PENUBUHAN kelab-kelab permotoran yang bertujuan menghimpunkan pemilik motosikal atau kereta merupakan satu aktiviti riadah yang sihat.
Bukan sahaja ahli-ahli dapat berkongsi pendapat atau berkongsi tip penjagaan kenderaan, malah aktiviti yang dilakukan dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara satu sama lain.
Hanya segelintir sahaja kelab-kelab seumpamanya yang menjadikan kerja-kerja amal sebagai agenda teras. Lazimnya, kelab tersebut lebih banyak melakukan aktiviti seperti berkonvoi, menyertai pertunjukan kereta atau menyertai perlumbaan.
Bagaimanapun, Kelab Myvians.com yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu mempunyai pendekatan berbeza. Aktiviti yang dilakukan tidak tertumpu kepada aspek permotoran semata-mata sebaliknya turut melibatkan aktiviti kemasyarakatan.
Baru-baru ini, ahli-ahli kelab itu bermandi peluh bergotong-royong membersihkan Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Kg. Pulau Meranti, Puchong, Selangor.
Presidennya, Muhd. Erhan Baharin berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran sivik dan menyemai sikap kerjasama di kalangan ahli.
Kasih sayang
"Kami membersihkan persekitarannya termasuk mencantas dahan pokok, mencuci lantai dan tingkap serta membuang perabot-perabot lama.
"Pada masa yang sama, setiap ahli berpeluang beramah mesra dengan golongan warga emas di sini yang dahagakan perhatian dan kasih sayang," katanya.
Ujarnya, secara keseluruhan kelab itu dianggotai lebih 300 ahli yang aktif di seluruh negara termasuk 4,000 ahli yang berdaftar di forum.
Katanya, setiap aktiviti kelab dibahagikan mengikut zon masing-masing iaitu di utara, selatan, tengah dan timur.
Muhd. Erhan memberitahu, antara aktiviti rutin yang diadakan sebelum ini adalah perjumpaan di kalangan ahli, mengadakan aktiviti konvoi, sambutan hari keluarga dan sukaneka serta meraikan sambutan hari lahir.
"Biarpun kami menyusun aktiviti untuk ahli-ahli kelab, golongan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim tidak dilupakan.
"Pada Ramadan tahun 2008 misalnya, kami membawa sekumpulan kanak-kanak dari Rumah Anak-Anak Yatim Baitul Raudah, Rawang, Selangor melawat pameran Petrosains di Menara Berkembar Kuala Lumpur. Ia dianjurkan sempena meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa.
"Tahun lalu kami mengadakan kerjasama dengan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) melakukan kerja-kerja amal di Pusat Dalam Komuniti di Kemaman, Terengganu," jelasnya yang merancang lebih banyak aktiviti sedemikian pada masa hadapan.
Seorang peserta, Mohd. Fuad Abdullah Bada, 22, berkata walaupun baru dua bulan menyertai kelab itu dia gembira kerana dapat berbakti dan menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.
Menghargai kehidupan
"Secara tidak langsung aktiviti yang diadakan dapat menghindarkan ahli-ahli daripada melakukan kerja-kerja tidak berfaedah seperti melepak, penagihan dadah dan gejala sosial yang lain.
"Di samping itu, peluang bertemu warga emas yang ditempatkan di sini juga menerbitkan keinsafan di dalam diri kami untuk menghargai kehidupan dan menyayangi ibu bapa," katanya.
Rakannya, Mohd. Azizul Hashim, 30, berkata dia pernah mempunyai pengalaman menyertai kelab kereta ketika memiliki kereta Proton Satria beberapa tahun lalu.
Tambahnya, aktiviti yang diadakan kelabnya ketika itu lebih tertumpu pada konsep modifikasi kenderaan. Bagaimanapun, faktor peningkatan usia menyebabkannya mengundur diri.
|
|
"Selepas membeli Perodua Myvi kira-kira dua tahun yang lalu, saya mula mengenali kelab ini dan menyertainya.
"Ternyata, banyak pengalaman baru yang diperolehi melalui kelab ini seperti terlibat dalam kerja-kerja amal. Pada masa yang sama, kami juga dapat bertukar-tukar pandangan mengenai kereta termasuk tip-tip penyelenggaraan dan membaiki kereta," ujarnya yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa.
Sementara itu, pengasas rumah berkenaan, Muji Sulaiman, 50, berkata penghuni rumah itu terdiri daripada warga emas yang hidup sendirian atau yang dihantar oleh keluarga mereka bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan.
"Ada di antara mereka ini kesunyian dan rindukan keluarga. Kehadiran pelawat ke sini setidak-tidaknya dapat menceriakan suasana dan mampu mengubat kerinduan yang sekian lama tersemat di hati mereka.
"Di samping itu, pengalaman-pengalaman yang dikongsikan oleh para penghuni di sini dapat memberi kesedaran kepada generasi muda ini tentang hari tua yang bakal dilalui nanti," katanya yang merupakan seorang jururawat dan pengusaha katering.
Ujarnya, rumah yang diasaskan pada 2003 itu masih memerlukan bantuan orang ramai dan sektor korporat bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan lancar.
"Kami sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menghulurkan bantuan tidak kira dalam bentuk apa sekali pun bagi memastikan keselesaan para penghuni di sini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: