Sunday, May 9, 2010

Mas warisi bakat seni




MESRA disapa Mas, gadis berusia 24 tahun itu sedang mencari rentak untuk bergelar pereka fesyen terkenal.

Pemegang Diploma Rekaan Fesyen dari Universiti Lim Kok Wing itu kini menjalani latihan praktikal di bawah bimbingan pereka fesyen tradisional tersohor, Salikin Sidek.

Berbicara mengenai fesyen, Mas percaya bakatnya diwarisi daripada nendanya seorang penenun songket tradisional di Terengganu yang masih mengekalkan keaslian hasil kerja tangan.

"Nenek saya menenun songket secara kecil-kecilan. Namun, kerja tangannya sangat berkualiti dan sering mendapat tempahan orang kenamaan. Sementara ibu saudara pula seorang pengukir barangan tembaga dan perak," ujarnya.

Lebih cenderung kepada rekaan fesyen moden, namun peluang mendapat tunjuk ajar Salikin tidak disia-siakan.

Bagi Mas, pereka tersebut seorang yang kreatif, berwawasan dan sangat profesional dalam kerjayanya.

"Beliau seorang sifu yang bagus. Banyak perkara saya belajar daripada beliau termasuk pengurusan butik, bagaimana berinteraksi dengan pelanggan, menghasilkan rekaan yang kreatif dan banyak lagi," ujar gadis berasal dari Felda Lepar Hilir, Pahang ini.

Bercita-cita meneruskan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Teknologi Mara, Mas berkata dia ingin menikmati pengalaman dan suasana baru di situ.

Pernah menyandang gelaran Gadis Dara.com (majalah terbitan Karangkraf) tahun lalu memberi pengalaman tidak ternilai buat Mas.

"Dulu saya hanya melakukan kerja-kerja belakang tabir seperti menyiapkan pakaian untuk model lain. Tak sangka kini saya pula berpeluang menyarungkan sendiri pakaian yang direka," katanya.

Memenuhi tuntutan artikel yang ditaja oleh haruman One Drop Perfume, Mas turut mendapat sekotak set Women No.2 dalam bungkusan baru.

Sebagai pengguna setia haruman ini, dia berpendapat bungkusannya menarik dan hanya setitik mampu bertahan sepanjang hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: