Sunday, May 9, 2010

Hari Ibu eratkan kasih sayang




Jelita, anggun dan sederhana membuatkan sesiapa yang mendekati dua wanita bekerjaya dan kenamaan ini mudah mesra dan tenang. Kedua-dua wanita itu kelihatan langsing dan cantik walaupun mempunyai anak yang sudah meningkat dewasa. Biarpun sibuk dengan urusan harian wanita yang sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan luar dan dalam itu sentiasa menjadikan hubungan kekeluargaan sebagai keutamaan.

Datin Adib Yasmin Aman dan Sofiah Rahman masing-masing mempunyai rahsia tersendiri bagaimana mendidik anak-anak mereka. Sempena Hari Ibu, produk penjagaan diri dan kecantikan antarabangsa, Bioxil mengaturkan temu bual bersama dua wanita istimewa itu di pusat beli-belah KLCC baru-baru ini.

Selain berkongsi rahsia kecantikan, mereka tidak keberatan berkongsi pengalaman bersama anak-anak.

Rindu. Itulah ungkapan ringkas Pengurus Butik Chopard, Suria KLCC, Adib Yasmin. Perpisahan sementara antara dia dan anaknya, Sharifah Shaheera Shahab sedikit sebanyak membuatkan perasaannya sedikit tidak tenang. Anaknya yang kini melanjutkan pelajaran ke luar negara merupakan teman setianya untuk berkongsi suka dan duka.

"Kami menghabiskan masa bersama ketika menyambut hari jadinya yang ke-21 pada September lalu. Itulah kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Walaupun dia akan balik bercuti nanti, kerinduan tetap ada. Kami sangat rapat, dia akan bercerita apa sahaja dengan saya," katanya yang mempunyai minat yang sama dengan Sharifah Shaheera.

Bertubuh langsing tetapi sebenarnya ibu dan anak ini gemar makan. Kenangan makan bersama antara saat yang dirindui Adib Yasmin. Selain itu mereka gemar melancong, menjelajah dan bermain tenis.

Mengambil keputusan yang lama untuk bekerja, Adib Yasmin lebih mengutamakan anaknya. Selepas Sharifah Shaheera berusia 12 tahun, barulah wanita ini bekerja semula. Baginya, melihat anak membesar di depan mata amat penting. Segala didikan amat penting sejak kecil lagi untuk membina minda remaja yang baik. Walaupun hidup pada zaman yang serba moden, Adib Yasmin sentiasa mengajar anaknya tentang pentingnya berpegang pada agama dan adat ketimuran. Sebagai orang Melayu, Adib Yasmin berpendapat itulah kunci kejayaan hidup.

Ditanya tentang rahsia kecantikannya, Adib Yasmin memberitahu, penjagaan kulit amat penting. Dia yang menjadi model semasa muda terdedah kepada pelbagai jenama kecantikan. Justeru itu, dia lebih berhati-hati dalam soalan pemilihan produk. Menggunakan Bioxil selama hampir dua tahun, Adib Yasmin selesa dengan jenama itu. Selain produk kecantikan, produk anti oksida seperti Cherrywell keluaran Bioxil menjadi pilihan beliau.

"Apa yang paling utama, kita perlu membersihkan wajah sebelum tidur. Selain penyegar, pelembap wajah, saya gemar memakai losen badan. Untuk Bioxil, saya gemarkan anti penuaan khususnya untuk bahagian leher," jelasnya yang tidak dapat melupakan saat mengandungkan anaknya sembilan bulan dan berada di bilik bersalin selama 17 jam.

Petua tersebut turut diperturunkan kepada anak perempuannya. Dari segi aspek kecantikan, Adib Yasmin lebih gemar melihat anaknya menggunakan produk yang ringkas untuk wajah.

Sementara itu, Pengurus Besar Harrods, Sofiah Rahman, telah menggunakan Bioxil dua tahun yang lalu. Menggemari rangkaian asas penjagaan wajah Bioxil, Sofiah menyarankan anaknya menggunakan pelembap setiap hari. Namun, pada usia 19 tahun, Sofiah berpendapat kulit anaknya masih muda dan perlu dijaga secara ringkas dan asas sahaja. Sofiah turut membersihkan wajahnya sebelum tidur walaupun tidak mengenakan solekan pada hari berkenaan. Mengakui kesibukan menguruskan keluarga dan kerja, Sofiah tidak mempunyai masa bersenam. Namun, ibu kepada dua orang anaknya berharap suatu hari nanti, dia dapat memberi masa untuk bersenam.

Berkongsi pengalaman meraikan Hari Ibu bersama anak-anaknya, Sofiah tidak dapat melupakan saat dia menerima hadiah buatan tangan anaknya sendiri seperti kad ucapan. Sejak kecil, anak-anaknya gemar menghadiahkannya sesuatu. Sofiah melihat hasil kerja seni anak-anaknya itu satu artistik. Justeru itu, sebagai ibu, dia menghargai setiap pemberian anak-anaknya.

Mengimbas kembali kenangan Sofiah bersama ibunya, dia begitu menghargai saat itu.

"Sebagai ibu, saya amat menghargai masa bersama anak-anak. Walaupun anda hanya berpeluang bersama anak-anak dalam masa yang singkat, kualiti amat penting. Bagi wanita yang bekerja, anda tidak perlu rasa bersalah tetapi peruntukan masa dengan pengisian yang berkualiti. Jika ada masa, saya akan membeli-belah bersama mereka. Pada hujung minggu, saya akan ke taman bersama," ungkapnya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: