Sunday, May 9, 2010

Masakan Cina halal di Redwok


Awang Hasyim (lima dari kiri) bersama Natasha dan Muhammad Oon diapit pekerja mereka.


PENGGEMAR masakan Cina dari kalangan penganut agama Islam kini mempunyai satu lagi pilihan untuk menikmati hidangan kegemaran mereka.

Pembukaan Restoran Redwok di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi sejak dua bulan lalu itu pastinya menjadi lokasi buruan mereka selepas ini.

Dengan ruang yang lebih luas dan berkonsep terbuka, menikmati hidangan di sini menjadi lebih selesa ditambah lagi dengan kepelbagaian hidangan termasuk bufet steamboat istimewa.

Jamu selera tanpa ragu, itu jaminan yang diberi pemilik bersama restoran, Muhammad Oon Seng Choy, Awang Hasyim Abdullah dan Natasha Abdul Rahim.

Kata mereka, proses mendapatkan pengiktirafan halal daripada Jakim sedang melalui fasa terakhir.

Dari segi rasa, pemilik restoran itu juga tidak mahu berkompromi. Setiap hidangan dipastikan mengikut selera masyarakat Cina yang sememangnya cerewet dengan rasa masakan mereka. Namun begitu, penggunaan ramuan hanya daripada sumber halal.

“Deria rasa orang Cina sangat sensitif. Jika sedikit sudah tidak menepati, mereka tidak akan datang walaupun harganya murah,” demikian ujar Muhammad.

Kata-katanya itu boleh dipercayai. Sepanjang penulis berada di restoran berkenaan, kebanyakan pelanggan mereka Orang Cina.

Menjamu selera di Redwok pastinya membuat mata rambang untuk memilih menu yang tersedia. Selain kuisin Cina, beberapa hidangan Thai turut disediakan.

Andai berkunjung di sebelah malam, barisan bufet steamboat yang panjang membuatkan sesiapa saja tergoda. Berharga hanya RM22++ untuk steamboat biasa, lebih 100 pilihan disediakan termasuk pelbagai jenis mi dan nasi goreng.

Mahukan lebih istimewa, Korean steamboat dengan tambahan hidangan barbeku hanya berharga RM28++. Tiga jenis sup disediakan; ayam, tomyam dan herba, sungguh enak tatkala dicecah dengan dua jenis sos istimewa.

Restoran Redwok dibuka dari Isnin hingga Khamis bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang dan 6 petang hingga 12 malam. Hari Jumaat dari pukul 6 petang hingga 12 malam manakala Sabtu dan Ahad dari 12 tengah hari hingga 12 malam.

Mampu menampung hingga 300 pengunjung, pastinya Redwok menjadi destinasi menjamu selera pilihan anda hujung minggu ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: