APAKAH cara paling baik membawa bayi anda berjalan? Meletakkan di dalam kereta tolak atau mendukungnya?
HADAPAN...ikat tali penggendong pada bahagian hadapan.
BAWA BERJALAN...bayi diletakkan di belakang.
Kini terdapat kaedah terkini yang lebih praktikal, selamat dan selesa iaitu amalan memakai atau membawa bayi menggunakan kain pengendong atau apa sahaja jenis pembawa bayi sama ada moden atau tradisional.
Menurut ahli Babywearer Malaysia, Liza Yaakup, naluri seorang bayi untuk sentiasa dekat dengan ibunya. Justeru, alat pengendong bayi mampu meringankan beban serta membolehkan ibu bapa mendukung bayi dalam jangka masa lebih lama.
Ini kerana berat bayi boleh diampu kain pengendong manakala ibu bapa boleh meneruskan tugas harian, menguruskan anak-anak dan membuat kerja rumah.
Tambahnya, alat pengendong ini sangat mudah alih, boleh dilipat dan dibawa bersama dalam beg lampin. Perjalanan jauh dipermudahkan dengan alat pengendong.
Sesetengah lokasi yang sibuk dan penuh sesak seperti terminal lapangan terbang atau pasar memang sangat sukar untuk menggunakan kereta tolak, jadi alat pengendong bertindak sebagai penyelamat. "Selain memiliki sifat mudah alih, kebaikan utama daripada alat pengendong ini dapat membantu pembentukan emosi, psikologi dan peribadi bayi. Bayi yang sering dikendong jarang menangis kerana keperluan naluri dapat dipenuhi.
"Bayi ini juga lebih intim dengan ibu bapanya kerana dapat ikut serta dalam menjalankan kehidupan harian. Mereka dapat menerima lebih stimulasi dan dapat belajar daripada keadaan sekeliling memandangkan mereka lebih tenang apabila berada dalam dakapan ibu atau bapa," kata Liza.
Terdapat pelbagai jenis alat pengendong di pasaran iaitu alat pengendong pada satu bahu umumnya dikenali sebagai sling. Untuk memakai sling ini sama ada perlukan saiz yang sesuai dengan pemakai (pouch sling ) atau menggunakan sling boleh laras (ring sling).
Caranya senang, ia dimulakan dengan menyelempangkan sling. Mungkin perlu diselaraskan kedudukan kain, dengan mengikut ukuran dan umur bayi, boleh dibaringkan atau dibiarkan duduk di dalam kendongan. Laraskan atau betulkan lagi sehingga rasa paling selesa untuk pemakai dan bayi
Jenis alat pengendong kedua menggunakan dua bahu contohnya mei tai yang dipermodenkan. Umumnya, ia mempunyai satu panel empat segi dengan empat tali yang menjulur keluar. Dua tali pendek perlu diikat pada pinggang terlebih dahulu, sambil mengampu badan bayi, panel ini diangkat supaya menutupi pinggul dan badan bayi.
Kemudian, dua tali yang lebih panjang itu dengan cara tertentu diikat pada badan pemakai. Bayi boleh didukung di hadapan pemakai atau didukung pada belakang pemakai seperti beg galas.
Yang terakhir adalah sehelai kain sama ada kain batik lepas, kain ela atau kain panjang (berukuran tiga hingga lima meter) yang dibuat atau ditenun khas bagi tujuan mengendong bayi.
"Pelbagai cara boleh digunakan untuk mengendong bayi hanya dengan menggunakan sehelai kain. Teknik mengendong bayi menggunakan kain seperti ini mudah dipelajari dengan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman, mahupun dengan menonton video di YouTube," jelasnya.
Menurut Liza, satu perkara yang baik mengenai alat pengendong, ia boleh diadaptasikan untuk mendukung seorang bayi dari kecil hingga besar. Alat pengendong yang perlu dipakai mengikut saiz adalah pouch sling dan ukuran ini mengikut pemakai dan anak yang boleh dikendong tidak kira kecil atau besar dengan menggunakan saiz sama.
Bagi alatan pengendong lain, kebanyakannya boleh dilaras supaya bertepatan dengan saiz pemakai dan bayi. Walaupun begitu, lain badan lain caranya, justeru, sebaiknya anda mencuba dahulu sebelum membeli kerana alatan mengendong lain mempunyai kebaikan tersendiri.
"Pemilihan alat pengendong selalunya bergantung kepada keperluan ibu bapa dan daya tahan pemakai. Secara umumnya, jenis alatan mengendong pada satu bahu (sling) walaupun boleh digunakan untuk bayi kecil dan besar tetapi apabila bayi sudah mencapai berat kira-kira lapan kilogram, untuk mendukung dengan jangka masa lama boleh melenguhkan badan.
"Ini kerana berat bayi tertumpu pada satu bahagian badan pemakai sahaja. Oleh itu, lebih sesuai jika ingin mendukung bayi yang lebih berat atau yang sudah boleh berjalan, dengan menggunakan alatan pengendong menggunakan dua bahu. Ini kerana sebaran berat badan bayi pada pemakai adalah lebih optimum," jelasnya.
Menurut Liza, anak boleh didukung menggunakan alat pengendong bermula sejak lahir sehingga berumur kira-kira tiga tahun. Disyorkan supaya ibu bapa mendukung anak mereka menggunakan alat pengendong selagi mereka (pendukung dan yang didukung) rasa selesa.
Banyak kebaikan diperoleh daripada penggunaan alat pengendong ini iaitu membuatkan hubungan ibu dan anak lebih intim.
Selain itu, bayi di dalam dakapan ibu dapat mencium aroma ibu, berkongsi haba dan merasa kontur badan ibu, bersentuhan kulit, mendengar degupan jantung ibu, suara ibu dan dapat disusukan terus pada bila-bila masa.
"Sekarang ramai ibu keluar bekerja. Oleh itu, masa yang ada dapat diluangkan bersama bayi. Dengan sedikit masa pada malam hari dan hujung minggu, penggunaan alat pengendong menjadi lebih efektif.
"Ibu dapat mendakap bayi sambil menguruskan hal rumah tangga, tidak perlu tinggalkan anak bersama orang lain hanya kerana tempat dituju banyak tangga dan susah untuk menggunakan kereta tolak," katanya.
Bagi mereka yang masih baru berjinak-jinak dengan alat pengendong, jika tidak berasa yakin dengan teknik pemakaian, jangan berputus asa kerana kadangkala ia memerlukan latihan dan keserasian bagi bayi.
Jika menghadapi apa-apa kemusykilan, boleh melayari forum Malaysian Babywearers (http://www.malaysianbabywearers.org). Ahlinya sedia membantu dan mereka juga menganjurkan perjumpaan pada Sabtu minggu kedua di Pulau Pinang dan Sabtu minggu ketiga di Kuala Lumpur.
"Menerusi perjumpaan ini, anda boleh bertemu secara langsung dengan mereka yang lebih berpengalaman untuk membantu anda menggunakan alat pengendong dengan cara yang betul dan ideal.
"Nikmatilah hubungan yang intim dengan bayi anda terutama pada tahun awal ini kerana mereka akan membesar dalam sekelip mata sahaja," kata Liza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: