Sunday, May 9, 2010

Ruang inspirasi Norjuma


RUANG bacaan dan aktiviti anak-anak Norjuma.


BANGLO putih itu kelihatan sangat tenang dari luar. Setenang tona yang dipilih, ia cukup mendamaikan. Tambahan lagi dikelilingi pepohon menghijau, bunga-bungaan beraneka warna dan kehadiran burung-burung yang berlagu riang, memecah suasana.

Terletak di kawasan elit ibu kota, kesibukan metropolitan yang tiada kesudahan tidak memberi kesan terhadap keharmonian di situ. Biar dikelilingi pencakar langit dan pelbagai struktur binaan megah, kawasan kejiranan itu tetap damai dan pastinya ramai memasang impian mendiami lokasi tersebut.

Ketika penulis dan jurugambar sampai, salah seorang penghuni banglo putih itu, bekas wartawan dan pengacara televisyen terkenal, Datin Norjuma Habib Mohamed keluar sebentar menyelesaikan tugas-tugasnya.

Itulah dunia baru yang sedang ditempuhi beliau. Menurutnya, untuk kembali kepada dunia penyiaran adalah sesuatu yang mustahil.

"Minat saya kepada dunia penyiaran dan kewartawanan tidak pernah luput. Namun saya tidak mahu menjadi seorang yang tamak. Keutamaan kini pada suami dan anak-anak," katanya.

Justeru tidak betah duduk bergoyang kaki, beliau menubuhkan syarikat The Prestigious Avenue yang menawarkan khidmat berkaitan cenderamata korporat, promosi, pengiklanan dan pengurusan majlis. Pastinya urusan harian kini bukan sahaja tertumpu kepada keluarga.

Ikatan keluarga

Penulis dijemput masuk oleh pembantu rumah. Sambil menanti kepulangan ibu muda beranak dua itu pulang, secawan teh dan segelas air kosong bersama beberapa potong kek lapis menjadi hidangan.

Berada di dalam banglo dua tingkat yang mana penghuni utamanya adalah isteri bekas Perdana Menteri kedua negara, Tun Rahah Mohd. Noah, ketenangan yang sama masih menyelinap di setiap penjuru.

Dari pintu masuk utama, ruang tamu, ruang makan dan ruang rehat, jelas kelihatan fungsi kediaman itu.

Ruang untuk keluarga, demikian ungkapan paling sesuai menggambarkan banglo yang didiami oleh keluarga kenamaan itu sejak akhir 1970-an lagi.

Sambil menanti, penulis mengambil kesempatan membelek foto-foto keluarga besar yang siap dibingkai dan disusun rapi.

Melihat kepada foto di setiap sudut, jelas membuktikan betapa pemilik rumah sangat mementingkan nilai kekeluargaan.

Antara yang menarik, foto Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika kecil bersama adik-adiknya.

Di satu sudut, seorang kanak-kanak kecil ditemani guru dan pembantu sedang belajar melukis. Itulah, Muhamad Aqil Razak Mohamed Nazim. Baru berusia tiga tahun, anak sulung Norjuma dan suami, Datuk Mohamed Nazim Tun Razak itu sangat bijak berbicara. Tak ubah seperti ibunya.

Tidak terlalu lama menanti, orang yang ditunggu pulang dengan senyum yang tak pernah lekang di bibir.

Sambil meminta maaf atas kelewatan, beliau membawa penulis dan jurugambar melawat ke hampir keseluruhan ruang bawah.

Asalnya menurut Norjuma, rumah ini tidaklah seluas sekarang. Ia hanya sebuah banglo lama dengan kediaman pembantu terletak di bahagian belakang. Namun, sejajar dengan pertambahan ahli keluarga ia dibesarkan sedikit demi sedikit.

Menurut beliau lagi, pemilihan dan susun atur ruang serta perabot merupakan cita rasa ibu mertuanya.

Sederhana

Ruang tamu kediaman itu terbahagi dua. Satu ruang asal dan satu lagi ruang baru yang lebih luas. Sofa empuk penuh gaya dan hamparan permaidani besar menyerlahkan lagi suasana. Tatkala chandelier dipasang, seluruh ruang kelihatan sangat hidup.

Dari jendela kaca, kelihatan ruang beristirehat keluarga yang terletak di luar kediaman menghadap pokok-pokok besar menghijau.

Melihat kepada hiasan rumah, jelas menggambarkan peribadi Tun Rahah yang sangat sederhana namun mempunyai cita rasa tersendiri.

Hiasan-hiasan kecil tidak terlalu sarat, susun atur yang kemas menjadikan ia tidak serabut dan menyakitkan mata.

Ruang makan juga mempunyai dua bahagian. Ruang makan utama untuk ahli keluarga menjamu selera. Ruang makan tambahan digunakan andai seluruh keluarga besar datang berhimpun.

Potret besar Tun Rahah berdekatan meja makan mencuri perhatian. Di antara ruang makan dan ruang tamu, pintu gelongsor dipasang. Selain itu, potret besar Tun Rahah bersama Allahyarham Tun Abdul Razak turut digantung pada dinding bahagian tangga menuju ke ruang atas.

Norjuma membawa penulis melawat ke ruang keluarga bahagian dalam yang lebih privasi.

Di satu sudut tersusun pelbagai jenis buku dan permainan dua buah hati kesayangannya, Aqil dan Muhammad Arif Razak, 1 tahun. Di situ jugalah terletak bilik tidur kedua-dua puteranya. Tidak jauh dari sudut itu terletak bilik ibu mertuanya.

Kata Norjuma, biliknya terletak di bahagian atas. Kini terdapat sembilan ahli keluarga mendiami banglo ini termasuk keluarga abang iparnya.

Mungkin ada yang bertanya, "Selesakah tinggal bersama ibu mertua dan ipar duai?"

Jawab wanita petah berbicara ini, "Ibu mertua saya bukan orang yang cerewet. Asal pandai membawa diri dan menghormati antara satu sama lain, ia tidak menjadi masalah," ujarnya.

Tambah beliau lagi, suaminya pernah belajar bertahun-tahun di luar negara. Dan kini tiba masanya untuk mereka tinggal bersama bagi menjaga dan menggembirakan hati wanita yang sangat berjasa itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: