh dipaksa. Bukannya kami tidak berusaha tetapi saya tidak terdesak lagi."


FANN WONG bersama suaminya, Christopher. Kata aktres ini mereka masih menanti rezeki untuk mempunyai anak.


Ditanya mengenai keputusan yang diambil oleh aktres Hong Kong, Cecilia Cheung dalam mengorbankan kariernya yang sedang memuncak bagi melahirkan anak, Fann mempunyai pandangan tersendiri.

Baginya itu satu tindakan mulia. Namun, Fann percaya, setiap manusia perlu melakukan apa sahaja yang difikirkan betul. "Memang dia mulia kerana sanggup berkorban dan mementingkan keluarga. Tapi itu merupakan pilihan dia. Apa yang penting adalah mengikut naluri hati masing-masing.

"Saya juga tidak menafikan kemungkinan untuk berbuat sedemikian. Ini kerana saya seorang yang fokus apabila melakukan sesuatu. Jadi jika saya ingin melahirkan anak, saya juga mungkin akan berehat daripada dunia lakonan," tambah Fann yang pernah berduet dengan kumpulan British, 911.

Pernah diberi tawaran oleh pengarah berkaliber seperti Wong Kar Wai, Fann kini sedang berehat walaupun menerima banyak pelawaan filem serta drama. Bukan memilih sebarang watak, Fann menyatakan skrip yang serasi dengan pelakon itu amat penting.

"Saya selalu tidak menyatakan watak spesifik yang ingin dijayakan. Tapi apabila saya membaca skripnya, saya mesti ada perasaan istimewa terhadap ceritanya. Ia bukannya mengenai watak tetapi skripnya. Kini, pada usia serta pengalaman saya, rasanya saya mampu memegang pelbagai watak berbeza," ujarnya yang mempunyai tiga adik-beradik.

Memegang watak sebagai Fu Xin dalam Happy Go Lucky, filem itu sebenarnya dibikin khas untuk Tahun Baru Cina lalu. Jadi adakah masih relevan untuk menyaksikan filem itu di Malaysia pada 27 Mei nanti?


FANN WONG adalah wajah kesayangan rakyat Singapura. Namun dia mempunyai pemuja hampir di seluruh Asia.


"Di Singapura, filem ini ditayangkan pada Tahun Baru Cina lalu. Walaupun lambat disiarkan di Malaysia, saya rasa penonton masih akan suka kerana ia sebuah karya relaks dan komedi. Lagipun ia bukannya bercerita mengenai Tahun Baru Cina sepenuhnya.

"Plot utamanya adalah mengenai perjudian dan peranan saya adalah untuk memberi kebahagiaan kepada orang lain," ujarnya.

Diarahkan oleh Harry Yap, Happy Go Lucky mengisahkan Hock Lee Poh, yang mempercayai feng shui. Selalu tidak bernasib baik, dia tetap berjudi. Anak sulungnya, Donna yang kedekut jatuh miskin kerana suka menghabiskan wang bersosial pada waktu malam.

Fu Xin, anak keduanya dikatakan membawa sial kepada keluarganya. Namun, Fu Xin sebenarnya berjaya mengubah nasib keluarga mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: