Wednesday, May 19, 2010

Mahu nyanyi kalau ada peluang

DIA sudah bergelar pelakon ketika usia 11 tahun lagi. Namun, kerana terbatas dengan tanggungjawab sebagai pelajar, Norhazlinda Hashim atau Linda Hashim, 25, terpaksa melupakan seketika bidang yang diminati serta alam glamor yang dikecapi ketika itu.

pix_middle



Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Linda kembali berlakon dan meneruskan legasi peninggalan arwah ibunya, Zurina Ariff apabila berlakon VCD Semarak Naga bergandingan dengan Naqiu Boboy. Ternyata ramai yang membuka mata dan langkahnya mula panjang dalam lakonan apabila tawaran demi tawaran semakin banyak diperoleh.


Bagaimanapun, di saat dirinya menjadi perhatian penerbit, gadis kecil molek ini beralih arah pula kepada bidang iklan komersial. Rezekinya juga murah apabila diberi peluang muncul dalam banyak iklan. Sudah tentu kesempatan ini tidak dilepaskan begitu saja. Nyata dirinya bertuah kerana dapat mencipta nama dalam dua bidang sekali gus.

Kata Linda, dia bersyukur kerana senang diterima kalangan penerbit drama dan tentunya ini juga berkat menumpang tuah ibunya yang sejak dahulu sering membawanya ke lokasi. Kerana itu jugalah, banyak pelajaran yang ditimba ketika bersama arwah ibunya.


"Jika diikutkan, tawaran yang datang itu sangat menarik untuk diambil, tapi saya tak pilih secara melulu kerana tengok juga sejauh mana wataknya. Paling kecil pun saya terima watak sebagai anak. Saya tak ambil watak terlalu kecil yang tak menampakkan apa-apa kesan kepada penonton.


"Namun, saya bukan cerewet kerana jika kecil sekalipun wataknya tapi jika boleh menonjolkan sesuatu, saya tetap akan terima. Saya bukan berlagak nak jaga prestij tapi itulah pesanan keluarga. Malah saya diajar sejak kecil lagi perkara itu," katanya.


Gadis yang menjangkau usia 26 tahun pada 8 September ini mengakui, publisiti dirinya agak sepi berbanding pelakon baru dunia seni. Katanya, keadaan ini kerana sikapnya yang tidak suka menampilkan diri ditambah pula kesibukan jadual penggambaran membuatkan dia terpaksa menolak undangan mengadakan sesi fotografi.


"Saya tak pandai nak tonjolkan diri kepada media. Apabila orang panggil sesi fotografi, saya tidak dapat penuhi kerana ada penggambaran di luar Kuala Lumpur. Memang tak sempat lari ke sana sini untuk penuhi undangan itu.

"Sebenarnya saya memang banyak berlakon drama episod hingga mungkin boleh digelar ratu telenovela. Agaknya sudah rezeki saya berlakon drama sebegini.


"Kebanyakan pengarah sudah kenal saya dan tahu bagaimana cara saya bekerja. Mereka senang bekerjasama dengan artis yang sudah tahu cara bekerja. Sebab itulah mereka sering ambil saya berlakon.

"Dengan artis lain, mungkin mereka susah nak berbincang dalam sesetengah perkara. Saya pula boleh dibawa berunding sebab ada pengalaman agak lama. Setiap urusan kerja pula lebih selesa dibuat sendiri tanpa menggunakan khidmat pengurus.

"Saya masih boleh selaraskan jadual walaupun ada kalanya kelam kabut juga. Dalam sebulan, saya hanya terima dua tawaran berlakon iaitu satu untuk episod dan satu telefilem. Ini pesanan seorang pengarah kepada saya kerana tidak mahu saya keliru apabila membawakan dua tiga watak sekali gus.


"Paling dibimbangkan, mood konti lari. Mana tahu kalau-kalau mood untuk cerita lain kena emosional, tapi silap-silap boleh pula mempengaruhi mood watak dalam cerita lain pula. Namun, bergantung jugalah pada situasi. Saya tak pernah fikir saingan daripada pelakon lain dan tak cemburukan populariti yang mereka kecapi.

"Itu semua rezeki mereka. Saya pun ada rezeki sendiri. Kadangkala pengarah sendiri sengaja nak mencipta nama baru dalam dunia lakonan kerana mahu nama diingati sebagai orang yang bertanggungjawab mencungkil bakat seseorang pelakon. Saya tak kisah pun perkara itu," katanya.


Mengenai tawaran berlakon filem, kata Linda, bukan tidak ada tawaran, tetapi ditolak kerana sibuk dengan penggambaran drama selain jalan ceritanya kurang mantap. Sekiranya watak ditawarkan itu bagus, dia tidak teragak-agak menerimanya sekalipun sibuk berlakon drama.


Dalam pada itu, mungkin tidak ramai perasan Linda pernah menganggotai kumpulan Girls In Music (GIM) suatu ketika dulu. Malah kerana minat mendalam dalam nyanyian, gadis kelahiran Ipoh, Perak ini pernah menganggotai band yang membuat persembahan di Hotel Palace Of The Golden Horses.


"Lepas berlakon cerita Semarak Naga, saya jadi penyanyi untuk band ini. Tapi saya menyanyi tak sampai setahun kerana sekadar nak timba pengalaman beraksi di pentas. Dalam GIM pun, saya hanya menggantikan tempat anggota yang keluar sebelum kumpulan ini dibubarkan.

"Saya sebenarnya berhasrat nak ceburi bidang nyanyian tapi tak tahu bila masanya akan tiba. Tujuan saya menyanyi hanya untuk kepuasan diri sendiri. Saya tak berani nak cakap lebih-lebih tapi tengoklah pada keadaan.

"Kalau ada peluang, saya akan buat kerana nak cuba sesuatu yang baru dalam karier. Banyak benda baru saya nak buat dalam hidup, tapi kenalah buat satu-satu dulu," katanya.Mengenai kisah peribadi, secara jujur Linda mengakui hatinya masih kosong. Pernah bercinta dan dikecewakan, dia malas hendak memikirkan perkara itu kerana terlalu sibuk dengan karier.


"Saya memang tak ada masa nak bercinta. Malah nak jumpa keluarga sendiri pun susah, apa lagilah nak bercinta. Kalau ada kekasih, dia tentu tak faham dengan kesibukan saya. Malah kalau faham pun, akan jadi tak faham setelah melihat tumpuan saya yang penuh terhadap karier.

"Tak tahulah sampai bila saya nak begini. Nasib baiklah keluarga tak mendesak dan serahkan segala keputusan di tangan saya. Saya sebenarnya rancang cari duit terlebih dulu sebelum berkahwin kerana apabila berkahwin nanti, saya ingat nak berhenti berlakon.

"Tapi terpulanglah pada suami kerana kalau dia benarkan, saya pasti akan berlakon. Cuma penggambaran mesti di sekitar Kuala Lumpur. Apabila sudah lama berlakon, terasa penat juga. Saya sedang merancang nak buat bisnes keluarga suatu masa nanti. Sekarang saya sedang memikirkan apa bentuk bisnes yang sesuai diusahakan," katanya.

PROFIL
NAMA SEBENAR: Norhazlinda Hashim
TARIKH LAHIR: 8 September 1984
USIA: 25 Tahun
ASAL: Ipoh, Perak
KARIER: Pelakon dan model iklan

KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
DRAMA: Membintangi puluhan drama antaranya Waris (RTM2), Gerak PGM (TV9), Duranni (Astro), Cinta Batu Belah (TV3), Anak Betong (TV3), La Dolce Amira (TV3) dan banyak lagi
FILEM: Bisikan Remaja, Rasuk
PROJEK TERKINI: Berlakon drama Cikgu Kemesah Kirby (20 episod), Angin Rindu Sarajevo (20 episod) dan Aku Anak Si Buta Itu untuk tayangan sempena Hari Bapa
IKLAN KOMERSIAL: Sunsilk, Clean & Clear, Digi, motosikal Honda, KFC dan minyak masak Cap Buruh
HOBI: Menyanyi

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: